Persiapan penulis muda
 |
SIKAP terbuka untuk menerima tunjuk ajar di samping usaha untuk mengembangkan bakat sedia ada, perlu menjadi pegangan anak muda yang mahu mendalami bidang penulisan khususnya penulisan kreatif. |
SIKAP terbuka untuk menerima tunjuk ajar di samping usaha untuk mengembangkan bakat sedia ada, perlu menjadi pegangan anak muda yang mahu mendalami bidang penulisan khususnya penulisan kreatif.
Apatah lagi jika sudah punya minat mendalam, akui Nor Farasha Kudhory, 24, yang muncul sebagai pemenang utama pertandingan cerpen MiniNovella Fair & Lovely Penuhi Hasrat Hatiku, baru-baru ini.
"Semua orang dikurniakan bakat masing-masing, tetapi terpulang pada diri mereka untuk mengembangkannya.
"Malah, golongan muda yang terbabit dalam bidang penulisan mempunyai potensi yang cukup meluas biarpun masih dianggap mentah. Mereka perlu memanfaatkan sumber yang ada misalnya menerima tunjuk ajar atau merujuk kepada golongan yang jauh lebih berpengalaman.
"Saya sendiri merujuk kepada pensyarah yang memberi tunjuk ajar cara membuat ayat secara kreatif. Ilmu sebegini perlu dicari dan dipelajari kerana jika langsung tidak berusaha untuk memperbaiki diri, kita tak akan ke mana," kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Artistik (Seni Layar), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.
Dia turut mengakui, mungkin tidak ramai anak muda yang meminati bidang penulisan kreatif manakala sesetengahnya menganggap sastera lebih sesuai untuk anak muda bercinta yang sering menggunakan bahasa indah untuk menzahirkan perasaan mereka.
"Apapun, banyak peluang dalam bidang penulisan yang boleh diteroka, baik puisi, cerpen, novel atau skrip. Saya sendiri meminati bidang penulisan novel dan skrip, tetapi buat masa ini, saya lebih terarah kepada bidang penulisan skrip untuk meraih pengalaman.
"Apabila benar-benar bersedia untuk menulis novel, insyallah akan saya lakukan satu hari nanti," katanya yang meminati penulis, Syarifah Abu Salim.
Nor Farasha yang juga cenderung pada penulisan puisi, turut menghasilkan skrip filem pendek berjudul Setitik Tompok Hitam yang mengenengahkan topik sumbang mahram dalam satu pertandingan berkaitan, baru-baru ini.
Untuk kemenangannya pada pertandingan berkenaan, dia tidak menyangka dipilih sebagai pemenang utama memandangkan cerpen terbabit bukan saja ditulis dalam tempoh singkat, malah jalan ceritanya juga agak mudah.
Fatimah Addariah Abdul Mubin, 22, yang mengikuti aliran sains di sekolah menengah manakala kedua-dua ibu bapanya bergelar juruteknologi, tekad mengikut kehendak hati yang lebih terdorong kepada dunia sastera.
"Selepas tamat sekolah menengah, saya cuba menyambung pengajian dalam bidang sains, tetapi lama-kelamaan ia tidak sesuai dengan jiwa saya," katanya yang kini mengikuti pengajian tahun pertama di bidang penulisan di UiTM, Shah Alam.
Sejak di sekolah rendah lagi, gadis ini berjinak-jinak dalam bidang penulisan manakala ketika di tingkatan lima, dia meraih hadiah sagu hati Sayembara Cerpen Perpaduan Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Menerusi penulisan, saya berupaya meluahkan perasaan dan fikiran dengan cukup baik. Sejak mengikuti pengajian di bidang penulisan, saya menanam tekad untuk menjadi penulis biarpun sebelum ini cita-cita asal saya ingin bergelar ahli farmasi," katanya yang meminati novelis Ahadiat Akashah dan Aina Emir.
Penulisan juga menurutnya, tidak hanya membicarakan kisah cinta, malah pelbagai isu masyarakat mampu dikupas menerusi cerpen atau novel khususnya topik membabitkan gejala sosial.
Pada pertandingan anjuran Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Harian Metro yang diadakan buat kali kedua itu, cerpen berjudul Gadis Merah Jambu tulisan Nor Farasha mengenepikan sembilan peserta peringkat akhir untuk membolehkan cerpen terbabit diadaptasi kepada drama lapan episod.
Sembilan peserta lain adalah Noranizan Tahir (Sejujur Cinta Seluhur Impian), Nur Suhada Sayuti (Cinta Di Bawah Pohon Jacaranda), Zaidah Yusoff (Puding Jagung Bahulu Gulung), Nurul Lailati Mahat (Cinta Tak Pernah Bersalah), Maskiah Masrom (Nyanyi Sunyi), Fatimah Addariah Abdul Mubin (Sepi Sekuntum Mawar), Elina Mohd Fahmi (Kek Kasih), Masrulezam Masbi (Prebet Comel) dan Khairyl Zanariah Azizan (Inspirasi).
Karya Nor Farasha yang diangkat menjadi drama itu bakal disiarkan di TV9 bulan ini.
Majlis penyampaian hadiah untuk semua peserta yang diadakan di Harian Metro baru-baru ini, dihadiri Pengarang Eksekutif HM/Metro Ahad (MA), Abdul Ghafar Ismail; Pengurus Jenama Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Melissa Yeoh; Ketua Jabatan Pengiklanan, The New Straits Times Press (NSTP), Edwin Chard serta Pengarang Rencana HM, Roslan Ibrahim.
|