Pedoman: Syawal bulan pertingkat keimanan
DALAM usaha meningkatkan amalan yang berterusan selepas Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal yang lebih dikenali dengan puasa enam.
Allah memberi rangsangan kepada umat Islam yang berpuasa enam dengan ganjaran besar sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.” (HR Muslim)
Hikmah puasa enam Syawal ini ialah mendidik kesabaran kita, tidak menjadikan hari raya sebagai masa untuk ‘balas dendam’ kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga sepanjang bulan puasa, dengan menikmati makanan lazat dan minuman enak sepuas-puasnya.
Puasa enam ini adalah ujian terhadap hamba-Nya, adakah sanggup seseorang umat Islam meneruskan puasa selepas sebulan Ramadan walaupun sekadar enam hari.
Sebenarnya, puasa enam juga boleh disifatkan puasa meredakan kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan Ramadan.
Ia juga bertujuan memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri dengan makan minum pada siang hari sesudah sebulan amalan menahan lapar dan dahaga.
Itu menjadikan puasa enam Syawal yang boleh dimulakan seawal 2 Syawal, benar-benar menguji kesabaran dan keimanan seseorang apabila menghadapi godaan hebat pelbagai makanan yang lazat dan melimpah ruah, apa lagi banyak rumah terbuka diadakan.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Drs Wan Aminurrashid, matlamat puasa adalah bagi melahirkan takwa dan berakhirnya Ramadan bukan bermakna berakhir pula suasana ketakwaan kita kepada Allah.
“Selepas selesai menyambut kemenangan Aidilfitri bukan bermakna sudah selesainya kerja dan perjuangan kita,” katanya.
Beliau berkata, seseorang itu benar-benar dilatih menerusi Ramadan dan latihan itu meninggalkan kesan positif dalam usaha membentuk insan muttakin.
“Jadikan Syawal ini untuk menanam rasa keinsafan dan mempertingkatkan rasa keimanan. Semoga jiwa kita menjadi bersih selepas Ramadan dan menjadi insan bertakwa di sisi Allah.
“Fahami konsep sebenar sambutan Aidilfitri menurut Islam, semoga kita tidak salah erti perayaan mulia ini hingga banyak berlaku hal yang melanggar tata susila ketika menyambutnya, seperti sikap berlumba-lumba membuat persiapan hari raya hingga sampai ke tahap membazir dan berlaku perkara yang tidak diredai Allah,” katanya.
|
|