Junaidah kongsi petua
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my
"DULU, saya langsung tidak mempunyai banyak pengetahuan penjagaan wajah yang betul dan hanya melakukan penjagaan asas seperti membersih. Ia menyebabkan kulit wajah saya mula mengalami masalah.
"Namun, saya segera merujuk kepada Lancome dan dirujuk kepada pakar penjagaan kulitnya, Yap Wei Leng yang banyak membantu memberi nasihat penjagaan kulit wajah.
"Hasilnya kini, wajah saya kian cerah berseri dan ramai kawan yang memuji kecantikan kulit yang dimiliki dan ingin berkongsi petua yang sama," kata Junaidah Ladi.
Wanita cantik berusia 29 tahun ini mengakui kerjayanya sebagai seorang juruanalisis korporat di sebuah syarikat swasta di ibu negara memang menagih banyak waktunya di pejabat.
Menurut Junaidah, fasa kehidupannya kini memang mengalami banyak perubahan lantaran memiliki dua anak kecil yang memerlukan tumpuan penuh.
Namun, katanya, kesibukan antara kerja dan keluarga tidak pernah dijadikan alasan baginya mengabaikan penjagaan serta kecantikan kulit wajah.
Dia yang sudah menggunakan produk penjagaan serta kecantikan daripada Lancome sejak enam tahun lalu amat berpuas hati dengan hasil diterima dan itu menyebabkannya setia dengan jenama berkenaan hingga kini.
Selain itu kata Junaidah, pengalamannya bersama Wei Leng, sangat memuaskan kerana dia tidak lokek berkongsi pelbagai petua dalam menjaga kecantikan dan memahami keperluan kulit wajah wanita sepertinya.
"Hubungan kami bukan hanya sebagai pelanggan dan wakil jenama tetapi kami turut menjadi rakan baik serta berkongsi banyak perkara. Saya amat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan dan itu mendorong saya segera berjumpa dengannya jika kulit wajah mengalami sebarang masalah.
"Biarpun sudah mempunyai dua anak, ramai yang masih menganggap umur saya sekitar 20-an. Ia mungkin disebabkan saya mengamalkan rutin penjagaan kecantikan lengkap iaitu membersih wajah serta menggunakan penyegar dan pelembap setiap hari.
"Namun, jika keluar, saya memastikan memakai krim perlindungan untuk mengelakkan daripada terdedah kepada sinar ultraungu merbahaya," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pakar penjagaan kulit Lancome di ibu negara, baru-baru ini.
Barisan pakar penjagaan kulit yang mula diperkenalkan sejak Mac lalu berkenaan terdiri daripada tujuh wanita berpengalaman luas dalam bidang kecantikan iaitu Wei Leng, Hamisah Abdullah, Ooi Jing Yi, Leong Poh Ee, Winter Tang, Winnie Khoo serta Anny Wong sebagai ketua dan Lancome Skincare Master.
Mereka dilatih oleh Lancome untuk membantu mendidik dan membimbing wanita di negara ini untuk memiliki kecantikan kulit yang mereka ingini.
Bagi Anny, kecantikan adalah sesuatu yang universal dan berpandukan kepada sesuatu tanggapan kerana ada sesetengah orang tidak memiliki wajah sempurna tetapi masih kelihatan menarik.
"Sebagai wanita, saya memahami apa yang mereka lalui dan inginkan dalam hidup ini. Selain mahu mencapai matlamat masing-masing, wanita memang sentiasa ingin tampil cantik dan menawan pada apa juga peringkat umur.
"Untuk itu, dapatkan nasihat terbaik daripada barisan pakar penjagaan kulit yang berpengalaman dan tampilkan diri yang sebenarnya," katanya.
Sementara itu, Pengurus Jenama Lancome Malaysia, Penny Chow, berkata wanita kini mampu memiliki kulit yang mereka idamkan dengan adanya teknologi moden.
Kata Penny, pihaknya percaya memiliki kulit cantik dan sihat mampu menyerlahkan lagi keyakinan seseorang terutama wanita.
"Selain wanita, lelaki juga dialu-alukan untuk singgah di kaunter kami di ibu negara iaitu di Isetan KLCC, Sogo, Metrojaya serta Jusco Mid Valley dan Parkson One Utama bagi mendapatkan petua berguna dalam menjaga kecantikan wajah daripada barisan pakar penjagaan kulit kami yang terlatih," katanya.
|