Mercu tanda baru Johor
Oleh RUDY FAZRUNISYAM SAMARUDIN
KOMPLEKS Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Chagar, bakal muncul sebagai mercu tanda terbaru di pintu masuk negara di selatan sekali gus menamatkan operasi di Tambak Johor sejak lebih 70 tahun lalu, serentak dengan majlis perasmiannya esok.
Sultan Johor, Sultan Iskandar dijadual merasmikan kompleks bernilai kira-kira RM500 juta itu dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Difahamkan, beberapa jabatan yang ditempatkan di KIK seperti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan mengadakan simulasi keesokannya bagi proses penyesuaian, sebelum dijangka beroperasi sepenuhnya beberapa hari kemudian.
Kompleks KIK yang bakal dikenali sebagai Kompleks Sultan Iskandar itu adalah salah satu komponen dalam projek mega Gerbang Selatan Bersepadu (GSB) yang mana konsep dan rekaan sebenarnya pertama kali dikonsepsualisasi pada 1998.
Pembukaan kompleks itu bakal melegakan kesesakan lalu lintas di pusat bandar selain meningkatkan taraf sosio ekonomi dan status politik negeri selatan tanah air ini.
Hasil pelbagai perbincangan berhubung keperluan projek dengan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Johor, termasuk dengan pelbagai agensi berkaitan, Kompleks KIK dirancang untuk disepadukan dengan stesen kereta api dan transit awam yang dikenali sebagai JB Sentral.
JB Sentral, dengan keluasan binaan dianggarkan 89,500 meter persegi pula direka untuk menaik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad sedia ada di Johor Bahru dalam usaha untuk memenuhi keperluan pengguna.
Ia juga menyediakan tempat hentian teksi dan bas yang baru di sepanjang Jalan Jim Quee dan Jalan Tun Abdul Razak untuk melengkapi stesen kereta api yang baru itu.
Selain itu, orang ramai juga akan merasai kemudahan baru iaitu bangunan tempat letak kenderaan dua tingkat yang menyediakan 879 petak letak kenderaan di kiri dan kanan bangunan berkenaan.
Sebagai kontraktor pereka dan pembina, Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) memulakan pembinaan pada 2001 bagi memastikan projek berkenaan memberikan pelbagai kemudahan kepada orang ramai seperti yang dikehendaki kerajaan.
Antara kemudahannya termasuk pembaikan holistik dari segi sistem penyuraian trafik yang lebih baik, persekitaran yang berkualiti, keselamatan, ekonomi dan politik.
Direka sebagai pintu masuk utama ke negara ini, kompleks berkenaan dilengkapi dengan sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) serta pengurusan bangunan yang mempunyai ciri canggih dan termaju untuk memastikan kawalan dan pengurusan trafik yang terancang.
Kemudahan yang disediakan itu sekali gus memberikan peluang kepada orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api menikmati pengalaman baru ketika melalui JB Sentral dan Kompleks KIK.
Pintu gerbang di selatan tanah air ini adalah pintu masuk dan keluar yang paling sibuk di negara ini dengan dianggarkan kira-kira 135,000 kenderaan melaluinya setiap hari dan angka berkenaan meningkat sehingga 200,000 kenderaan sehari ketika cuti umum.
Memiliki keluasan kawasan binaan dianggarkan 267,000 meter persegi, ia direka untuk memenuhi jumlah aliran trafik keluar dan masuk di selatan tanah air serta mampu menempatkan dengan selesa 19 agensi kerajaan yang akan beroperasi dan memproses kemasukan kenderaan dan penumpang setiap hari.
Sudah tentu operasi Kompleks Sultan Iskandar ini menjadi lebih sibuk selepas mengambil alih operasi Kompleks KIK Tambak Johor yang sejak beberapa tahun lalu menerima jumlah pengguna dianggarkan mencecah sehingga kira- kira 70 juta orang dengan purata sembilan juta pelancong setahun.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mahmood Adam, berkata perubahan operasi berkenaan Disember ini menjadikan operasi imigresen di Tambak Johor sebagai satu nostalgia.
“Apabila beralih operasi di kompleks ini, kita akan berdepan dengan dugaan lebih mencabar. Bertugas di Tambak Johor akan tinggal kenangan, selepas hampir 70 tahun jabatan berkhidmat di negeri ini,” katanya.
Kompleks KIK baru ini beroperasi tanpa henti dengan kira-kira 1,300 pegawai pentadbiran dan operasi dari 19 agensi akan bertugas secara sepadu bagi setiap syif serta dikawal di bawah Pusat Pengurusan Operasi (OMC).
Selain itu, Kementerian Pelancongan sudah mengenal pasti Kompleks KIK ini adalah antara pintu gerbang paling penting untuk mengalu-alu dan mempromosikan Malaysia kepada dunia.
Sehubungan itu, sewajarnya, Kompleks KIK ini perlu menyediakan perkhidmatan yang bertaraf dunia kerana ia akan mencerminkan Malaysia sebagai keseluruhannya.
Selain rakyat Singapura, pelancong yang menggunakan Kompleks KIK ini kebanyakannya dari China, Hong Kong, Filipina, Brunei, Indonesia, Australia dan Eropah.
|
|