Buah-buahan kaya khasiatPEMAKANAN yang berkhasiat penting untuk memastikan sistem pertahanan badan berfungsi pada tahap optimum.
Justeru, pakar pemakanan sering mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran lima kali sehari. Buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dimakan segar, sama ada sebagai jem dan jeli atau diawet seperti jeruk, sayur dan buah-buahan kering di dalam tin atau ditapai. Buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh diproses sehingga cair untuk diminum. Disebabkan buah-buahan dikategorikan sebagai pemakanan menyeluruh, buah-buahan adalah sumber yang kaya dengan vitamin A dan C, kalium, serat dan bahan antioksida. Buah-buahan juga mempunyai kandungan kolesterol rendah, sedikit atau tanpa lemak. Kebanyakan buah-buahan mengandungi amat sedikit lemak, trans lemak dan kolesterol. Buah-buahan mempunyai fitokimia untuk menjamin kesihatan. Ramai mengetahui yang buah-buahan seperti anggur hitam mengandungi vitamin C tetapi ramai tidak mengetahui yang buah-buahan juga mengandungi resveratrol, lycopene dan anthocyanin. Fitokimia menjamin kesihatan dengan membantu melambatkan proses penuaan serta merendahkan risiko berpenyakit. Selain itu, pigmen ungu anggur hitam mengandungi anthocyanins, satu bahan antioksida yang membantu menjauhi penyakit. Buah-buahan adalah pilihan pemakanan yang terbaik untuk kanak-kanak. Ada ibu bapa kerap merungut yang anak-anak mereka enggan memakan sayur-sayuran. Disebabkan buah-buahan sedia diterima kanak-kanak dalam pemakanan mereka, pastikan mereka memakan buah-buahan manakala minuman buah-buahan juga menyegarkan dan berkhasiat. Buah-buahan sering menjadi pilihan kerana ia tidak mendatangkan kesan toksik, misalnya vitamin A daripada betakarotena buah-buahan. Vitamin A penting untuk penglihatan dan melindungi kulit daripada jangkitan. Vitamin A, C dan E termasuk betakarotena di dalam buah-buahan adalah bahan antioksida yang membantu meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel badan. Buah-buahan berwarna ungu, merah tua, jingga dan kuning seperti anggur hitam, durian serta betik mengandungi bahan antioksida dengan anggur hitam mengandungi vitamin dan galian yang amat tinggi. Buah-buahan juga mengandungi galian penting seperti kalium yang menstabilkan kadar bendalir badan serta menurunkan tekanan darah tinggi. Anggur hitam, pisang dan buah sitrus merupakan buah-buahan yang kaya dengan kalium. Anggur hitam dan nanas merupakan sumber yang kaya dengan galian mangan yang memainkan peranan dalam proses pengeluaran tenaga badan. Kebanyakan buah-buahan adalah sumber yang kaya dengan galian tembaga yang diperlukan oleh badan untuk proses pembentukan darah dan tulang. Disebabkan buah-buah mengandungi serat, pengambilan serat buah-buahan boleh membantu menguatkan jantung. Sementara itu, vitamin B1, B2, B6, B12, asid folik dan vitamin E termasuk zat galian seperti zat besi, zink, magnesium dan selenium juga membantu sistem pertahanan badan. Anggur hitam adalah sumber yang kaya dengan zat terbabit. Ramai tertanya-tanya sama ada semua buah-buahan tanpa mengira jenis adalah sama dari segi kandungan vitamin dan zat galian. Dr Derek Stewart daripada Institut Penyelidikan Tanaman Scotland mendapati bahawa buah-buahan seperti anggur hitam adalah jauh lebih berkhasiat. |