Solek mata, bibir ubah wajah
Oleh Yooga Rani Murugiah
yooga@hmetro.com.my
PEMILIHAN warna bersesuaian mengikut perubahan fesyen dan tema majlis amat penting dalam mendapatkan hasil solekan yang memuaskan.
Ini disebabkan pemilihan warna yang tepat bukan saja menjadikan penampilan seseorang itu lebih anggun tetapi pada masa sama, kelihatan menarik dan bergaya terutama pada hari perayaan.
Sempena musim perayaan Deepavali kali ini, jenama kosmetik terkenal, Bobbi Brown menyediakan panduan ringkas supaya wanita dapat menonjolkan lagi personaliti diri masing-masing.
Menurut jurusoleknya, Sandra Foo, musim perayaan begitu istimewa kerana ia hanya disambut sekali setahun dan pastinya setiap wanita inginkan diri tampil lebih bergaya pada hari berkenaan.
Sandra berkata, solekan sama ada glamor atau semula jadi, perlu memberi lebih tumpuan kepada mata dan bibir kerana dua bahagian inilah yang dapat mengubah wajah seseorang.
Menurut Sandra, sebelum bersolek, pastikan wajah dibersihkan terlebih dulu sebelum menyapu pelembap, bedak asas bebas minyak dan penutup noda.
Untuk mata, gunakan warna matte iaitu warna pembayang mata tidak berkilat seperti Gold Shimmer, Mettalic dan Cognac. Sebolehnya gunakan paling maksimum tiga rona pembayang mata kerana satu warna tidak mungkin memberikan kesan begitu menarik dan ketara pada mata.
“Ia kemudian diikuti dengan menggariskan mata menggunakan pensil mata gel Black Long untuk memperoleh bentuk mata lebih besar dan bundar. Sebaiknya gunakan berus berbanding pensil untuk mendapatkan garis mata yang lurus. Gunakan warna hitam pada bahagian atas dan bawah.
“Namun, untuk mendapatkan alis mata yang panjang, lentik dan tebal, gunakan maskara hitam, Lash Glamour. Seterusnya, sapu pemerah pipi berwarna Poppy dan Coral Shimmer Blush. Sebelum memulakan sapuan, senyum untuk menonjolkan tulang pipi.
“Untuk mendapatkan bibir memukau, sapukan warna semula jadi seperti Scarlet dan Pinksequinn yang memberi kesan kelembapan sekali gus bibir tampak sentiasa segar dan bersinar. Solekan ini amat sesuai untuk wanita berkulit sawo matang yang ingin tampil menarik pada pesta cahaya kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sandra berkata, untuk mendapatkan kesan solekan luar biasa, ia memerlukan masa yang mencukupi kerana solekan sebenarnya memerlukan seni sentuhan dan kreativiti tersendiri.
“Jangan sesekali menyapukan warna solekan secara ala kadar atau tergesa-gesa kerana ia bukan saja menjejaskan gaya solekan malah membuatkan penampilan seseorang itu kurang menyerlah dan hilang serinya,” katanya.
|