» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Variasi » Ekspresi

Ekspresi Buruan emas

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my



BAK kata bidalan, hanya jauhari yang kenal manikam. Begitulah kepentingan burung layang-layang kepada individu yang tahu keistimewaannya. Bagi mereka, burung layang-layang yang terbang berkeliaran, terutama di kawasan sawah, dilihat umpama lubuk emas.

Pun begitu, nilai burung itu bukan terletak pada bulu, paruh atau pada mana-mana bahagian tubuhnya. Bahkan, ia juga tidak bernilai untuk dijadikan sebagai burung peliharaan sepertimana burung kakak tua atau tiung.


Sebaliknya, ia terletak pada sarang yang dihasil menggunakan air liur burung berkenaan. Mana tidaknya, harga sarang burung itu mencecah ribuan ringgit sekilogram di pasaran kerana berkhasiat sebagai makanan kesihatan.

Percaya atau tidak, harga sarang burung layang-layang boleh mencecah antara RM2,000 dan RM5,500 sekilogram di pasaran, manakala yang sudah diproses dan dibersihkan berharga antara RM10,000 dan RM12,000 sekilogram. Setiap kilogram pula mengandungi 120 sarang burung.

Di Indonesia dan Thailand, perusahaan sarang burung diusahakan sejak sekitar 1990-an, bahkan tumbuh bak cendawan di kawasan pedalaman negara berkenaan. Ia giat berkembang kerana sarang burung layang-layang turut mempunyai potensi besar di pasaran antarabangsa.

Di negara kita, perusahaan menternak burung layang-layang untuk mendapatkan sarangnya bermula pada hujung 1990-an dan pada awalnya hanya didominasi penternak bukan Bumiputera.

Ini kerana, tidak ramai orang tempatan tahu mengenai selok-belok perusahaan sarang burung, walaupun kaedah digunakan untuk perusahaan berkenaan mudah dan kurang risiko.

Ramai menggunakan rumah kedai terbiar dan bangunan kosong untuk ‘memanggil’ burung itu membuat sarang di premis berkenaan, terutama di kawasan bandar.

Bagaimanapun, cara demikian selalunya menemui kegagalan dan jarang yang beroleh pendapat lumayan seperti diharapkan.

Perunding ternakan burung layang-layang, Azman Shah Omar dari Bina Agro Nusantara Resources Sdn Bhd (Bina Agro) memberitahu, walaupun perusahaan itu cukup sekadar membuat rumah di kawasan habitat makro burung ini, ia juga bergantung kepada pemilihan tapak dan kawasan sesuai.

Katanya, bukan semua tempat boleh dikunjungi burung berkenaan, apatah lagi jika kawasan itu ada gangguan manusia, bising dan tiada sumber makanannya.

“Ini usaha yang lumayan kepada pengusaha dan mereka tidak perlu menternak dan memberi makan burung berkenaan. Lantaran itu, orang ramai berebut-rebut membuat sarang burung layang-layang.

“Namun, perlu ada pengetahuan mengenai lokasi, teknologi reka bentuk rumah yang dibuat, peralatan audio untuk memikat burung, penjagaan rumah dan cara kembang biak populasi burung, pemakanan dan keselamatan,” katanya yang terbabit dengan perusahaan sarang burung sejak 2004.

Beliau berkata, ketidakselesaan dan tanggapan negatif orang ramai, terutama warga bandar, berhubung industri ini berpunca daripada kurangnya pengetahuan pengusaha dan pemilik premis burung berkenaan sehingga mereka didakwa menyebabkan bunyi bising di kawasan terbabit.

Katanya, ia juga berpunca daripada sikap ghairah pengusaha yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan perasaan dan kepentingan orang di sekeliling mereka.

“Bagi yang mengetahui nilai sarang burung layang-layang, ia bagaikan buruan emas kepada mereka. Sebab itu mereka sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan sarang berkenaan kerana tahu pendapatannya lumayan.

“Malangnya, tidak ramai mengetahui garis panduan dan amalan baik yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengenai penternakan sarang burung.

“Ini tidak sepatutnya berlaku, ada cara betul perlu dilakukan,” katanya yang turut menjalankan kajian mengenai pembiakan burung layang-layang.

Mengenai penternakan sarang burung, beliau berkata, burung yang dipanggil walit ini juga ada ciri-ciri tertentu yang perlu difahami pengusaha dan penternak.

Katanya, daripada segi perilaku makanan, ia terbang dengan kaedah menyambar serangga yang berterbangan berhampiran kawasan sungai, kolam atau tepi laut dan ia akan berbuat demikian seawal jam 5 pagi.

“Ia pulang lewat jam 6 petang. Ketika pulang ke sarang, burung ini tidak boleh diganggu supaya ia dapat menghasilkan sarang yang bermutu.

“Burung ini perlu membuat sarang di kawasan sejuk dan gelap. Ia tidak boleh terkena cahaya. Sepasang burung membuat sarang bersama dan sarang biasanya matang dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Azman berkata, bagi penternak sarang burung, bunyi rakaman suara burung perlu dimainkan di rumah burung berkenaan mengikut keadaan, termasuk ketika musim burung mengawan, mencari tempat membuat sarang dan mula bertelur.

“Rumah burung pula perlu ada bilik bersarang, ruang utama, dinding, langit-langit, sirip, lantai, pintau masuk, lubang pengudaraan, kolam atau tong air dan pagar,” katanya.

Menyentuh mengenai Bina Agro, Azman berkata, pihaknya mengendalikan pelbagai projek membangunkan kawasan ‘perumahan walit’ di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan menggunakan teknologi binaan dan sistem audio terbukti berjaya di Indonesia.

Terbaru, pihaknya juga memulakan pembangunan perusahaan burung walit bersepadu di Tanjung Kepayang, Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.

“Kira-kira 160 unit rumah burung walit akan dibina dan dibuka kepada pengusaha yang berminat menjalankan penternakan sarang burung,” katanya.

Beliau menambah, nilai eksport tempatan pada masa ini mencecah RM500 juta setahun.

Ketika ini pengeluaran sarang burung walit seluruh dunia bernilai RM4 bilion setahun, satu angka lumayan untuk mereka yang mahu menceburkan diri.

Dengan adanya pakar dan konsultan berkelayakan, peserta memperoleh maklumat mengenai penternakan sarang burung ini dan potensinya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web www.walitworld.com, atau www.ban-walitworld.com.



Info

  • Nama saintifik burung layang-layang ialah Collocalia Fushipages

  • Sarang burung itu yang diperbuat daripada air liurnya berkhasiat sebagai makanan kesihatan

  • Sarang mentah berharga antara RM2,000 dan RM5,500 sekilogram manakala sarang sudah diproses berharga RM10,000 dan RM12,000

  • Pasaran sarang burung layang-layang mencecah RM500 juta setahun di dalam negara dan RM4 bilion di peringkat antarabangsa

  • Carian Artikel
    Lain-lain artikel :


     
    VARIASI

    Bestari

    it@Metro
    lagi
    it@Metro
    lagi
    it@Metro
    lagi
    it@Metro
    lagi
    deko
    lagi
    it@Metro
    lagi


     
    MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
    Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
    © Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker