Seketika di puncakOleh NORAINON OTHMANnorainon@hmetro.com.my PERMULAAN trek yang mencanak adalah ujian awal bagi pendaki Gunung Bujang Melaka, Tapah, Perak sebelum menarik nafas lega merentasi tanah landai di pertengahan jalan.
Bagaimanapun, ketahanan fizikal dan mental mereka sekali lagi diuji apabila terpaksa mendaki trek mencanak untuk menawan puncak. Biarpun namanya tidak segah Gunung Kinabalu, Gunung Bujang Melaka mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri. Terletak di Hutan Simpan Sahum Kampar, gunung setinggi 1,233 meter ini mempunyai banyak tumbuhan yang dikatakan ada nilai perubatan. Pendakian sekumpulan 16 pendaki di gunung itu bermula dari kawasan perkelahan Air Terjun Batu Berangkai Kampar pada jam 11 pagi dan tiba di Kem Lebah empat jam kemudian. Selepas memasang khemah dan berehat, mereka meneruskan pendakian dan berjaya menawan puncak gunung pada jam 6 petang. Siti Ummi Adiba Abu Bakar, 23, yang mengikuti ekspedisi itu baru-baru ini, berkata masa diperuntukkan untuk ada di puncak tidak lama kerana tiada pemandangan menarik dapat dinikmati. “Hanya 45 minit kami di puncak. Pelantar puncak itu sempit dan tiada pemandangan cantik dapat dilihat. Kami hanya mengambil gambar beramai-ramai sebagai kenangan,” katanya. Dia yang kali ketiga mengikuti ekspedisi gunung berkata, trek gunung yang mencabar memberi keseronokan dan kepuasan kepada pendaki. “Walaupun trek tidak sukar, pendaki perlu berhati-hati kerana banyak akar pokok di tengah laluan. Jika tersilap langkah, pendaki akan terjatuh,” katanya yang turut terjatuh dan cedera ringan. Menurutnya, mereka turut melalui trek yang direntangi balak tumbang dan bongkah batu. Perjalanan diteruskan dengan memanjat balak itu seolah-olah menyeberangi titi. Ummi berkata, selepas ada di puncak, mereka menuruni gunung untuk bermalam di Kem Lebah. “Ketika menuruni puncak, kami diingatkan oleh jurupandu supaya tidak meninggalkan rakan dalam jarak terlalu jauh. Ini kerana, sukar mengawal keadaan jika berlaku kejadian tidak diingini. “Apapun, hanya selepas kami menamatkan pendakian dan ada di tempat letak kereta, jurupandu memaklumkan tempat itu ‘keras’,” katanya. Menurutnya, jurupandu memaklumkan, berlaku kejadian misteri apabila kumpulan pendaki lain yang turut mendaki gunung itu mengatakan kumpulan mereka membuat bising sekitar jam 12 tengah malam, sedangkan sejak jam 11 malam lagi mereka sudah tidur kerana keletihan. Sementara itu, Mohd Khairul Nizam Yaakob, 24, berpendapat pendakian di trek gunung itu tidak terlalu sukar, cuma di kawasan tertentu ada halangan kayu balak tumbang. “Dalam perjalanan pulang, kami turut berhenti mandi-manda di Air Terjun Batu Berangkai yang dingin dan segar. Kami tidak melepaskan peluang melakukan aksi ‘terjun tiruk’ yang menjadi kegemaran pendaki gunung jika bertemu air terjun. “Keistimewaan ekspedisi kali ini ialah ketika perjalanan pulang melalui dusun Orang Asli, kami berpeluang menikmati keenakan durian hutan yang baru gugur. Ia tidak ada ketika mendaki di gunung lain,” katanya. |