Tiga jam enam maut
Susunan FUAD HADINATA YAACOB
DALAM tempoh kurang tiga jam, enam orang yang tidak bersalah dibunuh manakala dua lagi cedera angkara seorang lelaki berusia 28 tahun dalam kejadian yang menggemparkan penduduk Bridle Place, North Skagit County, Washington, Amerika Syarikat.
Kejadian Selasa lalu itu meragut nyawa seorang pegawai polis selain lima orang awam dan dua lagi cedera selepas terkena serpihan peluru.
Tembakan pertama berlaku jam 2 petang dan mangsanya ialah Timbalan Sheriff Skagit County, Anne Jackson, 40. Anne dilaporkan mangsa pertama penjenayah Isaac Zamora, 28, selepas ibu lelaki itu, Dennise Zamora menghubunginya.
Dennise yang sudah lama mengenali Anne menghubungi pegawai polis itu untuk meminta bantuan selepas mendapati anaknya dalam keadaan cemas dan kerap berulang alik dari rumahnya ke rumah jiran.
Anne yang pernah ke rumah Dennise beberapa kali untuk menangani keadaan seperti itu menemui nasib malang apabila dia yang datang berseorangan ditembak mati.
Sejurus kemudian, Zamora melepaskan tembakan rambang sehingga mengorbankan tiga jiran di kawasan kediamannya di Bridle Place.
Tidak cukup itu, dia memandu ke arah lebuh raya dan ketika berhenti di sebuah stesen minyak, Zamora menikam seorang penunggang motosikal. Seorang anggota polis peronda, Troy Giddings, 42, turut cedera akibat terkena tembakan di tangan ketika cuba menghalang lelaki itu.
Isaac yang memasuki jalan Interstate 5 terus mengamuk lagi apabila menembak mati dua lelaki. Polis yang menerima laporan selepas Anne ditembak terus melancarkan gerakan memburu Zamora.
Begitupun, pada jam 5 petang, Zamora yang mungkin menemui jalan buntu menyerah diri di balai polis, sekali gus ditahan untuk siasatan lanjut.
Polis kemudian mengesahkan enam mangsa maut akibat ditembak dan ditikam manakala dua yang lain cedera terkena peluru. Dilaporkan, selain dua anggota keselamatan itu, seorang lelaki berusia 61 tahun; dua pekerja binaan dan wanita berusia 48 tahun antara mangsa Zamora.
Sementara itu, Dennise memberitahu, anaknya menghidap sakit mental yang teruk sehingga menetap silih berganti di rumah dan di dalam hutan sejak setahun lalu.
“Saya terkejut dengan tindakannya. Anne pegawai polis yang sangat baik, malah dia kerap menolong saya ketika diperlukan. Dia tahu dan memahami keadaan saya.
“Mengapa mereka jadi pilihan? Saya mohon dia pilih saya, bukan mereka,” katanya sebak.
Zamora sebenarnya baru dibebaskan dari penjara pada 6 Ogos lalu selepas menjalani hukuman enam bulan atas kesalahan memiliki dadah. Tidak sampai sebulan, dia melakukan jenayah yang lebih kejam sehingga mengorbankan ramai mangsa.
Meskipun sudah bebas, lelaki itu masih di bawah penyeliaan pegawai pemulihan, namun kejadian itu menarik perhatian Gabenor Washington, Chris Gregoire yang mengarahkan siasatan rapi dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana seorang bekas banduan di bawah penyeliaan serta menghidap sakit mental tidak dipantau.
“Saya akan memantau perkembangan siasatan kes ini dan melihat cara mereka bekerja sebelum meminta laporan diserahkan kepada saya dalam tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada malam kejadian.
Laporan pihak berkuasa tempatan pula menyatakan Zamora pernah terbabit dalam kes jenayah curi dan kekerasan. Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian dan mengapa suspek memilih mangsa berkenaan sebagai sasaran.
Pegawai polis, Keith Leary berkata, suspek menembak secara rambang sehingga mengenai ramai orang.
Sejurus kejadian, katanya, polis melakukan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu kepada lapan kes dengan membabitkan hampir 100 saksi daripada 15 agensi terbabit.
“Kita tidak mahu wujud spekulasi ketika ini dan terlalu awal untuk memberitahu apa sebenarnya berlaku. Siasatan masih dijalankan dan ramai saksi akan dipanggil,” katanya.
Zamora masih ditahan untuk siasatan lanjut dan jika disabitkan bersalah, lelaki itu berdepan hukuman mati.
Info
NAMA: Isaac Zamora
UMUR: 28 tahun
LAHIR: 23 September 1977 di Beirut, Lubnan.
KERJAYA: 1980 di Alger, Washington, Amerika Syarikat
JENAYAH: Dalam kejadian pada 2 September 2008, Zamora didakwa membunuh enam orang termasuk pegawai polis, selain mencederakan dua yang lain di Bridle Place, North Skagit County, Washington.
HUKUMAN: Dalam kejadian pada 2 September 2008, Zamora didakwa membunuh enam orang termasuk pegawai polis, selain mencederakan dua yang lain di Bridle Place, North Skagit County, Washington
|
|