Kayu, besi rezeki Sharipah
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
TEKAD mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan membuatkan pernah satu ketika dia sekeluarga hanya mampu menjamah nasi goreng untuk tempoh seminggu. Pernah juga dia bersama suami dan enam anak 'berkurung' di rumah apabila tiba Aidilfitri.
Itu belum lagi kisah satu-satunya kereta yang digunakan untuk bergerak ke sana ke mari ditarik syarikat kewangan dan yuran persekolahan anak-anak tertangguh sehingga beberapa bulan.
Bagi yang lemah semangat dan mudah putus asa, situasi seperti itu barangkali akan membelenggu sehingga hidup menjadi tidak keruan, tetapi bagi Sharipah Aini Ahamad, 35, dia bukan saja mampu mendepani situasi berkenaan, malah berjaya membina kehidupan yang lebih baik.
Siapa sangka daripada seorang pekerja makan gaji yang hanya mempunyai pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), wanita itu kini bergelar Pengarah Urusan Takzim Mulia Holdings Sdn Bhd, memiliki kilang dan mampu menggaji sehingga 50 pekerja.
Syarikat 100 peratus milik Bumiputera itu menghasilkan pelbagai barangan berasaskan besi dan kayu dengan memberi tumpuan kepada penghasilan semua jenis rak serta perabot pejabat.
Sehingga hari ini, produk keluaran syarikatnya digunakan lebih 300 kedai runcit seluruh Malaysia dan beberapa syarikat ternama di negara ini.
Lebih membanggakan produk keluaran syarikatnya menghasilkan beberapa jenis rak untuk sebuah syarikat tempatan khusus untuk pasaran negara luar seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Dubai, Hong Kong dan Brunei.
Bagi Sharipah, melihat kejayaan diperoleh hari ini, dia memanjat kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberinya kekuatan menempuh pelbagai cabaran ketika memilih menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
Katanya, jika dikenang kembali pengalaman perit yang pernah dilaluinya, dia tidak lagi sanggup melaluinya.
“Cukuplah sekali. Sekeluarga makan nasi goreng selama seminggu, hanya mampu duduk di rumah ketika Aidilfitri, kereta ditarik dan yuran anak bertangguh selama beberapa bulan.
“Bukannya ketika itu tiada wang, tetapi wang yang ada perlu digunakan untuk perniagaan. Saya terpaksa berkorban kerana jika wang untuk perniagaan itu digunakan, memang sehingga hari ini saya tidak mampu mempunyai perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kampung Baru Subang, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Sharipah, terus terang dia mengakui pengalaman kerjanya tidaklah sehebat mana, tetapi semangat dan kemahuan tinggi belajar daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang perniagaan diceburinya membuatkan dia mampu melakukannya.
Katanya sokongan suami yang sanggup bersama walau dalam apa jua keadaan dan membantu daripada segi kewangan, bimbingan serta mencari peluang perniagaan turut menyumbang kepada kejayaannya.
“Untuk tempoh 10 tahun saya makan gaji dengan melakukan pelbagai kerja termasuklah kerani dan jurujual. Melihat taraf hidup tidak berubah dan hati semakin bergolak untuk mencuba berniaga, saya berbincang dengan suami untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan.
“Memandangkan saya pernah bekerja dan mempunyai rakan dalam bidang pembuatan rak serta perabot pejabat, saya mencuba bidang berkenaan. Suami pula bersetuju kerana dia juga mempunyai rakan daripada bangsa lain yang berjaya mengembangkan perniagaan dalam bidang berkenaan,” katanya.
Sharipah berkata pada 2003 dia memulakan perniagaannya dengan modal sendiri yang boleh disifatkan 'cukup-cukup makan'.
“Habis semua wang simpanan digunakan dan banyak jugalah barang yang digadai. Suami pula sanggup mengeluarkan wang simpanannya untuk membantu. Dengan modal yang tidak seberapa saya bertekad menyewa mesin di kilang rakan suami.
“Ketika itu saya hanya mampu menghasilkan rak kecil untuk kedai runcit dengan pasaran yang sangat terhad. Namun, berkat kerja keras 24 jam sehari sehingga terpaksa membawa anak ke kilang dari pagi hingga malam dan inisiatif 'turun padang' mencari pelanggan, sedikit demi sedikit tempahan membuat rak bertambah,” katanya yang tidak malu untuk belajar dan meminta nasihat individu yang lebih berpengalaman dalam bidang berkenaan.
Menurut Sharipah, daripada kedai runcit, syarikatnya menerima pula tempahan untuk menyediakan rak di pasar raya, sehinggalah mula mengambil tempahan perabot pejabat secara kecil-kecilan.
“Graf tempahan memang meningkat, tetapi realitinya kewangan syarikat saya masih belum kukuh. Ini kerana semua barang mentah terpaksa dibeli secara tunai.
“Saya terpaksa mengambil masa sehingga lima tahun untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat. Sepanjang lima tahun itu, kehidupan yang dilalui memang perit kerana banyak wang yang perlu dikeluarkan untuk perniagaan,” katanya.
Sharipah berkata, 2008 menjadi tahun keramat buat dirinya apabila dia mampu berpindah ke kilang lebih besar dan memiliki mesin sendiri hasil daripada susah payahnya sebelum itu.
“Terlalu banyak cabaran yang perlu saya tempuhi sebelum mampu memiliki kilang dan mesin sendiri. Mujur saya berpegang kepada prinsip tidak takut dengan risiko dan tidak mudah patah semangat.
“Sebab itu dalam keadaan menanggung keperitan hidup, saya mampu bertahan,” katanya.
Menurut Sharipah meskipun maju dalam perniagaan, dia mengakui perjalanannya masih jauh.
“Walaupun produk keluaran syarikat saya digunakan di luar negara dan mendapat sambutan di negara ini, banyak lagi yang perlu dilakukan.
“Banyak lagi pelanggan perlu dicari dan saya akan terus bekerja keras. Belum masanya lagi untuk saya 'goyang kaki' dan bergantung harap kepada orang lain menguruskan perniagaan,” katanya.
>Profil
NAMA: Sharipah Aini Ahamad
UMUR: 35
JAWATAN: Pengarah Urusan Takzim Mulia Holdings Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
ASAL: Batu Pahat, Johor
ANAK: 6 orang
|
|