Muzik reda tekananOleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDINnorlaila@hmetro.com.my TEKANAN, halangan dan cabaran antara elemen penting yang mewarna dan menjadikan perjalanan hidup kita lebih menarik. Jika diambil secara positif, tekanan boleh merangsang kita menjadi individu lebih baik dan matang.
Bohong jika ada orang mendakwa tidak pernah berasa tertekan. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, dia bijak mengurus dan mengendalikan tekanannya supaya tidak menjadi masalah besar. Malah, bagi orang begini, tekanan dianggap sebagai cabaran. Untuk terus hidup, manusia memerlukan tekanan, namun tekanan berlebihan yang tidak dikawal dan ditangani dengan baik dikenal pasti boleh menjadi pencetus kepada pelbagai masalah kesihatan. Apabila tertekan, badan menghasilkan hormon tekanan yang dipanggil kortisol. Hormon ini ada beberapa fungsi penting seperti membantu metabolisme glukos, mengawal tekanan darah, mengekalkan pengeluaran insulin (sebagai pengangkut gula dalam darah), menguatkan sistem imun badan dan terbabit dalam terhadap keradangan. Peningkatan kecil hormon kortisol juga membawa kesan baik, antaranya ia membolehkan badan mengeluarkan tenaga segera (untuk bersaing), meningkatkan fungsi memori dan sistem imun serta mengurangkan sensitiviti terhadap kesakitan. Namun, terlalu banyak kortisol (akibat tekanan yang tidak terkawal) boleh memberi kesan buruk. Dalam keadaan ini, tekanan yang dialami disifatkan sebagai negatif. Tekanan negatif ini boleh menyebabkan kita mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kepala, sukar tidur dan tekanan darah meningkat. Dalam jangka masa panjang, tekanan yang terkumpul bukan saja menyebabkan emosi tidak stabil, tetapi mampu menjadi pencetus kepada penyakit lain, contohnya serangan jantung, tekanan darah tinggi, paras gula dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) dan pedih ulu hati. Bahkan, kajian mendapati kortisol berlebihan berlegar lama di perut dan merangsang proses pengumpulan lemak di perut dan pinggang. Keadaan menjadi lebih teruk jika anda jenis yang makan banyak ketika bersedih atau tertekan kerana pada masa sama anda mengalami masalah tekanan dan berlebihan berat badan! Yang membimbangkan, ramai tidak sedar mereka mengalami tekanan kerana gejala dialami dianggap perkara ‘biasa’ dan akan hilang dalam masa beberapa hari, kata Pensyarah Psikologi, Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), James Yeow. Katanya, tanda tekanan boleh dibahagi kepada dua, iaitu fizikal (boleh dilihat atau dirasai) dan perubahan personaliti. “Antara cara mudah yang boleh meredakan tekanan ialah mendengar muzik. Kajian menunjukkan muzik mempunyai kesan tidak langsung kepada penghasilan hormon tekanan. “Ia boleh merangsang pengeluaran hormon yang membuat kita berasa selesa seperti noradrenalin dan endorfin. Malah, penghasilan antibodi imunoglobulin yang menguatkan sistem imun juga meningkat. “Bagaimanapun, setiap orang memerlukan jenis muzik berbeza untuk mengurangkan tekanan; bergantung kepada personaliti seseorang. Ada orang suka muzik lembut dan ada yang memilih muzik bernada rancak,” katanya. Kajian menunjukkan kadar pernafasan, tekanan darah dan pengecutan otot perut berubah mengikut jenis muzik yang didengar. Alunan muzik lembut dan menenangkan boleh menurunkan tekanan darah ke tahap tertentu. Ini sebabnya kebanyakan pengusaha restoran memasang muzik lembut untuk membuatkan pelanggan berasa tenang dan selesa menikmati makanan. Muzik dan otak Menurut Yeow, otak kita ada dua bahagian, iaitu otak kiri (pemikiran logikal) dan otak kanan (pemikiran kreatif) yang boleh dihubungkan fungsinya melalui muzik. Otak bertindak balas terhadap muzik lembut dan tenang melalui beberapa pertukaran daripada fasa beta (pemikiran cergas dan peka) kepada alfa, teta dan delta (ketika tidur lena, iaitu fasa yang sangat tenang). Pesakit yang mendengar alunan muzik lembut dan menenangkan secara berpanjangan dikatakan boleh mempercepatkan proses penyembuhan. Beberapa kajian dijalankan untuk mengetahui kesan muzik pada kehidupan, antaranya: Muzik juga digunakan sebagai satu daripada terapi dalam dunia perubatan silam. Pengamal perubatan klasik Cina percaya hati manusia suka pada muzik dan ia menjadi tenang apabila telinga mendengar muzik. Menurut perubatan klasik Cina, apabila marah, kita perlu membuat bunyi ‘shhhh’ selama lima hingga 10 minit bagi meredakan kemarahan. Manakala bunyi ‘ha’ untuk rasa geram (ha seperti bunyi ketawa yang boleh menggembirakan) dan ‘ssss’ bila sedih. Kaedah perubatan kuno India juga ada unsur muzik dan bunyi seperti ‘ihhh’ untuk gangguan emosi, ‘ahhh’ (cinta), ‘eee’ (intuisi) dan ‘huuu’ bagi merangsang pemikiran kreatif. Malah, dalam Islam juga ada irama atau ‘lenggok lagu’ yang sememangnya mampu membuatkan kita berasa tenang, contohnya bacaan al-Quran dan laungan azan. Kesan ini lebih dirasai jika kita membaca atau menyebutnya. Sejarah membuktikan ramai ilmuan dan doktor Islam seperti Zekeriya Er-Razi (854-932), Farabi (870-950) dan Ibnu Sina (980-1037) menggunakan terapi muzik untuk merawat pesakit yang mengalami gangguan psikologi. Pemilihan jenis muzik bergantung kepada cita rasa setiap individu. Namun, secara umumnya muzik lembut, terutama lagu klasik, memberi kesan besar kepada kebanyakan orang. Pemilihan muzik ini perlu setara dengan emosi yang dialami. Biasanya, ketika marah, kita lebih suka mendengar muzik kuat dan rancak; kemudian perlahan-lahan beralih ke muzik perlahan. Atau ketika sedih, hati rasa lebih serasi dengan lagu mendayu. Tidak mengapa jika lagu berkenaan membuatkan air mata mengalir kerana secara semula jadi selepas menangis hati, kita berasa lebih tenang. Bersikap positif “Perkara paling penting untuk mengelak tertekan ialah berfikiran positif. Memang ia bukan mudah, tetapi tidak mustahil dilakukan. Yang perlu ialah kesabaran dan berlatih setiap hari. “Contohnya, ketika memandu, berapa ramai antara kita memarahi atau memaki pemandu kurang sopan dan suka memotong barisan? Daripada memaki, lebih baik kita mendoakan sesuatu yang positif untuknya, seperti ‘semoga anda sentiasa sihat’ atau ‘semoga anda menjadi pemandu yang lebih bersopan’. “Apabila berkata begini, kita perlu ikhlas kerana ia bukan saja baik untuk orang berkenaan, tetapi lebih penting ialah ia memberi kesan positif pada diri sendiri. Cara ini terbukti dapat mengawal kadar degupan jantung dan tekanan darah kerana kita berasa tenang. Apabila kita berfikiran positif, badan secara tidak langsung memberi tindak balas positif juga,” katanya. Malangnya, lebih 80 peratus orang mempunyai pemikiran negatif, walaupun terhadap diri sendiri. Ini perlu dielak dan jangan memulakan hari kita dengan pemikiran negatif. Contohnya, jika anda dalam usaha mengurangkan berat badan — mulakan hari dengan ‘saya mahu kurus dan perlu bersenam’, bukan ‘saya tidak mahu gemuk’ kerana ayat kedua itu bersifat negatif. Ayat ini jika diulang boleh menjadi mantera yang memberi kesan positif pada pemikiran. Ini dilakukan banyak penganut agama untuk menenangkan fikiran. Bagi umat Islam, zikir, istighfar dan menghafal ayat al-Quran berkali-kali adalah mantera terbaik untuk membersihkan hati. Selain terapi muzik, beberapa kaedah lain boleh digunakan untuk menghindar tekanan iaitu: Memasang muzik lembut ketika makan membuatkan kita makan lebih perlahan dan melambatkan daripada mengambil hidangan seterusnya, sebaliknya muzik rancak dan kuat mempercepatkan kita menyuap makanan. Ini boleh mengelak kita terlebih makan. |