» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Variasi » Ekspresi

Ekspresi Paris indah, bersejarah

Oleh SH ISMAIL ALIF SH ABDUL RAHMAN
metahad@hmetro.com



BERBEKALKAN wang saku sebanyak 400 Euro (RM1,922), hanya ‘keberanian’ mendorong penulis menjejakkan kaki ke ibu kota Paris, Perancis, pada 14 September lalu, ketika mengikuti kursus kerja anjuran majikan penulis, Star Docs Sdn Bhd.

Penulis diberitahu seorang rakan sekerja, “Di Paris, serba-serbinya mahal! Perlu berjimat di sana.”


Benar, tiada yang murah di Paris. Ketika mula tiba di kota romantis itu, penulis menghabiskan belanja makan malam saja sebanyak 27 Euro, kira-kira RM130. Itupun hanya untuk hidangan ikan salmon, roti dan satu tin Coca Cola.

Memang penulis sukar menguruskan wang perbelanjaan untuk tempoh sembilan hari di sana kerana wang yang dibawa tidak banyak. Malah penulis diingatkan rakan tadi lagi, “Duit sebanyak itu (400 Euro) sekadar cukup untuk dua, tiga pasang baju kenangan, termasuk kos makan dan perjalanan saja.”

Serta merta hasrat hendak membeli-belah terpaksa dilupakan. Namun, ia sebetulnya tidak merugikan apa-apa kerana kota Paris menjanjikan segala-galanya, terutama tempat menarik untuk dikunjungi.

Sepanjang di sana, hanya dua destinasi yang betul-betul ingin penulis kunjungi, iaitu Eiffel Tower, mercu tanda yang menjadi kebanggaan negara berkenaan, dan Palais Royal Musee’ du Louvre, muzium kebangsaan Perancis.

Destinasi pertama yang penulis kunjungi sudah tentu Eiffel Tower. Bagai tidak lengkap kunjungan ke Paris jika tidak singgah ke sini. Penulis ke sana ditemani rakan kursus dari Amerika Syarikat, Susan.

Sebelum berkunjung ke situ, kami terlebih dulu singgah ke Napoleon Courtyard. Di situ ada satu bangunan berbentuk piramid kaca dan turut menempatkan piramid terbalik di bawah piramid berkenaan. Ia bangunan yang unik dan diilhamkan Philip Augustus pada 1190.

Tidak jauh dari bangunan itu juga dapat dilihat Palais Royal Musee’ du Louvre. Namun pada hari berkenaan muzium yang menyimpan pelbagai khazanah ‘berharga’ negara itu ditutup. Penulis difahamkan, muzium yang dibuka sejak 10 Ogos 1793 itu adalah muzium terbesar dan terkenal di dunia.

Hari itu kami meneruskan perjalanan ke Eiffel Tower menaiki bas pelancong. Bas berkenaan dipanggil juga Paris L’OpenTour. Harga tiket 29 Euro (RM139) untuk perjalanan sehari. Jarak ke Eiffel Tower hanya empat kilometer, tetapi perjalanan yang terpaksa dilalui untuk sampai ke situ mengambil masa hampir sejam kerana jalan sesak.

Berada di Eiffel Tower pasti menjanjikan kepuasan tidak terhingga kepada penulis. Dari situ penulis mengecapi pemandangan indah kota Paris yang dipenuhi bangunan bersejarah. Berbaloi dengan wang tiket sebanyak 12 Euro (RM58).

Mengenai menara ini, penulis difahamkan, ia dibina daripada struktur metalik dan mengandungi 15,000 keping besi yang disambungkan dengan 2,500,000 rivet (paku sumbat).

Ketinggian menara ini 300 meter atau 975 kaki. Ia diilhamkan oleh arkitek terkemuka negara itu, Gustavo Eiffel. Pembinaannya bermula dari 28 Januari 1887 dan siap dibina 31 Mac 1889.

Hari berikutnya penulis mengunjungi Palais Royal Musee’ du Louvre. Dari hotel penginapan, penulis menaiki keretapi ke Concorde dan seterusnya tiba ke destinasi. Kali ini, penulis pergi sendirian.

Muzium itu ada tiga bahagian untuk dilawati, antaranya Denon, Sully & Richelieu. Untuk lawatan ke seluruh muzium berkenaan hanya perlu membayar tiket berharga 6 Euro (RM29).

Penulis memilih melawat bahagian Denon, di tingkat satu terlebih dulu kerana ia menempatkan potret Mona Lisa. Sebelum tiba ke situ, penulis sempat bergambar di patung The Winged Victory of Samothrace. Ia simbol kemenangan yang dibina oleh Hector Lufuel pada zaman Napoleon III C, 190 Sebelum Masihi.

Tiba ke bilik yang menempatkan potret Mona Lisa, lukisan termahal dan penuh misteri itu dapat dilihat di tengah-tengah ruang legar sebuah bilik khas.

Bagaimanapun, pengunjung hanya boleh melihatnya pada jarak lebih kurang lima meter. Sedikit sejarahnya, potret yang dilukis Leonardo da Vinci itu disiapkan dalam masa tiga tahun, iaitu dari 1503 hingga 1506.

Difahamkan, wanita dalam lukisan itu adalah Lisa Gherardini, isteri kepada penulis dari Florentine, Francesco di Bartolomeo di Zanoli del Giacondo.

Kontroversi mengenai identiti potret ini masih hebat diperkatakan hingga hari ini. Ada mengatakan potret berkenaan memerlukan masa lima tahun untuk disiapkan. Dalam buku biografi Giorgio Vasari, mencatatkan potret berkenaan dibawa ‘lari’ oleh pelukisnya ke Perancis sebelum meninggal dunia di sana pada 1519.

Selepas lama berlegar di situ, penulis melihat pula satu lagi lukisan terkenal sentuhan Leonardo da Vinci, iaitu The Virgin of The Rocks yang dilukis pada 1483 hingga 1486.

Masa yang suntuk dengan jadual kursus menyebabkan penulis tidak sempat melawat bahagian lain di muzium berkenaan, iaitu Sully dan Richelieu. Lagi pula, tidak cukup masa sehari hanya untuk melawat seluruh bahagian di muzium berkenaan.

Seorang rakan dari Perancis memberitahu penulis, jika hendak melawat seluruh bahagian di Palais Royal Musee’ du Louvre, “Anda perlukan lapan hari!”

Sebelum pulang ke hotel, penulis melalui jalan di tepi Sungai Seine dan menikmati pemandangan menarik di situ pada waktu malam. Penulis juga ke PT Du Caurrousel.

Hari-hari terakhir di Paris, penulis tidak melepaskan peluang mengunjungi pelbagai tempat menarik lain dan bersejarah di situ.

Antaranya Arc de Triomphe, Place de la Concorde, Église de la Madeleine, Luxembourg Garden, The Opéra Garnier Notre Dame de Paris, Paris City Hall, Lycée Louis-le-Grand dan Canal Saint-Martin.

Pun begitu, banyak lagi tempat menarik lain yang gagal penulis kunjungi. Ini kerana, wang saku penulis tidak mencukupi untuk pergi ke banyak destinasi menarik yang lain. Jika berpeluang ke sini, jangan lupa membawa wang lebih sebagai persiapan.

Carian Artikel
Lain-lain artikel :


 
VARIASI

Bestari

it@Metro
lagi
it@Metro
lagi
it@Metro
lagi
it@Metro
lagi
deko
lagi
it@Metro
lagi


 
MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker