Mangsa salah tembak
Susunan FUAD HADINATA YAACOB
“KAMI tidak boleh terima (permintaan maaf itu). Mereka memang kurang ajar. Mereka tembak dulu dan membunuh orang tidak berdosa, kemudian meminta maaf,” kata ahli keluarga Jean Charles de Menezes, 27, lelaki Brazil yang ditembak mati kerana disyaki pengganas pada 2005.
Kenyataan itu dituju kepada polis England apabila Menezes menjadi mangsa ‘tembak mati’ selepas pihak berkuasa mahu membanteras keganasan sejurus kes pengeboman berlaku di London pada 7 Julai 2005 yang mengorbankan 56 nyawa.
Seiring penolakan maaf itu, keluarga lelaki berkenaan menimbang untuk menyaman pihak berkuasa dan kerajaan Britain atas kematian Menezes yang pada anggapan mereka tidak sepatutnya berlaku.
Sepupu mangsa, Patricia Silva Vivian Menezes, yang menetap bersama Menezes di sebuah pangsapuri di London, berkata keluarga mangsa juga mahu penjelasan terperinci berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian bermula jam 10 pagi 22 Julai 2005 itu, Menezes diekori pasukan polis berpakaian preman dari rumahnya di Tulse Hill dengan menaiki bas ke stesen kereta api terbabit sejauh 3.3 kilometer.
Pada masa itu pihak berkuasa dengan kerjasama Scotland Yard menjalankan operasi antikeganasan kerana sehari sebelum itu empat lelaki gagal melancarkan serangan bom terhadap sistem pengangkutan di London.
Polis turut menunjukkan gambar rakaman kamera keselamatan empat suspek, dua daripadanya didedahkan identiti iaitu Yasin Hassan Omar, 24, sebagai perancang serangan dan Muktar Said Ibrahim, 27.
Menezes yang disyaki seorang daripada suspek ditembak tujuh kali di kepala dalam jarak dekat oleh dua penembak tepat di dalam sebuah gerabak kereta api.
Laporan awal polis mendakwa lelaki itu enggan mematuhi arahan menyerah diri sebelum melarikan diri, melompat penghadang tiket dan meluru masuk ke dalam kereta api.
Namun, dokumen yang diperoleh Berita ITV menunjukkan sebaliknya apabila Menezes didakwa berjalan tenang memasuki stesen, malah berhenti seketika untuk mengambil surat khabar percuma.
Menezes yang bekerja sebagai juruelektrik di England menetap di Jalan Scotia, Tulse Hill sejak 2003.
Siasatan dijalankan Polis Metropolitan sehari selepas kejadian menyatakan mangsa sebagai Jean Charles de Menezes. Pihak berkuasa turut mengesahkan lelaki itu tidak membawa bahan letupan, malah tiada hubungan dengan pengganas atau mereka yang terbabit dalam merancang serangan bom di London.
Sejurus kemudian, mereka menyatakan kejadian itu satu tragedi dan memohon maaf atas apa yang berlaku.
Sementara itu, bapa mangsa, Matosinho Otoni da Silva, 66, berharap polis yang menembak Menezes dihukum kerana membunuh orang tidak bersalah.
“Semuanya sudah ‘ditamatkan.’ Saya tidak memaafkan mereka sampai bila-bila dan saya berharap mereka yang melakukannya (menembak) dikenakan hukuman kerana membunuh orang tidak berdosa,” katanya.
Ibu Menezes, Maria Otoni, memberitahu anaknya ada berkata kepadanya ‘sesuatu’ akan berlaku ke atas dirinya seminggu sebelum kejadian.
“Dia berkata kepada saya, dia dapat firasat ada perkara luar jangka akan berlaku dan dia sangat takut jika membabitkannya. Akhirnya ia menjadi kenyataan dan dia kini pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Ketika dikhabarkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya, Maria mengalami sesak nafas dan pengsan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Corak kematian Menezes menarik perhatian ramai, termasuk campur tangan kerajaan kedua-dua negara, selain bantahan dan luahan rakyat Brazil yang dilontarkan ke atas pihak berkuasa London.
Menteri Luar Brazil, Celso Amorim, turut menggesa kerajaan Britain menyiasat pembunuhan Menezes selepas bermesyuarat dengan rakan sejawatan di London, Jack Straw yang kini Menteri Keadilan.
Sebelum itu, Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair mewakili negaranya meminta maaf di atas kematian Menezes.
Di kampungnya di Gonzaga, tenggara Brazil, lebih 6,000 penduduk tempatan berhimpun untuk menyambut kepulangan mayat Menezes, seterusnya menyertai perarakan pengebumian.
Penduduk turut membawa pelbagai sepanduk, antaranya tertulis, “Keganasan bermaksud membunuh orang tidak berdosa.”
Selain itu, bantahan dan demonstrasi diadakan di banyak lokasi di Brazil, selain di England yang menuntut keadilan ditegakkan.
Sementara itu, menyedari kesilapan yang berlaku, polis Britain menawarkan bayaran ganti rugi berjumlah RM3.75 juta kepada keluarga mangsa akibat kematian Menezes.
Begitupun, ibu bapa Menezes menolak ganti rugi terbabit, sebaliknya menempelak dengan berkata maruah mereka tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Kami tidak boleh dibeli dan tidak akan berdiam diri. Ini bukan mengenai wang, tetapi kami inginkan keadilan.
“Kami tidak mahu maruah kami dibeli meskipun dengan jumlah wang yang banyak. Walaupun ia biasa diamalkan sebagai pampasan terhadap kesilapan dilakukan, kami enggan dan tidak sesekali menerimanya,” kata Silva.
Dalam pada itu, peguam keluarga Menezes, Harriet Wistrich, meminta Ketua Polis London, Ian Blair meletak jawatan kerana kenyataan dikeluarkannya bertentangan dengan kejadian sebenar.
Wistrich turut mendakwa Blair sengaja melengah-lengahkan siasatan, malah tidak yakin kes itu akan dijalankan secara adil.
Pada Oktober tahun lalu, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Jenayah Old Bailey. Pihak pendakwa raya di Britain mendakwa polis London mengenai operasi yang dijalankan sehingga menyebabkan kematian.
Pendakwa raya, Clare Montgomery, berkata pembunuhan Menezes menunjukkan polis melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan.
Katanya, tembakan itu bukan disebabkan operasi berkenaan tiba-tiba tersalah sasaran, tetapi ia berpunca daripada kegagalan asas merancang operasi secara selamat dan wajar.
Hampir sebulan bersidang, pada 1 November 2007, mahkamah mendapati polis London bersalah mengancam keselamatan awam kerana tersilap membunuh seorang warga Brazil yang disangka penyerang berani mati.
Berikutan itu, pihak berkuasa berkenaan dikenakan denda 175,000 pound (RM1.2 juta) dan diarah membayar kos guaman 385,000 pound (RM2.6 juta) selepas didapati bersalah atas satu tuduhan melanggar peraturan keselamatan dan kesihatan awam.
Bagaimanapun, tiada anggota keselamatan dikenakan hukuman atas kesilapan itu disebabkan pendakwa tidak cukup bukti untuk mendakwa mana-mana individu. Seperti dijangka, keputusan itu dikecam keluarga mangsa.
>Info
NAMA MANGSA: Jean Charles de Menezes
UMUR: 27 tahun (pada 2005)
LAHIR: 7 Januari 1978 di Gonzaga, Minas Gerais, Brazil
FAKTA JENAYAH: Dalam kejadian pada 22 Julai 2005, Menezes ditembak tujuh kali di kepala oleh anggota polis England di stesen kereta api bawah tanah Stockwell kerana menyangka dia penyerang berani mati yang hendak mengebom stesen berkenaan.
STATUS KES: Pasukan polis London didapati bersalah mengancam keselamatan awam kerana tersilap membunuh Menezes, sekali gus dikenakan denda 175,000 pound (RM1.2 juta) selain diarah membayar kos guaman 385,000 pound (RM2.6 juta). Bagaimanapun, tiada anggota keselamatan dikenakan hukuman atas kesilapan itu.
|
|