Cantik tanpa pembedahanOleh Rahayu Mohd Sallehayu@hmetro.com.my IA umpama bom jangka yang boleh meledak bila-bila masa namun ramai yang mungkin tidak menyedari risiko salah satu kaedah mencantikkan diri itu.
Penggunaan bahan tambahan yang lazimnya disuntik diakui ada risiko apabila bahan asing terbabit dikategorikan kekal di dalam tubuh, kata pakar bedah plastik yang juga Profesor Madya Pembedahan Plastik, Karolinska Institutet, Stockholm, Per Heden. “Bahan kecantikan tambahan itu lazimnya mula berisiko kira-kira tujuh atau lapan tahun selepas suntikan bahan terbabit ke dalam tubuh,” katanya. Lantaran itu, Heden yang berada di Singapura baru-baru ini, berkata biarpun suntikan bahan kecantikan kekal itu sering menjadi buruan wanita mahupun lelaki yang ingin tampil menarik dalam tempoh singkat, ia kini semakin kurang menjadi pilihan terutama di kalangan pengguna di Eropah. Suntikan bahan kecantikan yang dikategorikan kekal di dalam tubuh itu dikatakan boleh membentuk granuloma yang membabitkan keradangan tisu yang kronik, lazimnya dikaitkan dengan proses jangkitan. Berpengalaman kira-kira 30 tahun dalam bidang pembedahan plastik, beliau akui kewujudan golongan yang begitu taksub untuk mencari kesempurnaan fizikal tubuh dengan melakukan pelbagai kaedah kecantikan. “Kelompok yang terlalu serius untuk mengubah penampilan diri itu sepatutnya mendapatkan rawatan psikologi, bukannya meneruskan usaha mencantikkan diri menerusi pelbagai kaedah pilihan mereka. “Di kalangan pakar bedah sendiri, penting untuk mengelak golongan ini kerana pesakit perlu sedar, prosedur yang digunakan itu akan berubah secara holistik. “Lantas, pesakit atau pengguna perlu dimaklumkan mengenai potensi dan batasan berhubung prosedur pilihan mereka,” katanya yang mengakui kewujudan kelompok yang taksub mengubah penampilan diri itu dianggarkan meliputi kira-kira 10 peratus pengguna. Beliau sendiri tidak menafikan kepentingan penampilan seseorang malah menerusi kajian, kira-kira 55 peratus responden menyifatkan tanggapan terhadap seseorang itu dibuat berdasarkan penampilan mereka malah penampilan juga membabitkan layanan diberikan kepada mereka. “Pada masa sama, kecantikan seseorang juga banyak dikaitkan dengan hubungan seksual dan tahap kesihatan diri,” katanya. Apapun, bidang perubatan estetik kini menempuh era baru apabila kaedah pembedahan yang sering digunakan dulu banyak digantikan dengan pendekatan baru secara holistik. Malah menurutnya, permintaan kian meningkat terhadap terapi bukan pembedahan menjadi satu aliran utama dalam perubatan estetik sejak bermulanya abad ke-21 ini. Menerusi kajiannya, beliau mendapati kira-kira 20 peratus wanita di Eropah mempertimbangkan melakukan pembedahan untuk membesarkan payudara manakala di Amerika Syarikat, ia membabitkan kira-kira 40 peratus wanita. “Tetapi hakikatnya, kurang daripada satu peratus daripada wanita yang meneruskan hasrat mereka melakukan pembedahan terbabit kerana lebih ramai yang berminat menjalani kaedah alternatif,” katanya Menurutnya, alasan utama seseorang itu mengelak daripada melakukan pembedahan kosmetik antara lain disebabkan risiko pembiusan, parut dan kehadiran bahan asing dalam tubuh. Lantas, ramai yang beralih kepada kaedah mencantikkan diri tanpa pembedahan misalnya penggunaan bahan tambahan sama ada bersifat kekal atau sementara yang disuntik ke dalam tubuh. Pakar bedah plastik, Bruno De Meyere pula menasihatkan wanita yang mahu melakukan prosedur estetik supaya menjalani ujian mamogram terlebih dulu untuk mengesan kehadiran barah sebelum mencuba sebarang prosedur estetik. Kedua-dua pakar bedah berkenaan turut menghuraikan rawatan terapi kecantikan Macrolane yang baru dilancarkan di Singapura untuk pengguna rantau ini. Macrolane yang dikeluarkan syarikat peralatan perubatan dan bioteknologi Sweden itu dihasilkan berasaskan gel yang mengandungi asid hyaluronik yang stabil, membantu menjadikan kulit lembut dan kelihatan muda. Asid berkenaan boleh ditemui secara semula jadi dalam tubuh contohnya pada kulit dan organ. Macrolane yang bersifat sementara dalam tubuh itu dianggap rawatan selamat yang boleh disuntik dengan mudah tetapi memerlukan doktor bertauliah melakukannya. Menerusi penggunaan Macrolane, tubuh akan meleraikan gel asid hyaluronik terbabit secara beransur-ansur yang akhirnya akan dihapuskan sepenuhnya dari tubuh. |