myMetro

Masa tidur bayi penting

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

MANDI air suam, urut dan melakukan aktiviti senyap seperti mendodoi atau membaca buku adalah tiga langkah mudah yang dapat membantu bayi anda tidur dengan lebih baik serta kurang terjaga pada tengah malam.

Jika bayi kerap terjaga malam, bukan tidur anda saja yang terganggu, malah tidak cukup tidur boleh menjejaskan perkembangan si kecil dan keupayaannya untuk belajar.

Kajian menunjukkan tidur ada fungsi penting dalam kehidupan bayi dan kanak-kanak kecil, terutama perkembangan sosial, fizikal dan kognitif (aktiviti mental termasuk pengenalan, persepsi terhadap sesuatu objek atau persekitaran).

Bayi dan kanak-kanak kecil yang cukup tidur pada waktu malam didapati:

  • Kurang meragam dan dapat berinteraksi dengan baik yang membolehkan mereka belajar kemahiran sosial positif.

  • Keupayaan untuk belajar meningkat kerana bayi ‘memproses’ semua maklumat yang tersimpan sepanjang hari ketika mereka tidur. Jadi tidur yang cukup akan membolehkan otak menyimpan dan memproses maklumat ini dengan lebih baik.

  • Kadar pertumbuhan dan pembesaran lebih baik.


  • Bagaimanapun, ramai ibu bapa kurang beri perhatian kepada kepentingan tidur kepada bayi dan kanak-kanak kecil kerana menganggap ia perkara semula jadi yang tidak perlu dibimbangkan.

    Namun, apabila anak kerap terjaga malam, tidur ibu bapa juga terganggu. Akibatnya ramai ibu bapa letih di tempat kerja dan lebih berbahaya jika mereka terlelap ketika memandu.

    Lebih membimbangkan, keletihan akibat kurang tidur boleh menyebabkan ibu bapa mendera anak secara tidak sedar kerana mereka mudah berasa geram dan tertekan, terutama apabila anak sukar ditidurkan.

    Menurut Perunding Paediatrik, Dr Norrashidah Abdul Wahab, ibu bapa perlu amalkan rutin waktu tidur yang tetap untuk membiasakan bayi berehat, membantu memaksimumkan kebaikan tidur, terutama bagi perkembangan mindanya dan membolehkan si kecil belajar mengenali antara siang dan malam.

    Ini kerana pada usia sangat muda, bayi mengalami kekeliruan antara siang dengan malam. Perkara ini menyebabkan kebanyakan bayi berjaga pada waktu malam dan tidur pada siang hari.

    “Ada ibu bapa bimbang melihat anak mereka tidur sepanjang masa. Sebenarnya tidur selama 16 hingga 20 jam sehari adalah normal bagi bayi baru lahir dan tempoh ini berkurang kepada 12 hingga 14 jam sehari apabila berumur dua hingga tiga bulan.

    “Tempoh tidur harian ini termasuk tidur pada waktu siang. Tidur siang juga penting untuk merehatkan bayi dan menggantikan semula waktu tidur malam yang terganggu. Ramai ibu bapa risau anak sukar tidur malam jika tidur pada waktu siang, tetapi sebenarnya tidur siang mengurangkan anak meragam kerana mereka cukup rehat,” katanya ketika pelancaran kempen Ibu Untuk Waktu Tidur Si Manja anjuran Johnson & Johnson.

    Kajian ke atas 30,000 ibu yang ada anak berusia di bawah tiga tahun di 17 negara (termasuk Amerika Utara, United Kingdom dan Asia Pasifik) mendapati, masalah bayi tidak tidur lena dan kerap terjaga malam berlaku di semua negara.

    Ketika membentangkan kertas kajian tidur itu, Pengarah Pemasaran Profesional Johnson & Johnson, How Ti Hwei, berkata 45 peratus ibu di Malaysia berpendapat anak mereka ada masalah tidur malam dan 20 peratus lagi melaporkan sukar untuk menidurkan anak, terutama bayi.

    Lebih mengejutkan, 47 peratus ibu bapa Malaysia tiada rutin waktu tidur sama bagi kebanyakan malam. Ini bukan perkembangan sihat kerana amalan tidur yang baik perlu dipupuk sejak kecil.

    Soalnya, pada jam berapakah bayi dan kanak-kanak kecil sepatutnya masuk tidur? Ia terpulang kepada kebiasaan ibu bapa kerana yang penting ialah anak mendapat tidur secukupnya.

    “Kekurangan tidur menjejaskan daya ingatan seseorang, bukan kanak-kanak kecil saja, tetapi kesannya turut dirasa pelajar sekolah. Individu yang kurang tidur mempunyai pencapaian akademik lebih rendah kerana tidak dapat memberi tumpuan di bilik darjah,” katanya.

    Malah, kajian yang dijalankan Universiti Harvard baru-baru ini mendapati, kanak-kanak yang kurang tidur (kurang dari 12 jam) mempunyai risiko tinggi mengalami masalah berat badan dan peluang tinggi menjadi obes atau terlalu gemuk.

    Kira-kira 17 peratus kanak-kanak yang tidur kurang dari 12 jam sehari menjadi obes pada umur tiga tahun berbanding hanya tujuh peratus di kalangan kanak-kanak yang cukup tidur.

    Bagaimanapun, masalah ini turut disumbangkan jumlah menonton televisyen yang lama sehingga menyebabkan kanak-kanak kurang bermain dan tidur.

    “Masalah kerap terjaga malam sebenarnya merujuk kepada berjaga melebihi 30 minit. Ada juga ibu bapa bimbang bayi yang bangun menyusu badan setiap satu jam akan mengalami masalah tidak cukup tidur.

    “Sebenarnya tidur bayi tidak terganggu kerana ketika menyusu, mereka masih dalam fasa tidur iaitu fasa di mana seseorang mampu menggerakkan mata,” katanya.

    Kajian mendapati kanak-kanak negara Asian masuk tidur pada jam 9.30 malam, lewat sejam berbanding kanak-kanak Barat dan tidur selama 12 jam 30 minit iaitu kurang setengah jam daripada rakan sebaya di Barat. (lihat Jadual 1)

    Selain tidur malam, kanak-kanak digalakkan tidur sekejap pada waktu siang. Tempohnya berbeza mengikut umur, tetapi biasanya dua hingga tiga jam memadai untuk membolehkan badan mereka berehat.

    Dalam kajian berasingan ke atas 58 ibu yang ada bayi berumur tujuh hingga 18 bulan selama tiga minggu mendapati, tiga rutin tidur iaitu mandi air suam, urut dan melakukan aktiviti senyap dapat memperbaiki kualiti tidur anak mereka.

    Didapati 37 peratus bayi tidur lebih cepat, tempoh tidur meningkat 23 peratus, kurang terjaga malam (49 peratus) dan 59 peratus ibu mengakui kaedah itu membuatkan mereka kurang penat kerana dapat tidur dengan lebih baik.

    Untuk mendapat manfaat sama, anda juga boleh melakukan tiga langkah mudah berkenan iaitu:

  • Mandi air suam selama lima minit. Ia boleh digantikan dengan mengelap badan anak.

  • Urut selama dua minit. Urutan lembut yang dimulakan di badan, tangan, kaki dan tapak kaki bukan saja membuat bayi berasa selesa, malah dapat merapatkan hubungan antara ibu dan anak. Urutan ini boleh menggunakan losyen bayi. Bagaimanapun, elak menggunakan minyak kerana ada minyak asas tertentu yang boleh menyegarkan dan membuat bayi lebih sukar tidur.

  • Aktiviti bersama bayi (mendodoikan lagu, membaca buku cerita atau memeluk sehingga anak terlelap).


  • “Yang penting ialah sentiasa meluangkan masa untuk bersama anak, terutama sebelum mereka tidur. Jangan lepaskan tugas dan peluang keemasan ini kepada pembantu rumah kerana ini masa terbaik untuk merapatkan hubungan antara ibu dan anak. Masa sebelum tidur adalah waktu paling berharga yang perlu digunakan sebaik-baiknya untuk bersama anak,” katanya.

    Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
    © Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad