myMetro

Mat Laga: Bajet raya tersasar




KALAU tahun sebelum ini, antara ayat popular yang dituturkan ketika kanak-kanak datang beraya di rumah ialah “Mak cik bagi duit raya aje lah ye. Biskut raya tak ada.” Selepas duit raya dihulur kepada setiap kanak-kanak di depan pintu pagar rumah, mereka pun beredar.

Nampaknya raya tahun ini, mungkin lain pula ayat dituturkan selepas bajet raya melebihi sasaran. Selepas pulang ke rumah sendiri di ibu kota, apabila loceng pintu berbunyi, dengan ramah tuan rumah menjemput masuk dan antara ayat yang keluar ialah: “Makan biskut raya ajelah ye. Duit raya tak ada...”

Memanglah hari baik bulan baik ni, ramai antara kita berhajat bersedekah, terutama kepada fakir miskin dan kanak-kanak. Ketika pulang berhari raya di kampung, niat murni bersedekah ditunaikan.

Pantang jumpa manusia, kalau boleh semuanya hendak diberi sedekah. Maklumlah, hati tengah baik. Baik ibu bapa dan anak saudara, ibu dan bapa saudara, anak sepupu dan anak jiran tetangga pun turut mendapat limpahan rezeki ‘orang bandar’.

Bukan apa, tak sedap hati pulak, sudah bertahun-tahun kenal, kalau tak beri duit raya, rasa tak sempurna pula pertemuan.

Bila balik dari kampung, poket sudah kering. Bajet raya sudah tersasar jauh.

Sental biskut raya ajelah jawapnya. Hendak menunggu hujung bulan lama lagi. Itulah bahananya kalau bajet selepas raya tidak diambil kira. Ahhh... seksanya.

Mungkin ramai berdepan situasi macam ini. Kalau tak mahu sejarah berulang, simpan sikit duit untuk digunakan sehingga hujung bulan.

Iyalah, kalau nak buat amal pun, jangan sampai diri sendiri sengsara. Takkan tak hafal lagi skrip ‘buat baik berpada-pada’.

MAT LAGA: Buat bajet terperinci.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad