myMetro

Mesin 'semi-robotic' jadi impian




BERPINDAH ke kilang lebih besar untuk tempoh dua tahun akan datang dan menggunakan teknologi mesin yang lebih canggih termasuk mesin 'semi-robotic' antara impian Sharipah dalam memajukan lagi perniagaannya.

Menurut Sharipah, kilang dan mesin yang ada kini dibimbangi tidak mampu lagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, tempahan daripada pelanggan buat masa ini sangat menggalakkan. Dengan strategi pemasaran yang berkesan, dijangka permintaan akan terus meningkat. Justeru, bagi melicinkan urusan menyiapkan tempahan daripada pelanggan, kilang yang ada perlu dibesarkan dan mesin pula perlu ditambah.

“Kini, saya sedang berusaha ke arah itu. Jika menjadi kenyataan, ia sekali gus menunaikan impian yang sudah lama terpendam,” katanya.

Menurut Sharipah seiring dengan hasrat itu, dia juga mahu memantapkan unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diwujudkan khusus untuk menghasilkan produk mengikut permintaan pelanggan serta produk yang mengikut cita rasa semasa.

Sharipah berkata, dia turut mengimpikan untuk mempunyai satu bangunan khas menempatkan ruang pameran produk keluaran syarikatnya dan pada masa sama menyediakan khidmat penyelenggaraan kepada pelanggan.

“Di ruang pameran itu, saya mahu menempatkan semua produk keluaran syarikat saya. Semua produk berkenaan boleh dimiliki secara terus oleh pelanggan.

“Saya mahu menyediakan produk yang siap dipasang dan boleh dipasang sendiri pelanggan,” katanya.

Menurut Sharipah, syarikatnya akan terus menghasilkan produk berkualiti dengan harga yang berpatutan.

“Walau sebesar mana sekalipun perniagaan saya, pelanggan aset paling utama. Pada masa sama, kami akan terus menghasilkan produk yang berkualiti dan menjanjikan hanya yang terbaik untuk pelanggan,” katanya.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad