myMetro

Rambut cantik, wajah berseri

Teks Yooga Rani Murugiah
yooga@hmetro.com.my

RAMBUT sering dianggap mahkota paling istimewa bagi wanita. Selain melambangkan perwatakan positif, ia turut mempengaruhi bentuk wajah dan menyerlahkan kecantikan diri, seterusnya menjadi daya penarik pada wanita.

Bagi mereka yang ingin tampil ceria dan berbeza daripada hari biasa, gaya rambut tidak harus dilupakan sebelum menghadiri jamuan makan malam atau majlis koktel.

Tidak kira panjang atau pendek, rambut yang didandan rapi bersesuaian dengan bentuk wajah bulat, bujur sirih atau empat segi, melengkapkan lagi gaya di samping turut mempengaruhi emosi untuk bergembira serta berkeyakinan sepanjang majlis.

Antara gaya dandanan rambut dicadangkan salun Ann Profesional Team (APT) adalah rambut berombak atau kerinting besar yang menjadi kegemaran ramai muda mudi kini.

Menurut pemilik dan pendandan profesional APT, Ann Wang, gaya rambut berombak yang pernah popular beberapa tahun lalu, terus menjadi ikutan ramai wanita masa kini.

Gaya rambut kerinting besar tampak semula jadi dan sesuai untuk mereka yang berbadan besar serta berwajah bulat.

Malah, gaya rambut ini boleh dikenakan warna perang dan kemerahan yang pasti menceriakan keseluruhan imej.

“Bagi mereka yang menggayakan fesyen rambut hebat atau meniru fesyen rambut selebriti diminati, ia mungkin tidak sesuai dengan mereka. Justeru, sebelum menggayakan sesuatu fesyen rambut, pelbagai faktor harus diteliti terlebih dulu,” katanya.

Mereka yang memiliki susuk tubuh yang langsing dan tinggi lampai pula boleh mencuba gaya rambut koktel berkonsep moden.

Menerusi gaya terbabit, separuh daripada rambut diikat di atas manakala separuh lagi dikerinting dan dilepaskan ke paras bahu.

Menariknya, dandanan rambut seperti ini boleh digayakan dengan sepit rambut yang sarat berhias batu kristal Swarovski bergemerlapan.

Fesyen rambut seperti ini amat popular, tampak glamor serta melahirkan kreativiti baru dalam berdandan.

Selain itu, fesyen rambut ringkas, malah masih diminati hingga ke hari ini adalah gaya simpul siput yang didandan secara bersilang sebelum disisipkan dengan penghias rambut eksklusif.

Gaya rambut separa tradisional dan moden ini tidak akan mengambil masa dandanan lebih daripada 15 minit dan sesuai dikenakan untuk pelbagai acara.

Bagi mereka yang berjiwa muda, periang dan ceria, boleh mencuba gaya campuran di mana rambut lurus diselangselikan dengan kerinting kecil di dalam dan luar rambut.



Tips menggayakan rambut

  • Sesuaikan fesyen rambut dengan bentuk muka dan susuk badan agar kena dengan penampilan.

  • Sanggul siput, kerinting berombak adalah antara gaya paling ringkas. Hiasan aksesori atau sepit rambut yang comel dan menarik menambah gaya.

  • Pilih aksesori yang ringkas untuk acara santai atau rasmi untuk tampak lebih eksklusif.

  • Aksesori padat berkilau sesuai digayakan untuk sebelah malam. Elakkan aksesori seperti rantai atau subang yang terlalu sarat.

  • Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
    © Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad