Ai Cu bawa `tuah’
Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
JIKA berkunjung ke Ai Cu Kopitiam dan Kafe di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pengunjung pasti tertanya-tanya apakah ada rahsia di sebalik nama restoran yang dipilih pemiliknya, Datuk Shamsuar Yaakob.
Menyingkap rahsia nama restoran itu, isteri Shamsuar, Datin Siti Farah Anuar, mengakui pemilihan nama berkenaan menyimpan pelbagai makna dan maksud tersirat, malah ia sebagai pembawa ‘tuah’.
Menurutnya, Ai Cu sebenarnya nama timangan suaminya. Ia ringkasan ‘ayah cu’, iaitu panggilan biasa kepada suaminya yang berasal dari Pahang.
Pun begitu, katanya ia juga membawa maksud lain dalam bahasa Cina, iaitu Cinta Mutiara. Ai bermaksud cinta, manakala Cu pula membawa maksud mutiara.
“Nama juga membawa tuah, dan saya yakin Ai Cu adalah pilihan tepat.
“Ia bukan saja membawa makna baik, malah ia nama yang dekat dengan jiwa saya dan suami,” katanya yang turut menguruskan restoran itu bersama suaminya.
Mengenai restoran, ia bukan saja menawarkan hidangan menarik dan istimewa, bahkan memiliki keunikan sendiri kerana menggabungkan konsep kopitiam dan kafe.
Farah berkata, dengan itu pelbagai sajian menarik dapat disediakan berbanding restoran kopitiam lain yang hanya menawarkan menu terhad sebagai pilihan pengunjung.
Katanya, selain hidangan biasa yang boleh didapati di mana-mana kopitiam, sebanyak 44 menu makanan tempatan dan Barat boleh dijadikan pilihan pengunjung.
“Hidangan tempatan yang istimewa di sini ialah masakan dari Pahang seperti sajian ikan patin masak tempoyak, selain masakan ala Thai.
“Namun ada juga kelainan yang tidak mungkin ditemui di tempat lain, seperti ikan talapia masak tiga rasa dan ikan patin masak stim,” katanya yang membuka restoran itu sejak Mei lalu.
Satu lagi kelainan dan keunikan Ai Cu Kopitiam dan Kafe ialah hidangan dari Maghribi yang disediakan Shamsuar.
“Namun ia bukan 100 peratus sama seperti masakan dari negara asalnya kerana suami padankan hidangan itu dengan cita rasa tempatan,” katanya yang mengakui suaminya gemar memasak.
Antara hidangan istimewa lain yang disediakan ialah bubur nasi Ai Cu, nasi goreng Ai Cu, nasi kerabu, nasi goreng kampung, ikan siakap masak stim, sup ‘fishball’, stik daging ‘black pepper’, mi rebus Ai Cu, mi goreng kantones dan set kopitiam Ai Cu.
Selain itu minuman istimewa disediakan, antaranya jus kedondong, tembikai longan, Bali lemon, mangga, sirap bandung cincau dan kopi Ai Cu.
Bagi minuman kopi Ai Cu, ia menggunakan kopi dari Kemaman, Pahang dan dibuat khas untuk restoran itu.
Mengenai dekorasi restoran, Farah berkata, ia cetusan ilham suaminya yang memilih konsep santai dan bersahaja dengan hiasan ringkas bercirikan tradisional. Ia sesuai untuk kunjungan keluarga.
Restoran yang mampu menampung 150 pengunjung itu juga boleh ditempah untuk majlis keramaian seperti sambutan hari jadi dan majlis korporat.
Bubur Nasi Aicu
Bahan: 1. Semangkuk air stok ayam 2. Susu cair 3. Dedadu ayam atau daging 4. Sebiji tomato 5. Serai dihiris halus 6. Dua biji telur 7. Bunga cengkih dan bawang 8. Garam dan gula
Cara Memasak:
Sediakan segenggam nasi putih. Bawang putih ditumis dengan lima biji bunga cengkih sehingga garing. Kemudian masukkan air stok ayam, masak sehingga air mendidih. Selepas itu masukkan pula dua sudu susu cair.
Apabila susu sebati dengan air stok ayam, masukkan tomato dan hirisan serai. Seterusnya, pilihan lauk sama ada ayam atau daging. Kemudian masukkan pula dua biji telur. Akhir sekali campurkan sajian dengan segenggam nasi tadi.
MAKANAN 1. Nasi goreng Ai Cu - RM7.50 2. Bubur Ai Cu - RM5 3. Talapia masak tiga rasa - RM30-40 (mengikut saiz) 4. Ikan patin masak stim - RM30-50 (mengikut saiz) 5. Sup ‘fish ball’ - RM5.50 6. Stik Daging ‘black Pepper’ - RM14 7. Mi Rebus Ai Cu - RM5.50 8. Mi goreng Kantonis - RM6
MINUMAN 1. Kopi Ai Cu - RM2.70 2. Jus kedondong - RM4 3. Jus Bali lemon - RM2.70 4. Jus tembikai longan - RM4.80 5. sirap bandung cincau - RM3
WAKTU OPERASI: Setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah malam.
ALAMAT: No 11G, Blok 3B, Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Link, Wangsa Maju, Kuala Lumpur (Belakang Carefour, Wangsa Maju).
|
|