Klasik Inggeris
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
KOT gaya maskulin yang berpotongan lurus dipadankan blaus, gaun pendek, seluar ketat atau sarung kaki menguasai gaya musim luruh/sejuk 2008—2009 Chloe.
Sama ada dihasilkan melalui sentuhan klasik Inggeris iaitu teknik jahitan silang pangkah (siku keluang) dan kain bulu, kot berwarna polos ini hadir bukan saja dalam warna suram yang sinonim dengan koleksi musim luruh/sejuk, malah juga warna terang.
Selain warna hitam, putih atau kelabu, trend tahun ini turut diserikan warna hijau, kuning, ungu dan merah. Malah, padanan warna kontras bagi fesyen ini menjadikan ketrampilan lebih ceria. Melengkapkan penampilan, but tumit tinggi yang dipakai menyerlahkan gaya ranggi.
Untuk menghadiri majlis koktel, gaun kembang bercorak penuh yang dipadankan kot bulu warna krim yang menawan, blaus bercorak bunga paisley atau dihiasi ropol. Blaus hitam pula diserikan batu hiasan bermotif. Selain itu, beg tangan warna terang menyerlahkan lagi penampilan. Butik Chloe terletak di Pavilion Kuala Lumpur.
|