Konsep tradisional
Oleh Ahmad Fitri Che Musa
fitrimusa@hmetro.com.my
BUKAN mudah untuk mendapatkan perkhidmatan kecantikan yang benar-benar berkonsepkan tradisional Melayu serta diterajui pakar berpengalaman kerana kebanyakan pusat sedemikian kini lebih berkonsepkan komersial berdasarkan budaya lain.
Berbeza dengan Zeni Beauty & Spa di Saujana Puchong, Selangor yang menggunakan kaedah tradisional turun-temurun diadun dengan teknik moden.
Pengurus yang juga tenaga pengajar Zeni Beauty & Spa, Aini Adnan, menerapkan konsep perawatan lengkap merangkumi perawatan luar dan dalam termasuk tata rias wajah serta badan.
Paling istimewa, Aini turut menguruskan rumah penjagaan ibu hamil dan baru bersalin. Di pusat penjagaan itu, dia menyediakan penjagaan berkonsepkan tradisional bagi memulihkan tenaga, semangat, kesihatan minda dan fizikal mereka.
Urutan khusus untuk wanita selepas bersalin mempunyai pelbagai fungsi termasuk membantu menaikkan semula sistem peranakan dan memperkemas bahagian perut.
Rawatan ini juga membantu membuang angin dan memulihkan kesegaran badan selain melancarkan peredaran darah serta mempercepatkan pengeluaran darah nifas dan kekotoran.
Rawatan tradisional yang diamalkan masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya juga boleh dicuba misalnya khidmat bertungku serta bertangas.
Menurutnya, rawatan bertangas antara lain membantu mengecutkan rahim dan otot yang kembang serta mempercepatkan penyembuhan luka dan jahitan di bahagian sulit.
“Rawatan ini turut membantu mengembalikan bentuk tubuh badan dan menambah susu badan serta mencairkan lemak dan menggantikan sel mati selain memberi kesegaran kepada kulit,” katanya.
Rawatan di pusat kecantikan terbabit dapat dinikmati dalam persekitaran eksklusif dengan sentuhan tradisional. Ia banyak menggunakan
bahan semula jadi seperti bunga, kayu dan batuan yang dapat membangkitkan suasana yang benar-benar nyaman.
“Produk yang digunakan dalam perawatan ini produk semula jadi berkualiti tinggi dan diperkaya dengan bahan aktif berasal daripada pelbagai bahan organik,” kata Aini yang berpengalaman hampir 12 tahun dalam urutan tradisional.
Baginya, wanita pasti berasa diri dihargai dengan rawatan seperti lulur, sauna, aromaterapi dan mandi bunga serta urutan tradisional Melayu menggunakan teknik urutan warisan turun-temurun.
Urutan tradisional Melayu lain yang turut disediakan membantu membuang toksik, meningkatkan peredaran darah, menggalakkan pertumbuhan sel baru, menghilangkan tekanan serta menyegarkan badan, minda dan semangat diri.
Pengunjung juga boleh menggabungkan rawatan mengurut dengan rawatan lain seperti sauna atau mandi bunga bagi memulihkan tenaga selain menambah seri muka dan aura menerusi aroma pelbagai bunga yang memberikan wangian semula jadi yang menenangkan.
|