Anak beranak jadi jururawat
Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my
 |
MERAIH pendapatan lumayan bukan matlamat utama seseorang itu membabitkan diri dalam kerjaya kejururawatan. |
MERAIH pendapatan lumayan bukan matlamat utama seseorang itu membabitkan diri dalam kerjaya kejururawatan.
Kemuliaan kerjaya itu sering dikaitkan dengan nilai diri dan sikap keprihatinan seorang wanita yang bergelar jururawat.
Dilonjak rasa cinta terhadap kerjaya itu menyebabkan Siti Habshah Abd Talib, 46, tidak pernah memikirkan kerjaya lain.
Selepas menyumbangkan baktinya dalam profesion kejururawatan dalam negara, dia mengalih haluan ke Arab Saudi.
“Saya bertugas di Arab Saudi kerana ia menjadi tumpuan dunia dan menjadi pengalaman lebih mencabar.
“Saya bangga bekerja di Jeddah kerana selain bekerja, saya juga sering mendapat peluang mengerjakan umrah atau haji,” katanya.
Mulanya dia tidak meminati kerjaya kejururawatan, tetapi desakan bapanya, seorang anggota polis, supaya memilih kerjaya dalam kerajaan, menyuntik semangatnya.
“Saya melalui pelbagai pengalaman, daripada kerani, operator pengeluaran sehingga jurutaip. Apabila ayah mendesak, saya memohon jawatan jururawat dan ia diterima.
“Saya menjadi jururawat pelatih di Sekolah Latihan Jururawat, Hospital Besar Melaka sebaik tamat kursus tiga tahun dan di beberapa hospital lain.
“Akhirnya saya bertugas sebagai jururawat industri di syarikat semikonduktor dan ditukar ke Jabatan Sumber Manusia. Saya banyak berdepan dengan masalah pekerja yang meminta nasihat berkaitan masalah kesihatan.
“Saya bangga dapat melakukan semua ini demi memberikan yang terbaik kepada pekerja,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
Antara yang membanggakannya adalah pengalaman menyambut kelahiran seorang bayi yang menjadi kenangan terindah kepadanya.
“Walaupun saya tidak mengambil kursus perbidanan, demi menyelamatkan nyawa si ibu dan anak, saya tawakal. Saya gunakan ilmu yang dipelajari ketika berkursus dulu,” katanya.
Lebih membanggakan, semangatnya turut dirangsang anak sulungnya, Siti Faziratul Hanim, 22, yang kini sedang belajar di Kolej Antarabangsa Mahsa dalam bidang kejururawatan.
Bahkan, anak keduanya, Nurizzatul Hanim, 20, turut mengikuti jejak langkah ibu dan kakaknya menuntut di Kolej Kejururawatan Puteri.
“Mereka menjadikan saya sebagai idola selain melihat kekuatan yang ada dalam diri saya dalam menghadapi pelbagai cabaran serta rintangan.
“Kerjaya ini begitu istimewa kerana di samping mengajar sifat sabar, kita menjadi prihatin kepada pesakit,” katanya.
Wanita ini turut menyatakan kebanggaannya kerana profesion kejururawatan pula semakin diiktiraf melalui Hari Jururawat yang disambut setiap 12 Mei.
Malah, kerjaya berkenaan juga mampu meraih pendapatan lumayan walaupun komitmen adalah segala-galanya dalam kerjaya itu.
|