Sup pedas, hangat
MENCARI juadah berbuka puasa adakalanya memeningkan. Manakan tidak, terlalu banyak juadah yang boleh didapati sepanjang bulan mulia ini, sama ada dijual atau dimasak sendiri.
Jika anda mahu sedikit kelainan pada Ramadan kali ini, mungkin hidangan ‘Sup Bedengung’ di Medan Selera Innan Nilai 3, Negeri Sembilan boleh dijadikan pilihan.
Jika disebut sup, pasti tergambar di benak masing-masing hidangan ringkas dengan bahan utama seperti ayam, daging atau sayur berkuah bersama rempah ratus, tetapi di Sup Bedengung ada sedikit perbezaan.
Daripada segi rasa, bukan saja ia ‘berdengung’ kerana pedas dan panas, tetapi campuran herba serta rempah ratusnya menjadikan hidangan itu lebih lazat dan berperisa.
Pengusaha gerai itu, Alias Md Sainan, 53, berkata dia memang meminati sup, malah sanggup berjalan di merata tempat untuk menikmati hidangan itu, tambahan pula jika terdengar ia menjadi makanan popular di restoran tertentu.
“Saya memang minat makan sup, sama ada ia sup daging, ayam atau sayur, malah saya sanggup mengeluarkan belanja untuk ‘memburu’ sup yang dikatakan sedap.
“Saya berjalan ke seluruh Malaysia untuk menikmati sup dan hasilnya saya dapat mencipta satu resipi sup hasil campuran ramuan Jawa, Cina, Melayu dan Kedah.
“Saya mendapat idea untuk menghasilkan sejenis sos hasil campuran lada sulah, sos tiram, rempah ratus, gula merah, garam kasar, madu lebah dan gula batu untuk dimakan bersama sup, menjadikan ia hidangan istimewa dan berdengung,” katanya.
Menurutnya, walaupun sup mudah dibuat serta ringkas, ada perbezaan sup yang dibuat masyarakat Jawa, Cina dan Melayu.
“Ramuan Jawa biasanya ada akar kayu seperti tongkat ali yang dikisar berasa rempah ratus, manakala sup masyarakat Cina dimasukkan ramuan seperti halia kering, hati kayu, tongkat ali Cina dan ceri merah Cina.
“Masyarakat Melayu di Kedah pula memasukkan ramuan seperti buah pelaga, bunga lawang, kayu manis, serai, halia, bawang putih dan lengkuas.
“Dari situ, saya terfikir apa akan berlaku bila saya mencampurkan semua ramuan itu menjadikan ia satu resipi dan terhasil resipi sup bedengung,” katanya.
Alias berkata, dia mengambil masa setahun untuk mencari dan memastikan resipi sup ciptaannya diterima pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai meminati hidangan ini, malah saya turut menerima kunjungan pelanggan dari Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak yang meminati sup bedengung,” katanya.
Menurutnya, selain sup bedengung, gerainya menyediakan hidangan nasi campur, ala carte, nasi ayam hainan, claypot dan stimboat.
Alias yang juga pemilik medan selera itu berkata, dia mencipta beberapa hidangan lain dengan nama pelik bagi menarik perhatian pelanggan selain menambah beberapa ramuan khas menjadikan ia makanan istimewa.
“Antaranya air kelapa pandan zamzam ala kazam iaitu air kelapa dicampur dengan air gula, longan jeli hijau dan merah serta ABC special yang tidak menggunakan air sirap tetapi diganti dengan buah naga kisar.
“Pelanggan tetap gerai ini kerap juga meminta hidangan ‘Tom John’ iaitu air kelapa yang dikisar menjadi kuah tomyam,” katanya.
Menurutnya, selain gerai ‘Sup Bedengung’, dia memiliki beberapa lagi gerai di medan selera itu yang diusahakan oleh anak dan disewakan.
|
|