An-Nur: Sekadar muka, tangan
Oleh ZAHARUDDIN ABD RAHMAN (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com
>SAMBUNGAN MINGGU LALU
SELAIN daripada khumur iaitu kain tudung yang menutup kepala wanita dan juyub yang menutup leher serta dada wanita, ayat itu juga menekankan satu lagi aspek yang secara putus termasuk rambut, kepala dan leher iaitu firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”
Adakah anda faham apa yang dimaksudkan dengan “perhiasannya” di dalam ayat ini? Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi, perhiasan yang dimaksudkan merujuk kepada apa saja yang dipakai untuk mencantikkan diri seseorang.
Ia sama ada yang dikurniakan Allah seperti wajah, rambut dan bentuk tubuh atau kecantikan yang dibuat manusia seperti baju, barang kemas, mekap dan lain-lain.
Di dalam ayat di atas, Allah memerintahkan wanita menyembunyikan perhiasan diri mereka tanpa pengecualian. Bagaimanapun, pengecualian hanya pada “yang (biasa) nampak daripadanya.”
Ulama berselisih pendapat mengenai maksud dan batas-batas “perhiasan, kecuali yang (biasa) nampak” tetapi semua bersetuju tiada pengecualian untuk rambut dan kepala.
Ini berdasarkan hadis berikut: Saidatina Aisyah RA meriwayatkan saudara perempuannya Asma’ Abu Bakar masuk ke rumah Nabi SAW memakai pakaian nipis dan jarang sehingga menampakkan bentuk tubuhnya.
Nabi SAW lalu memalingkan muka daripada Asma’ dan berkata: “Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seseorang wanita mencapai umur baligh, dia tidak boleh mendedahkan badannya kecuali ini dan ini (sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangan).” (Riwayat Abu Daud)
Walaupun ada perbincangan mengenai perawi hadis ini, ia dikuatkan dengan banyak lagi hadis yang membenarkan wanita mendedahkan muka dan tangan jika ia tidak membawa mudarat (fitnah). (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
Hadis ini juga menyokong pendapat kepala dan rambut wanita adalah aurat dan mesti ditutup kecuali muka dan tapak tangan atau tangan yang boleh dilihat umum.
Memang benar, wujud perbincangan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya” iaitu bahagian yang dibolehkan terdedah sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran. Namun, ulama empat mazhab dan ijmak sepakat ia bukan rambut, leher, telinga dan kepala.
Ibnu Abbas RA, sahabat terulung Nabi SAW, menafsirkan “perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya” adalah celak mata dan cincin. Anas Bin Malik RA juga sependapat dengan beliau.
Bagaimanapun, Ummul Mukminin Aisyah RA, Qatadah dan beberapa yang lain berpendapat gelang sebagai “yang (biasa) nampak.” Oleh itu, pergelangan tangan (di mana gelang dipakai) juga dikira sebagai “yang (biasa) nampak” jika ia tidak menimbulkan fitnah.
Berkenaan batas pergelangan tangan ke siku, ia masih dibincangkan di kalangan ulama. Oleh itu lebih baik menutupi bahagian antara pergelangan tangan dan siku.
Mereka menyatakan lagi:
Kita tidak menterjemah al-Quran. Boleh saya cadangkan suatu yang lebih mudah? Kenapa tidak hanya membacanya? Jika kita baca al-Quran dalam bahasa Arab dan kemudian melihat terjemahannya baik-baik, kita akan dapat memahaminya.
Anda tak perlu tahu bahasa Arabpun. Contohnya, perkataan Arab untuk kepala tidak pernah disebut dalam mana-mana ayat di atas.
Begitu juga dengan muka dan rambut. Jadi bagaimana penterjemah memasukkan kepala, muka dan rambut? Seseorang mesti terangkan perkara ini.
Komen saya
Apakah anda fikir Allah hanya akan menggunakan ru’asa untuk memberi erti kepala dan sya’run kepada rambut?
Anda benar-benar keliru ‘Encik Penulis Blog’ dan rakan.
Apabila Allah SWT melarang kita walau berkata ‘Ah’ kepada orang tua kita sebagaimana disebut di dalam surah Luqman, adakah boleh kita menyebut ‘Uh’ dan bodoh dan sebagainya kepada orang tua kita kerana ia tidak disebut dalam al-Quran dengan jelas?
Di dalam ilmu Usul Fiqh, ia dipanggil Qiyas al-Awla atau boleh juga dikategorikan sebagai ‘umum al-lafz’ yang membawa semua perkataan di bawah maksud sama. Jadi, kepala dan rambut wanita termasuk dalam perkataan “al-khumur” di dalam ayat berkenaan. Semudah itu.
Mengenai akhir artikel di blog itu, sebahagian hadis disalah rujuk, jadi saya tidak perlu memberi respons padanya. Mengenai kenyataan ‘Don’t judge a book by its cover’ (jangan menilai luarannya saja), ia saya sifatkan mitos.
Ungkapan ini kerap saya dengar. Hujah mereka, biarpun tidak menutup aurat atau berpakaian seksi, hati mereka baik. “Wanita bertudung pun banyak yang jahat,” kata mereka lagi.
Malah, ada yang ‘advanced’ lantas berhujah dengan hadis Nabi yang sahih yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar orang berhujah dengan hadis untuk menyokong nafsunya. Situasinya begini: Seorang pekerja dikesan majikannya bermain permainan komputer pada waktu kerja sedangkan kerjanya tidak disiapkan, lalu si majikan berkata:
“Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu?” Lalu jawab si pekerja: “Saya luaran saja nampak main ‘game’ bos, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang.” Adakah anda rasa bos boleh menerima cakap pekerjanya?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mesti ditentukan mengikut neraca Allah dan Rasul-Nya, bukan neraca pemikiran kita semata-mata.
Menurut neraca Islam, kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya daripada tindak tanduknya. Bila tindakannya menyalahi hukum Islam, ia tanda kekotoran hatinya.
Jika tindakan luarannya bertepatan Islam, harus ia dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai. Adapun baik di peringkat kedua sama ada hatinya kerana Allah atau selainnya, seperti sekadar menunjuk-nunjuk.
Justeru, kita boleh ‘judge a book by its cover’ dalam kes tertentu. Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadis yang ertinya:
“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah daripada sebahagian lainnya.
“Maka aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang ku dengar saja. Barang siapa yang ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), jangan kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920)
Hadis ini jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberi.
Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Bagi mereka yang tetap berdegil, tiada kata yang dapat diberi kecuali yakinilah Allah itu benar, Rasul-Nya juga benar, syurga dan neraka juga benar. Jika mempercayainya, mengapa tindakan masih seolah-olah meraguinya?
|
|