Taman Sejarah Sukhothai unik
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
DUDUK tumpang berteduh daripada titisan hujan yang makin lebat di depan rumah urut bersama gadis pelayan seksi memang meresahkan.
Kebimbangan terpaksa bermalam di bilik tumpangan di atas rumah urut hilang serta merta apabila masih ada bilik kosong di hotel berimej bersih di hujung lorong 'merah' di U-Thai, Ayutthaya. Namun kami dinasihatkan supaya tidak keluar selepas jam 11 malam.
Oleh kerana payah mendapat makanan halal, malam itu kami hanya makan nasi putih berlaukkan telur goreng dengan sambal ikan bilis yang dibawa Affizar Ibrahim (Berita Harian). Selepas seharian berlapar, rasanya itulah telur goreng dan sambal ikan bilis paling sedap di dunia.
Rupa-rupanya di kawasan 'merah' itu ada beberapa restoran muslim, tetapi semuanya dibuka pada waktu siang saja. Malah papan tanda yang menunjukkan sesebuah restoran itu dimiliki orang Islam juga disimpan apabila kedai ditutup.
Sempat juga kami merasa nasi ayam Ayutthaya. Rasanya tidak jauh berbeza dengan nasi ayam di Malaysia, cuma kurang pedas.
Di sini kami melawat Wat Yai Haya Mongkol (Kuil Tuah Kemenangan) yang menjadi tempat banyak acara bersejarah pada zaman pemerintahan Raja U-Thong ketika Ayutthaya menjadi ibu negara Siam pada 1350.
Namun mengikut catatan, kuil itu dibina sempena kejayaan Raja Naresuan mematahkan cubaan askar Burma yang cuba menjajah Siam pada 1593.
Ini diikuti Wat Mahathat yang dibuat menggunakan batu berharga. Yang menjadi sebutan di sini ialah kehadiran kepala Buddha di celah banir pokok ara.
Ia memang tampak aneh, tetapi sebenarnya ketika kuil itu runtuh dimakan usia, ada yang cuba mencuri kepala Buddha berkenaan tetapi oleh kerana terlalu berat, ia ditinggalkan di bawah pokok. Penduduk Thai terus menjadikan tempat berkenaan sebagai lokasi sembahyang dan memohon doa.
Niat kami untuk makan di restoran sama terbantut kerana ia ditutup pada jam 4 petang. Namun ada hikmahnya kerana ketika berjalan di pasar malam, kami ternampak seorang lelaki menolak gerai bertulis perkataan halal dalam tulisan jawi.
Pemilik gerai dan isteri yang boleh cakap Melayu tersenyum melihat kami sabar menunggu mereka memulakan perniagaan. Nikmatnya dapat makan tom yam campur, kangkung goreng dan sambal belacan walaupun gerainya terletak betul-betul di tepi jalan besar yang sibuk.
Dalam hati masing-masing berdoa, janganlah ada yang kena cirit-birit kerana perjalanan masih jauh.
Malam itu sekitar jam 10.30, kami meneruskan pengembaraan ke utara (Sukhothai) selepas resah menunggu bas yang lewat lebih setengah jam. Mana tidak resah kerana kami antara orang paling awal menunggu tetapi menjadi kumpulan terakhir menaiki bas.
Oleh kerana perjalanan jauh, setiap penumpang diberi bekal sandwic dan air. Di tengah malam ketika bas berhenti rehat, konduktor mengagihkan susu kepada semua orang. Kami menolak tetapi dipaksa ambil kerana ia diberikan percuma atau mungkin termasuk dalam harga tiket.
Kami tiba di Sukhothai pada jam 4 pagi. Di stesen bas, ramai pemandu teksi dan tuk tuk menunggu. Mujur kami berempat, jika tidak gerun juga ada di tempat asing dan diburu pemandu teksi dan tuk tuk pada awal pagi begitu.
Niat hati mahu mencari motel berhampiran stesen bas supaya mudah teruskan perjalanan ke Chiang Mai.
Selepas puas menolak tawaran beberapa pemandu, kami menggalas beg meredah pagi yang gelap dan sejuk cuba mencari motel berdekatan seperti tercatat dalam peta diberi penjaga kaunter tiket.
Namun apabila keluar dari kawasan stesen bas, yang ada hanya kegelapan dan rumah kedai yang baru siap.
Hotel yang dicatat dalam peta, entah di mana letaknya. Ketika membelek peta di bawah pancaran lampu jalan, kami dihampiri pemandu teksi (pikap buruk diubah suai menjadi teksi) yang memang mengekori kami. Dia menetapkan tambang 100 Baht (RM10), tetapi kami bertegas hanya mahu membayar 80 Baht (RM8).
Tidak sampai lima minit, kami melewati beberapa hotel tetapi anehnya pemandu teksi tidak mahu berhenti. Ada sesuatu yang tidak kena. Sangkaan kami ternyata benar apabila akhirnya teksi memasuki lorong kecil, sunyi dan suram.
Rupa-rupanya dia membawa kami ke rumah tumpangan murah yang katanya 'sangat popular' di kalangan pelancong. Melihat tempat itu saja membuatkan kami ngeri. Ia tidak ubah seperti rumah tinggal.
Sekali lagi suasana menjadi tegang apabila kami memaksanya membawa ke hotel lain yang lebih 'senonoh' seperti dilihat dalam perjalanan tadi.
Walaupun air mukanya berubah, dia menurut kerana kami belum membayar tambang. Permulaan hari yang kurang baik kerana awal pagi lagi sudah bertengkar dengan pemandu teksi.
Kami hanya menyewa satu bilik untuk mandi dan meletakkan barang. Di sini kami hanya ada tujuh jam kerana bas ke Chiang Mai bertolak jam tiga petang.
Pengangkutan awam di Thailand memang unik, kali ini kami menaiki lori kecil yang diletakkan bangku kayu panjang di belakang. Kami diberitahu, itulah 'bas mini' di Sukhotai.
Akhirnya tiba juga kami ke Taman Sejarah Sukhothai, yang menjadi ibu kota Sukhothai pada abad ke-13 dan 14. Akhirnya apa yang dibaca dan dipelajari ketika sekolah menengah dulu ada di depan mata. Taman sejarah ini mendapat pengiktirafan sebagai satu daripada warisan sejarah dunia Unesco pada 1991.
Kota sejarah berbentuk segi empat itu dikelilingi tembok sepanjang dua kilometer kali 1.6 kilometer dan mempunyai pintu gerbang pada setiap sisi tembok. Di dalam kota inilah terletaknya runtuhan istana dan 26 kuil. Kuil paling besar ialah Wat Mahathat.
Oleh kerana saiznya besar, pelancong boleh menyewa basikal untuk mengelilingi kota sejarah berkenaan. Namun, memandangkan kemahiran menunggang basikal sudah berpuluh tahun ditinggalkan (ketika di sekolah rendah dulu), kami memilih untuk menyewa tuk tuk, lebih mudah kerana ada pemandu.
Untuk masuk ke Taman Sejarah ini, pelancong perlu membeli tiket berharga antara 30 hingga 40 Baht (RM3 hingga RM4) seorang bagi setiap kuil. Setiap satu memang berbeza dan ada keunikan tersendiri.
Contohnya, berdiri di tengah runtuhan Wat Mahathat yang hanya tinggal tunggul tiang membuatkan penulis terasa ada di dunia asing. Namun sisa sejarah yang rapi dan masih menjalani kerja pemulihan tetap berjaya menarik puluhan ribu pengunjung setiap tahun.
Seterusnya kami dibawa ke Wat Taphan Hin yang dibina di atas bukit. Melihatnya saja sudah terasa mengah, apatah lagi untuk mendaki tangga batu bongkah dan kerikil di bawah pancaran matahari terik. Dari atas bukit, pelancong boleh menyaksikan pemandangan sebahagian daripada perkampungan di dalam kota sejarah berkenaan.
Sepanjang perjalanan melawat kota sejarah itu, beberapa kali tuk tuk tua yang kami naiki 'hilang' kuasa. Beberapa kali kami perlu turun, terutama ketika melewati kawasan berbukit. Mana tidaknya, sudahlah usianya tua, dikerah pula membawa empat penumpang yang 'comel-comel' semuanya.
Kira-kira jam 7 petang, kami tiba di Chiang Mai. Di sini kami lega kerana sudah membeli pakej pelancongan. Yang perlu dilakukan hanya menyewa teksi untuk sampai ke Hotel Chiang Mai. Malangnya, tiada seorang pun pemandu teksi tahu hotel yang kami maksudkan.
Untuk kali kedua hari sama, kami membelek peta mencari hotel. Memang tidak ada. Panik juga kerana berkali-kali Ahaddhaniah cuba menghubungi ejen pelancongan di sana, tetapi tidak berjaya.
Mujur ada pemandu teksi bermurah hati meminjamkan telefon bimbitnya. Rupa-rupanya nama hotel sudah ditukar kepada Hotel CH.
Aktiviti di Chiang Mai lebih santai seperti melawat taman orkid dan rama-rama (Taman Orkid dan Rama-rama di Taman Tasik Perdana sebenarnya 100 kali lebih baik dan menarik), kilang kulit dan batu permata serta menyaksikan persembahan gajah.
Paling dinanti ialah melawat perkampungan kaum Karen yang mempunyai leher panjang di Chiang Rai. Jika anda menempah pakej pelancongan, pastikan pemandu pelancong membawa anda melawat semua (lima) kampung orang asli di sini.
Kami diberitahu, mereka sebenarnya penduduk Myanmar yang dibawa masuk ke Thailand sebagai tarikan pelancong. Di sini mereka dibayar gaji (kira-kira 3,000 Baht atau RM300 sebulan) tetapi tidak dibenarkan keluar dari kampung berkenaan walaupun hanya untuk ke pasar atau klinik.
Kasihan pula mengenangkan nasib mereka yang menjadi bahan pameran. Malah, nasib anak penduduk kampung berkenaan juga tidak menentu kerana sekolah yang ada hanya pondok kecil dengan seorang guru sukarela.
Sebelum balik, kami singgah di Segi Tiga Emas (empat jam perjalanan dari Chiang Rai), pekan yang sangat popular dan menjadi sebutan ramai. Namun alangkah hampanya kerana ia hanya pekan kecil dan usang.
Ia menjadi sebutan kerana di sinilah terletaknya sempadan tiga negara (Thailand, Myanmar dan Laos yang dipisahkan Sungai Mekong dan Ruak.
Segi Tiga Emas terkenal kerana dulu ia menjadi pusat penanaman popi. Namun untuk mengetahui keunikan tempat ini, pelancong perlu menaiki bot menyusuri Sungai Mekong yang akan berhenti di Kampung Sob Ruak bagi membolehkan pelancong membeli beraneka barang untuk kenang-kenangan.
Puas melawat kuil, apabila balik ke Chiang Mai akhirnya kami berkesempatan menunaikan solat Zuhur di masjid yang tidak jauh dari hotel. Malah soal makan juga tidak menjadi masalah kerana di sepanjang bazar (tepi jalan utama) ada banyak restoran muslim.
Bagi yang mahu bercuti ke Thailand, waktu terbaik ialah antara Oktober hingga Januari kerana cuaca lebih sejuk dan nyaman. Bagi yang suka aktiviti lasak, mungkin boleh menempah pakej meredah hutan dan rafting buluh.
Namun pastikan bawa wang lebih kerana di Chiang Mai macam-macam ada, termasuk pakaian, aksesori, tekstil, barang hiasan rumah dan beraneka barang cenderahati yang sangat kreatif. Sebut saja, semuanya sedia; yang penting ada duitnya!
|
|