Utama prinsip ‘berani berubah’
SEJAK berkecimpung dalam pelaburan saham amanah, bermula daripada agensi perunding, Commercial International Merchant Bank (CIMB) Wealth Advisor sehingga mampu membuka syarikat sendiri, Monalisa Private Wealth Advisor (Monalisa), Mahadi Badrul Zaman boleh berbangga kerana berkemampuan beroleh lebih 1,000 pelabur individu dan 30 pelabur korporat.
Namun, Mahadi berkata, dengan pencapaian membanggakan itu tidak bermakna dia berpuas hati dan hanya sekadar duduk diam menanti wang komisen untuk menjana pendapatan daripada pelabur sedia ada.
Katanya, bagi perancangan masa depan, dia mensasarkan peningkatan lebih sekali ganda jumlah pelabur atau pelanggan di bawah kendalian syarikatnya seramai 2,500 pelabur individu dan 100 pelabur korporat menjelang 2009 hingga 2010.
“Untuk itu, saya merancang menambah bilangan perunding dalam syarikat. Ia penting bagi mendapatkan pelanggan yang berpotensi, sekali gus mampu meraih lebih banyak pelaburan dalam syarikat.
“Setakat ini Monalisa hanya ada 250 perunding, saya sasarkan penambahan seramai 120 orang, terutama apabila cawangan baru di Johor Bahru dibuka,” katanya.
Menurut Mahadi, bagi merealisasikan hasratnya, dia berusaha melahirkan perunding berwibawa dan ada karisma dalam syarikatnya.
Katanya, ramai orang yang bekerja mahupun berniaga memasang impian untuk hidup senang dan mewah, tetapi tidak mengetahui jalan betul berbuat demikian.
“Melalui Monalisa, saya tidak mengehadkan kriteria individu yang hendak menjadi perunding amanah saham, asalkan ada kemahuan.
“Di sini (Monalisa), saya ada formula untuk merealisasikan impian itu tanpa perlu meninggalkan kerjaya atau perniagaan mereka,” katanya.
Kata Mahadi, bagi melahirkan perunding yang dimaksudkan, dia menjalankan kursus, ceramah dan latihan secara intensif menerusi syarikatnya dengan kerjasama empat syarikat lain, iaitu Institut Da Vinci Genius, Pusat Kepimpinan JAG, Pusat Antarabangsa Lawrence Walter dan Akademi Asian Master Sale.
“Dalam Monalisa, saya tekankan prinsip ‘dare to transform’ (berani berubah) sebagai motivasi kepada perunding baru yang ingin menerjah dunia pelaburan.
“Selain mencurah ilmu kepada perunding baru, saya ingin berkongsi rahsia mengenai pencapaian yang pernah saya peroleh,” katanya.
|
|