Ray umpama syaitan
Susunan FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my
SUKAR membayangkan bagaimana seksaan dan penderitaan dihadapi mangsa lelaki kejam bernama David Parker Ray, 63, berasal dari Belen, New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Setiap mangsanya dibiarkan menderita sebelum dibunuh, malah mereka dapat menyaksikan secara langsung seksaan dilakukan Ray melalui televisyen yang diletakkan di depan mereka yang disambungkan dari tempat penyeksaan.
Malah lelaki itu sanggup memperuntukkan AS$100,000 (RM350,000) semata-mata untuk membina satu bilik dinamakan bilik seksaan yang dipanggilnya ‘kotak mainan’ (toy box).
Pada Ray, bilik itu ‘rakan karibnya’ yang banyak membantu dan berjasa kepadanya. Tidak hairan ia kelihatan eksklusif dengan pelbagai kelengkapan selain dihias indah.
Bilik seksaan buatan sendiri itu menyimpan pelbagai alat ‘mainan’ seperti rantai, cemeti, takal, pengapit, tali gantung, pisau untuk pembedahan, gergaji dan gelang rantai kaki.
Turut dilengkapi dalam bilik berkenaan ialah sebuah meja dipanggil meja ujian perubatan yang digunakan untuk menjalankan pelbagai ‘eksperimen’ ke atas mangsanya.
Setiap kali melakukan ‘ujian’ ke atas mangsanya, Ray memaksa mereka melihat melalui televisyen yang disambungkan kamera daripada tempat seksaan dan rakaman itu disimpan sebagai koleksi peribadinya.
Lelaki kejam terbabit turut merakam percakapannya sepanjang melakukan penyeksaan, begitu juga suara mangsa sama ada menjerit, menangis atau meminta simpati.
Malah, satu laporan menyatakan meskipun ada sesetengah mangsanya pengsan, Ray meneruskan seksaan apabila dia sedar semula tanpa menghiraukan penderitaan yang ditanggung.
Selain alatan menyeksa terbabit, ada satu lagi alat paling kejam yang menggunakan tenaga elektrik diletakkan dalam bilik terbabit. Alat bermotor dengan kuasa 12 voltan itu digunakan khas pada bahagian buah dada khusus untuk wanita.
Jenayah kekejaman Ray bermula sejak awal 1950-an, namun tiada siapa dapat menghidu perbuatannya sehingga seorang mangsa berjaya meloloskan diri daripada ‘bilik neraka’ itu pada Mac 1999.
Mengikut laporan, sejak terbabit dengan jenayah berkenaan, hampir 60 orang menjadi mangsanya, namun dalam satu rakaman yang diperoleh dari bilik seksaan itu, Ray menyatakan dia membunuh sekurang-kurangnya seorang mangsa setahun selama 40 tahun.
Ray tidak berseorangan melakukan jenayah kerana turut dibantu anaknya, Glenda Jean Jessy; teman wanita, Cynthia Hendy serta pengikut, Dennis Roy Yancy, 27.
Ketiga-tiga pembantu Ray membawa mangsa kepadanya di rumahnya di Elephant Lake Home sebelum dia menjalankan tugas di bilik seksaan. Begitupun, tiada laporan menyatakan sama ada mangsa dirogol sebelum diseksa dan dibunuh.
Sementara itu, mangsa yang terselamat dan membuka rahsia Ray, Cynthia Gill, berkata dia mengalami mimpi ngeri sepanjang di dalam bilik seksaan itu selama tiga hari.
“Ia satu tempoh dahsyat. Dia (Ray) layak dipanggil syaitan dan saya harap ‘syaitan’ itu dibakar hidup-hidup untuk selama-lamanya.
“Setiap apa yang dilakukannya mewujudkan trauma yang sukar disembuhkan. Tiada hukuman selayaknya kepada lelaki kejam itu selain mati sebagaimana kesengsaraan yang saya lalui,” katanya.
Menceritakan pengalaman sepanjang dalam bilik seksaan itu, Cynthia berkata, dia diikat dan dikurung dalam keadaan tidak bermaya.
“Saya menangis dan merayu, namun tidak dihiraukan. Saya bernasib baik walaupun bilik gelap gelita, saya berjaya melarikan diri,” katanya yang berharap Ray dijatuhi hukuman setimpal.
Cynthia berkata, dia melarikan diri dengan leher dipasang rantai besi dan rantai kaki berkunci. Cynthia berjaya lari selepas menikam teman wanita Ray dengan menggunakan pemecah ais.
Kejayaan Cynthia meloloskan diri pada 22 Mac 1999 berjaya membawa pembongkaran rahsia bilik seksaan yang selama ini meragut ramai nyawa tidak berdosa.
Sejurus pihak berkuasa menerima laporan, rumah Ray diserbu dan lelaki itu bersama anak dan teman wanitanya ditahan bagi membantu siasatan.
Polis menemui enam tengkorak dalam almari, serpihan tulang dipercayai manusia di sekitar kawasan itu, pita video yang merakam penyeksaan dilakukan serta pelbagai peralatan penyeksaan.
Polis menemui mayat di tasik berdekatan rumah lelaki itu yang menjadi mangsa pembunuhan kejamnya.
Dalam pada itu, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Mary Ellen O’Toole, berkata Ray lelaki ‘sadism’ atau suka mencedera dan menyaksikan kekejaman dilakukannya.
Katanya, peralatan yang ada adalah bukti jenayah kejam dilakukannya, malah kelicikan lelaki itu berjaya mengabui perbuatannya daripada diketahui umum.
Mary yang pakar dalam bidang jenayah seperti itu berkata, Ray menghadapi masalah ‘kecelaruan psikoseksual’ dan ia hanya boleh dihentikan dengan cara ditahan dan kemudian diberikan rawatan.
Selain Cynthia, antara mangsa Ray yang dikenalpasti ialah Marie Parker, 22, Kelli Van Cleve dan Angie Montano.
Sementara itu, selepas berita penahanan dan kisah bilik seksaan Ray tersebar, kawasan kediaman lelaki itu menjadi tumpuan termasuk media, keluarga mangsa serta orang awam.
Dalam satu kenyataan, keluarga Kelli meminta Ray dibiarkan ‘hidup’ lama di penjara supaya lelaki itu dapat merasai apa yang dilalui Kelli dan mangsa lain.
Ibu Angie, Loretta Romero, berkata anaknya seorang yang baik dan kini dia hilang segala-galanya angkara Ray.
“Saya tidak akan lupa apa yang dilakukan ke atas anak saya. Dia mesti dihukum seberat-beratnya,” katanya.
Bagi nenek Cynthia, Bertha Gill, cucunya tidak tidur lena selepas bebas daripada cengkaman penjenayah itu.
“Dia (Cynthia) alami mimpi ngeri setiap malam dan ini mengganggu hidup kami sekeluarga. Dia (Ray) bukan manusia dan selayaknya dihapuskan,” katanya.
Pembantu Ray, Yancy yang disoal siasat pihak berkuasa mengakui terbabit dalam pembunuhan Marie sementara Ray pula mengambil gambar.
Berdasarkan bukti yang ada, pada 12 April 1999, Ray didakwa atas tuduhan membunuh, menculik dan konspirasi menculik dan membunuh. Mahkamah pada tahun sama menjatuhi hukuman penjara 224 tahun ke atasnya atas semua kesalahan berkenaan.
Begitupun, Ray hanya sempat menjalani hukuman dua setengah tahun penjara sebelum mati pada 28 Mei 2002 akibat sakit jantung.
INFO
NAMA: David Parker Ray
LAHIR: 6 November 1939 di Belen, New Mexico, Amerika Syarikat
UMUR: 63 tahun (pada 2002)
JUMLAH MANGSA: 14 hingga 60 orang
TEMPOH PEMBUNUHAN: Awal 1950 hingga Mac 1999
JENAYAH: Ray didakwa atas tuduhan penculikan dan penyeksaan seksual ke atas tiga wanita muda, Kelly Van Cleave; Angie Montano dan Cynthia Hendy di rumahnya di Elephant Lake Home, Belen, New Mexico
HUKUMAN: Didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 224 tahun atas kesalahan merogol dan membunuh, namun dia hanya sempat menjalani hukuman dua setengah tahun sebelum mati pada 28 Mei 2002 akibat sakit jantung.
|
|