Blog seleweng agama
Bersama Zaharuddin Abd Rahman
DALAM ruangan kali ini, saya ingin menjawab kekeliruan ramai berkenaan kewajiban pemakaian tudung di dalam Islam. Tulisan asal ini menjawab tulisan yang mempertikaikan kewajiban sebagaimana disiarkan di dalam sebuah blog politik yang popular di Malaysia.
Mereka berkata: “Nampaknya, tudung hanyalah ‘dikurniakan’ kepada isteri-isteri Nabi dan bukan ke atas semua wanita.
Allah befirman: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab: 59)
Pertamanya, lihat maksud ayat “supaya mereka boleh dikenali dan tidak diganggu.” Ini bermakna sekurang-kurangnya, bahagian muka mesti boleh dilihat.
Adalah menjadi kesalahan untuk mengatakan kaum perempuan lain pada masa itu (bukan Arab, Yahudi, Kristian) tidak memakai tudung.
Sebenarnya, kaum perempuan Yahudi dan Kristian memakai tudung yang lebih konservatif daripada wanita Muslim.
Menutup badan juga adalah kemestian bagi lelaki dan wanita yang tinggal di padang pasir. Ia tiada kaitan dengan mana-mana agama.
Jadi apabila ayat itu menyatakan “supaya mereka boleh dikenali” ia sebenarnya bermaksud wanita tidak perlu menutup muka atau kepala mereka sehingga tidak boleh dibezakan mereka dengan perempuan Kristian dan Yahudi yang juga memakai tudung. Ini bermakna, tidak ada langsung perkara memakai tudung untuk menutup kepala dan muka.
Terjemahan Surah Al-Ahzab ayat ke-59 secara umum: “Ya ayyuhan nabi (Wahai Nabi) qul li-azwajika wabanaatika (beritahulah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu) wa nisaa i mu‘mineena (dan wanita-wanita yang beriman) yudneena (untuk memanjangkan) alayhinna (ke atasnya) min jalabeebihinna (daripada pakaian/tudung).
Respons saya
Malangnya, mereka tersalah tafsir ayat di atas dan memahaminya di luar konteks sebenar, saya kira ia kerana tidak meneliti seluruh struktur ayat itu selain tiada ilmu asas Fiqh, tafsir selain hanya bergantung kepada terjemahan literal.
Realitinya, sebagai hamba Allah SWT dan pengikut Rasulullah SAW, kita diajar untuk selalu kembali kepada al-Quran dan al-Hadis untuk mendapatkan kepastian terhadap hukum sesuatu perkara. Berkenaan topik ini ayat yang disebutkan tadi. (al-Ahzab 51)
Pertamanya: Ulama bersepakat bahaya setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad SAW juga ditujukan kepada setiap muslim melainkan jika berlainan disampaikan oleh baginda SAW melalui hadis atau ayat al-Quran yang lain.
Contohnya: Nabi mempunyai lebih daripada empat isteri dalam satu-satu masa, ia dipanggil “Khususiyat Anbiya” yang tidak dibenarkan untuk diikut umat Muhammad kerana atas ketentuan khusus oleh Allah SWT untuk Nabi beserta dengan sebab lain.
Tidak terhad pada isteri nabi saja
Dalam perkara ini, menutup aurat termasuklah kepala, rambut, leher dan dada, satu perintah yang bukan hanya terhad kepada isteri Nabi tetapi juga kepada seluruh wanita Muslim.
Ia bukan hanya budaya bangsa Arab yang tinggal di padang pasir yang berdebu, tetapi satu perintah agama yang khusus.
Malah kita melihat bagaimana Allah SWT mengarahkan Nabi untuk menyampaikan arahan menutup aurat ini kepada seluruh wanita yang beriman sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wanita-wanita yang beriman.” (Al-Ahzab: 51)
Oleh itu sesiapa saja yang mengaku muslim lagi mukmin, wajib mereka patuh serta mentaati perintah Allah sebagaimana dijelaskan dalam ayat tadi.
Definisi jilbab yang disebut di dalam ayat tadi adalah pakaian yang dipakai wanita (sama seperti baju kurung) untuk menutup badan mereka.
Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa pada zaman jahiliyah, apabila segelintir wanita keluar rumah, mereka gemar menunjuk-nunjuk sebahagian kecantikan mereka seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka diganggu lelaki yang gemar melakukan zina.
Kemudian, ayat di atas diturunkan memerintah wanita muslim untuk memanjangkan (bererti dari atas ke bahagian dada dan bukan hanya di bahagian dada) jilbab mereka supaya menutup bahagian badan yang boleh mendatangkan fitnah.
Dengan cara ini, mereka akan dikenali sebagai wanita suci, mulia dan bersih (‘afifah) dan menepati ciri-ciri wanita muslim sebenar.
Jadi, dengan demikian mereka akan dikenali sebagai bukan kumpulan wanita murahan yang boleh dipermain dan diganggu maruahnya.
Ayat di atas menunjukkan bahawa menutup aurat itu lambang atau tanda seorang Muslim. Allah SWT juga berfirman:
“Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.” (Al-Haj: 32)
Oleh itu, sebab utama (‘illah) untuk perintah di atas untuk mencegah wanita muslim daripada diganggu lelaki jahat.
Pakaian yang mendedahkan kecantikan wanita atau cara jalan atau percakapan yang menggoda tentu akan menaikkan nafsu syahwat lelaki. Kelakuan begini akan mengundang lelaki untuk berfikiran jahat dan mencabul. (Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit olahan)
Wanita Yahudi dan Kristian bertudung, maka muslimah perlu buka tudung?
Salah juga untuk mendakwa kononnya erti daripada ayat iaitu “supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,” membawa erti bahawa bahagian kepala, rambut dan muka mesti didedahkan bagi membezakan antara wanita Islam dan wanita Kristian dan Yahudi yang juga kononnya bertudung (sebagaimana dakwa penulis blog berkenaan dan dipersetujui pengendalinya).
Saya mengatakannya salah kerana sebab berikut:
Pertama: Adakah logik mengatakan kita hanya boleh mengenali seseorang wanita dengan melihat wajahnya dan rambutnya? Sudah tentu tidak, kita boleh mengenali mereka dengan pelbagai cara, sama ada dengan mendengar suaranya atau perkara selain wajahnya.
Kedua: Sebenarnya kebanyakan wanita jahiliyah tidak beragama Kristian atau Yahudi, mereka tidak memakai tudung sama sekali dan sebahagian mereka memakai tudung berpandu kepada hawa nafsu dan kesukaan mereka, ini menjadikan tudung mereka sama sekali tidak menyerupai tudung wanita Islam. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3/285)
>Bersambung minggu depan
|
|