Cuti dalam hujan, banjir
Oleh MOHD HASLAN ABD ABBAS
metahad@hmetro.com.my
BAK kata pepatah, lain padang lain belalang. Lain tempat lain pula ragam orangnya. Di Hanoi, Vietnam, mengharungi rutin harian sekalipun ketika hujan lebat sudah menjadi kebiasaan anggota masyarakatnya.
Ketika berada di sana, penulis sedikit rimas berjalan-jalan dalam keadaan cuaca begitu sekalipun tubuh 'berbalut' baju hujan dan berpayung sepanjang masa.
Cuba bayangkan bagaimana rasanya meredah hujan, air bah separas betis, tatkala mengunjungi tempat menarik dan membeli-belah di sana dalam keadaan seperti itu.
Namun, itu antara pengalaman manis ketika menjejakkan kaki ke bumi Hanoi, Vietnam, bersama isteri dan tiga rakan pada 1 November lalu.
Jadi, tidak menghairankan jika pengurusan hotel penginapan kami ketika itu, Hotel Golden Plaza, memberikan payung, baju hujan dan topi tradisional kepada kami. Maknanya, kami akan meredah hujan sepertimana rutin biasa mereka di sana.
Hari pertama, destinasi pertama yang kami kunjungi di Hanoi adalah Tasik Hoan Kiem atau dipanggil juga Tasik Pedang. Berjalan di pesisir tasik berkenaan membuatkan penulis terpegun. Pemandangan sekitarnya cukup mempesonakan, tambah pula ia dipenuhi kuil lama penganut agama Buddha.
Sedikit mengenai sejarahnya, sebagaimana yang diceritakan oleh pemandu pelancong kami, mengikut kepercayaan penduduk tempatan, ketika itu dewa Kim Qui atau tuhan kura-kura emas (Golden Turtle God) pernah turun ke situ dengan membawa sebilah pedang sakti untuk diberikan kepada Maharaja Le Loi.
Pedang itu dipanggil 'Heaven's Will'. Maharaja Le Loi menggunakannya untuk menyelamatkan Vietnam daripada kesengsaraan pemerintahan empayar China, Dinasti Ming.
Sebuah menara dibina di satu pulau kecil di tasik berkenaan bagi memperingati cerita legenda ini. Ia dinamakan Thap Rua, atau dikenali juga menara kura-kura.
Di situ, kami berkesempatan melawat Kuil Ngoc Son. Masyarakat tempatan memanggilnya kuil bukit jed. Ini kerana ia terletak di sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai pulau jed di tasik berkenaan.
Kuil itu dibina sekitar kurun ke-18 bagi memperingati pahlawan gemilang, Tran Hung Dao, yang mati ketika menentang kerajaan China di zaman Yuan Dinasti. Selain itu, ia juga dibina bagi mengingati cendekiawan, Van Xuong, dan guru Confucian, Nguyen Van Sieu.
Memandangkan masa yang terhad, kami tidak mengambil masa lama berlegar di situ. Seterusnya kami singgah membeli-belah di Old Quarter of Hanoi.
Tempat ini bagaikan syurga membeli-belah. Ada 36 lorong menyediakan premis membeli-belah. Setiap lorong dinamakan mengikut jenis barang yang dijual. Misalnya, lorong kaca mata khusus untuk menjual kaca mata manakala lorong topi, hanya menjual topi.
Ada 36 jenis barang dijual mengikut lorong, sudah pasti mata rambang hendak memilih lorong dan barang yang hendak dibeli. Tengah hari itu penulis tidak banyak berbelanja kerana banyak lagi tempat yang ingin dikunjungi.
Lagi pula, barang di situ mahal kerana ia dijual menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). Itu satu lagi 'budaya' orang di sana, masyarakat tempatan jarang menggunakan mata wang Vietnam Dong, apatah lagi jika berurus niaga dengan pelancong.
Lewat tengah hari, kami menjamu selera di Restoran Nissa, sebuah restoran makanan halal. Menariknya, restoran ini menghidangkan aneka pilihan makanan dari Malaysia, Indonesia dan India.
Jam 2 petang, kami teruskan perjalanan ke penjara Hoa Lo. Ketika itu, hujan masih tidak berhenti. Sesekali mata terpukau melihat penduduk tempatan sibuk dengan aktiviti harian di bahu jalan. Ada yang terkejar-kejar memburu pelancong untuk menjual cenderamata.
Mengenai penjara Hoa lo, ia bangunan bersejarah dan terpenting peninggalan penjajah Perancis. Ia dibuka pada 1896 dan penjara terbesar di negara itu.
Di penjara inilah ribuan pejuang dan nasionalis negara itu dipenjarakan dan diseksa, antaranya Pan Boi Chau, Ho Tung Mau serta pemimpin tertinggi parti komunis di Vietnam, Nguyen Van Cu.
Antara tahun 1964 dan 1973, penjara ini pernah 'mengurung' bekas duta AS, Douglas Pete Peterson dan calon presiden AS tahun ini, John McCain.
Seterusnya, kira-kira jam 3 petang, kami berkunjung ke 'temple of Literature'. Hujan sudah reda. Ia cukup melegakan. Setidak-tidaknya ia melancarkan perjalanan kami.
Bercerita mengenai 'temple of Literature', kami diberitahu, ia gedung ilmu dan juga universiti tertua di Vietnam. Ia dibina pada kurun ke-11.
Di satu sudut gedung ilmu itu menempatkan tugu berbentuk kura-kura yang dijadikan monumen peringatan terhadap graduan pertama yang lahir dari universiti berkenaan. Mereka (graduan) sendiri yang menghasilkan tugu berkenaan.
Petang itu sempat juga kami mencuri masa berkunjung ke tasik West, destinasi penduduk setempat melepak dan bersiar-siar. Sambil menikmati keindahan tasik, mata penulis terpegun melihat pagoda Tran Quoc yang terletak berhampiran tasik berkenaan. Dengan limpahan cahaya lampu, pemandangan sekitarnya sangat cantik dan menarik.
Sebelah malam, kira-kira jam 9.45 malam, adalah masa yang ditunggu-tunggu kerana kami akan menyaksikan persembahan teater boneka air. Bagaikan tidak lengkap kunjungan ke sini jika tidak melihat persembahan teater tradisional masyarakat Vietnam ini.
Uniknya persembahan ini, ia mengisahkan cara hidup dan sejarah masyarakat Vietnam menggunakan patung yang dipersembahkan di atas permukaan air separas lutut. Ia dimainkan selama 45 minit saja.
Sukar menggambarkan 'keajaibannya', malah penulis sendiri tidak dapat meneka bagaimana kaedah yang digunakan pemain teater berkenaan bagi menghidupkan persembahan itu. Apa yang dapat disimpulkan ia cukup memukau dan istimewa.
Selesai menyaksikan persembahan itu kami pulang ke hotel menaiki cyclo, pengangkutan awam jenis kenderaan tiga roda yang popular di Vietnam. Sudah kelaziman, pemandu cyclo suka 'mengambil kesempatan' terhadap pelancong.
Ada rakan yang beruntung kerana membayar tambang semurah 30,000 Dong (RM6.40) tapi ada yang terpaksa membayar sehingga dua kali ganda, 60,000 Dong (RM12.80). Sedangkan kami difahamkan harga tambang sepatutnya lagi murah.
Jika enggan membayar tambang yang diminta, pemandu cyclo akan membuat bising dan menjerit-jerit. Lagak mereka itu memang memalukan. Mahu tidak mahu kami terpaksa turuti permintaan mereka.
Hari berikutnya, kami meninggalkan Hanoi, dan berkunjung pula ke Halong Bay yang terletak kira-kira 180 kilometer. Ikuti pengalaman kami sepanjang berada di sana pada keluaran akan datang.
|
|