Nestle bina tadika keempat
 |
PROJEK tadika keempat Nestlé (Malaysia) Berhad (Nestlé) di Sabah bersama badan bukan kerajaan, UK Raleigh International (Raleigh), menghadirkan keceriaan di kalangan penduduk setempat di kawasan pedalaman yang kekurangan kemudahan asas untuk pendidikan prasekolah itu. |
PROJEK tadika keempat Nestlé (Malaysia) Berhad (Nestlé) di Sabah bersama badan bukan kerajaan, UK Raleigh International (Raleigh), menghadirkan keceriaan di kalangan penduduk setempat di kawasan pedalaman yang kekurangan kemudahan asas untuk pendidikan prasekolah itu.
Usaha terkini dalam himpunan tadika Nestlé berkenaan adalah di Kampung Keranaan, berhampiran daerah Ranau, Sabah yang mempunyai kira-kira 700 penduduk kampung yang kebanyakannya berketurunan Dusun.
Disebabkan lokasi dan prasarana sedia ada, kemudahan pendidikan prasekolah tidak mencukupi bagi menampung kira-kira 40 kanak-kanak prasekolah di kampung berkenaan.
Menerusi projek terbabit, kanak-kanak itu bukan saja memiliki persekitaran bersesuaian untuk keperluan pembelajaran mereka, malah disediakan guru terlatih untuk menjadi guru prasekolah.
Menerusi perkongsian bersepadu itu, Nestlé membiayai pembangunan tadika di kawasan terbabit dan melengkapkannya dengan bahan mengajar serta perabot manakala sukarelawan daripada Raleigh membina bangunan.
Tadika terdahulu yang dibina Nestlé terletak di Kampung Liu, Kampung Saguon dan Kampung Paus. Secara purata, setiap tahun, seramai 25 kanak-kanak prasekolah berusia antara empat hingga enam tahun menghadiri tadika berkenaan.
Pengarah Kumpulan Hal Ehwal Korporat dan Kesejahteraan Nestlé (Malaysia) Berhad, Tengku Marina Tunku Annuar Badlishah, berkata projek tadika berkenaan sejajar dengan falsafah korporat Nestlé bagi memastikan pembangunan berterusan dan membantu membangunkan masyarakat di kawasan pedalaman.
“Pendidikan suatu pemangkin yang hebat terutama di kawasan pedalaman, memandangkan ia membantu memperkasa seseorang dan meningkatkan taraf hidup secara berterusan. Kami percaya dengan menyediakan peluang pendidikan prasekolah di kawasan pedalaman, kami mampu menyediakan satu permulaan yang baik kepada kanak-kanak kecil ini apabila mereka menghadiri sekolah rendah,” katanya.
Pengarah Negara Raleigh International Malaysia, James Clements, yang turut menghadiri majlis pelancaran itu menyifatkan keazaman sukarelawan muda terbabit sememangnya mengagumkan dan sumbangan mereka akan memberi manfaat kepada penghuni kampung terbabit untuk tempoh yang lama.
Kos keseluruhan projek berkenaan sebanyak RM35,000 termasuk bahan pendidikan yang ditaja sepenuhnya oleh Nestlé. Tajaan sebanyak RM5,000 turut disediakan untuk sukarelawan muda Malaysia yang menyertai sembilan lagi sukarelawan antarabangsa dan dua pengurus projek Raleigh untuk membina tadika terbabit.
Tadika berkenaan dirasmikan Setiausaha Politik kepada Datuk Masidi Manjun, Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Amisah Yassin.
|