Pedoman: Keampunan Allah sepenuh bumi
APABILA dosa yang dilakukan tidak terhitung lagi, masih bolehkah kita mensucikan diri daripada segala noda itu?
Adakah kita masih ada kesempatan untuk kembali ke pangkal jalan dan hidup sebagai manusia yang bersih daripada segala kekotoran maksiat dan perkara jahat yang pernah dilakukan? Masih bolehkah diri kita diterima?
Ramai yang ‘membuka mata’ selepas usia sampai ke penghujungnya. Pada saat itu, seseorang yang menghabiskan zaman mudanya dengan maksiat dan nikmat dunia mula menyedari dia sudah terlalu tua dan perlu kembali ke jalan benar lagi diredai Allah SWT.
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kasih dan sayang-Nya ditumpahkan buat umat manusia dengan pengampunan bagi mereka yang berdoa dan berharap.
Daripada Anas RA, katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda; ‘Allah berfirman: Hai anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap pada-Ku, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tiada peduli.
Hai anak Adam! Kalau sampai sekelian dosa engkau ke awan langit, kemudian itu engkau memohon keampunan-Ku, nescaya Aku ampuni engkau.
Hai anak Adam! Sesungguhnya kalau engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi (ini) kemudian engkau menemui Aku pada hal tiada engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi.” (sahih Al-Tarmizi)
Keampunan sepenuh bumi, begitulah besarnya kasih dan sayang Allah pada manusia!
Memohon keampunan atau beristighfar membawa maksud meminta keampunan dengan lidah dan bertaubat di hati dan menghentikan perlakuan dosa yang pernah dilakukan supaya seiring dengan permohonan itu.
Istighfar yang afdal ialah dengan memulakan pujian pada Allah dan diikuti pengakuan di atas dosa yang dilakukan sebelum meminta keampunan.
Memohon keampunan ini dibahagikan kepada tiga iaitu istighfar daripada golongan orang berdosa yang mahu diampuni dan takutkan seksaan; golongan orang yang salih untuk melenyapkan tidak senang hati kerana kurang bersyukur dan kelalaian hati; dan golongan nabi untuk menambah lagi syukur mereka ke hadrat Ilahi.
Kesimpulannya, bagi mendapatkan keampunan Allah, seseorang manusia itu hendaklah berdoa dan menaruh harapan bahawa doa diterima-Nya, istighfar dan yang paling penting ialah tauhid pada iktikad atau kepercayaan.
|
|