Ikan lumba-lumba moden
IA kelihatan seperti ikan lumba-lumba dan kapal selam. Inilah mainan terbaru yang mesti dimiliki oleh golongan kaya, yang kini menjadi tarikan besar dalam dunia perairan.
Seabreacher mempunyai kelajuan seperti jetski dan pada masa sama boleh meluncur di atas permukaan air serta menyelam, membawa dua orang ke dasar laut.
Kapal selam mini berharga kira-kira RM184,000 itu yang boleh mencapai kelajuan sehingga 73 kilometer sejam di atas permukaan air, juga mempunyai kuasa mencukupi untuk menerjah keluar dari bawah permukaan air dan terbang di samping melakukan aksi seperti melompat dan mengguling.
Ia direka untuk meniru gaya ikan lumba-lumba dan mampu mengawal keadaannya sendiri apabila jatuh ke permukaan air.
Jentera yang panjangnya kira-kira 4.6 meter itu boleh ada di dalam air untuk tempoh lama dan begerak dengan kelajuan 33 kilometer sejam di dalam air kerana ia mempunyai sistem snorkel yang direka khas untuk enjin 1500 kuasa kudanya.
Syarikat yang mencipta peralatan itu membina kira-kira 20 kapal selam seumpama itu setahun untuk pasaran golongan kaya.
Badan kapal itu diperbuat daripada gentian kaca tahan lasak sementara kanopi polikarbonat telus adalah setebal 0.15 meter, sama dengan yang digunakan dalam jet pejuang F-16.
Rob Innes dari syarikat Innespace, menjelaskan, kapal selam Seabreacher unik kerana ia boleh menyelam menggunakan momentum terjahan dan tidak perlu menggunakan berat air untuk membolehkannya turun ke bawah permukaan air.
Belum ada kapal selam di dunia ini yang dikendalikan tanpa menggunakan balast, kecuali Seabreacher, katanya.
“Satu kelebihan teknik kami untuk menyelam ialah ia membenarkan kapal itu bergerak bebas walaupun dalam kedudukan tidak selari. Satu lagi kelebihan ialah jika berlaku kesilapan ketika menyelam, kapal itu akan timbul ke permukaan dan membetulkan keadaannya,” kata Innes.
Menurutnya, kapal itu boleh dipandu seperti bot dengan kanopi terbuka selaju 73 kilometer sejam di atas permulaan air atau 33 kilometer sejam dalam air.
“Jika anda membawanya menyelam melebihi paras snorkel, anda akan kehilangan udara untuk enjin.
“Bagaimanapun, anda hanya perlu menunggu 20 saat sebelum kapal itu timbul ke permukaan secara automatik. Namun, dengan sistem snorkel yang digunakan, anda boleh ada di dalam air untuk jangka masa panjang.”
Innes, yang syarikatnya berpangkalan di California, berkata Seabreacher boleh ditarik ke mana saja seperti bot atau jetski dan boleh digunakan di tasik atau laut terbuka.
“Satu daripada pasaran yang kami sasarkan ialah pasaran perahu layar rekreasi. Ia boleh dijual kepada orang awam dan mengambil masa kira-kira 90 hari untuk membinanya,” kata Innes.
|
|