» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Variasi » Ekspresi

Ekspresi Pesona maiko, geiko

Laporan RAHAYU MOHD SALLEH
ayu@nstp.com.my



MEMANG asyik menyaksikan penampilan mereka. Solekan tebal dengan kimono padanan pelbagai rona terang itu sudah cukup membuat hati terpesona.

Itu belum menonton tertibnya jemari mereka menghidang teh, begitu juga gemalainya langkah tari kipas dipersembahkan wanita bergelar maiko (sebutannya ma-i-ko) dan geiko itu.


Penampilan serta tingkah mereka membuatkan penulis pantas berbisik di telinga pemandu pelancong, Yumi Masaki, “Adakah mereka yang dipanggil geisha?”

Yumi hanya mempamer senyum, barangkali sudah biasa diajukan pertanyaan begitu oleh orang asing yang biasanya bagaikan tidak dapat mengawal perasaan apabila melihat kelibat wanita berbedak putih melepak itu.

“Yang muda itu digelar maiko dan wanita yang nampak lebih matang itu geiko. Mereka menjalani latihan bertahun-tahun lamanya untuk berada pada kedudukan sekarang.

“Maiko yang lebih dikenali sebagai wanita tari memulakan latihan pada umur 15 tahun selama kira-kira empat tahun sebelum dinobatkan sebagai geiko yang juga digelar wanita seni,” katanya.

Maiko dan geiko berkemahiran dalam beberapa cabang seni, termasuk menghidang teh secara tradisional, bermain alat muzik klasik dan menari atau sekadar memanfaatkan waktu dengan perbualan biasa.

Di Tokyo, gelaran geisha lebih popular, namun di Kyoto, golongan terbabit lebih dikenali sebagai geiko, yang dikatakan berasal daripada dialek Kyoto.

Maiko dan geiko yang dipertemukan dengan penulis serta rakan media tengah hari itu di restoran tradisional Jepun, Awata Sanso di kaki pergunungan Higashiyama, tidak menang tangan melayan kami yang asyik mahu bergambar.

Malah, si geiko yang mudah mesra itu begitu ramah berbicara. Dia juga akui pernah berkunjung ke Pulau Pinang bersama keluarganya dulu.

Berkhidmat di restoran sedemikian yang biasanya menjadi tarikan utama untuk pelancong asing, maiko dan geiko hanya dikenali menerusi nama samaran yang tertulis pada kipas di pintu masuk restoran.

Si maiko yang nama sebenarnya, Akane Shinoki, 19, mengakui memahami dan boleh bertutur bahasa Inggeris tetapi penguasaan bahasanya kurang baik. Barangkali, atas alasan itu dia kelihatan lebih pendiam tetapi tetap tidak lokek mengukir senyum.

Jika berpeluang berkunjung ke Kyoto, selain rumah teh dan restoran tradisional Jepun, kelibat geiko boleh ditemui di daerah popularnya, Gion.

Kini, ada kira-kira 200 geiko dan 100 maiko di bandar bersejarah Kyoto itu sedangkan sekitar 1920-an, dikatakan ada lebih 80,000 geisha di Jepun.

“Di Kyoto ini, rata-rata golongan geiko sebenarnya kurang senang jika mereka dipanggil geisha,” kata Yumi bersungguh-sungguh.

Dengan pelbagai rentetan sejarah silam mengenai kisah hidup geisha yang banyak disalah mengertikan, malah oleh rakyat Jepun sendiri, penulis tidak salahkan golongan geiko moden itu yang berperasaan demikian.

Kyoto yang didiami kira-kira 1.47 juta penduduk itu memang sesuai dikunjungi peminat sejarah atau mereka yang sekadar ingin meneroka tinggalan silam seperti binaan kuil yang masih teguh biarpun dibina beratus tahun lalu.

Tidak hanya bangunan kuno, binaan bangunan di tengah dan pinggir bandar yang agak seragam dengan ketinggian hanya beberapa tingkat menerusi gabungan reka bentuk moden serta tradisional juga mudah membuat hati tertawan.

Lantas, berjalan kaki entah beberapa kilometer pun tidak terasa kerana bermacam benda boleh ditinjau di deretan jalan, terutama di sekitar pusat perniagaan Kawaramachi.

Di situ letaknya Sanjo yang menyajikan bermacam barangan cenderahati, daripada yukata (pakaian seakan kimono), kipas kertas, penyepit kayu dan cawan sake sehinggalah aneka reka bentuk topi dan kasut aliran terkini.

Menariknya, meskipun terkenal di kalangan pelancong, harga barangan diperagakan di situ masih dalam julat yang sangat munasabah.

Cuma, jika berhajat mendapatkan kimono, eloklah jika bersiap dengan wang lebih. Ini kerana, harganya memang sepadan benar dengan buatannya yang halus dan cantik. Beratus malah boleh mencecah ribuan ringgit, namun kimono Kyoto memang berkualiti dan berbaloi dimiliki.

Sanjo tetap meriah sama ada pada waktu siang atau malam. Cuma sesetengah kedainya ditutup awal iaitu sekitar jam 8 malam, tetapi ada juga yang masih terus menerima pengunjung sehingga jam 10 malam.

Ia juga mudah dikunjungi jika menaiki tren laju. Usah bimbang jika banyak tulisan tertera di dalam bahasa Jepun pada mesin pengeluaran tiket di stesen tren berkenaan kerana masih ada ruang yang mempamerkan arahan dalam bahasa Inggeris.

Tren antara pengangkutan awam lebih murah berbanding teksi. Namun rata-rata, ramai yang berbasikal di mana-mana kota di Jepun kerana ia jauh lebih murah, cepat dan mudah selain lebih menyihatkan untuk si penunggang.

Setiap keluarga di Jepun lazimnya memiliki dua basikal atau bergantung kepada bilangan ahli keluarga kerana masing-masing menjadikan basikal sebagai antara kenderaan utama termasuk untuk ke pejabat.

Selain Sanjo, menjengah deretan kedai di sekitar Kawaramachi juga sebenarnya tidak kurang menarik. Jika berkenan, singgah saja ke dalam kedai tanpa bimbangkan si pekedai menjeling kerana asyik melihat-lihat tanpa membeli.

Lebih menyenangkan, masyarakat Jepun bukan sekadar saling menghormati, malah gemar membantu meskipun keupayaan berbahasa Inggeris mereka mungkin tidak sehebat mana.

Kasihan si gadis manis Jepun yang terkial-kial menyapa di sebuah kedai pakaian yang sempat dikunjungi penulis malam itu.

Dia tidak kisah pun deretan pakaian dan skafnya yang dibelek dan diselak penulis bersama teman. Dia lebih berminat untuk mengetahui asal usul serta aktiviti kami di Kyoto dalam perbualan yang banyak diselang selikan dengan bahasa isyarat itu.

Sesudah puas membelek pakaian dan berkenal-kenalan secara tidak rasmi, tubuh membongkok tanda hormat berserta senyumannya menghantar kami ke muka pintu kedai tanpa wajah muncung atau rasa jengkel biarpun kami langsung tidak melabur wang di kedainya.

Kami turut membalas dengan senyum, angguk dan membongkok ala si Jepun malah sebenarnya, sejak tiba di Jepun beberapa hari lalu pun, penulis sudah menyimpan rasa kagum terhadap budaya dan cara hidup masyarakatnya.

Tiada yang begitu misteri seperti sejarah geisha, sekadar hati tulus yang menjunjung peradaban murni di tengah kepesatan pembangunan dan kemajuan teknologi bangsanya.

Carian Artikel
Lain-lain artikel :


 
VARIASI

Bestari

it@Metro
lagi
it@Metro
lagi
it@Metro
lagi
it@Metro
lagi
deko
lagi
it@Metro
lagi


 
MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker