Bina istana pasir di Teluk Gadong
Teks dan gambar Aminudin Ismail.
rencana@hmetro.com.my
DUNGUN, Terengganu memang kaya dengan destinasi pelancongan popular seperti Air Terjun Cemerong dan Pantai Teluk Lipat sudah lama menarik kunjungan pelancong ke daerah ini.
Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui kewujudan Pantai Teluk Gadong berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun.
Pantai peranginan kira-kira tujuh kilometer (km) dari bandar Dungun memiliki tarikan tersendiri walaupun jarang dipromosikan.
Berkunjung ke pantai itu, anda tentu akan tertarik dengan suasana persekitaran yang cukup mendamaikan. Tambahan lagi, apabila dapat bersantai di tepi tasik berdekatan pantai ini.
Kawasan hutan pantai ini dipenuhi kehijauan landskap semula jadinya yang masih terpelihara. Selain itu, kewujudan hutan bakau memberikan keistimewaan kepada pantai ini.
Bagi yang gemarkan aktiviti lasak, anda boleh mencuba aktiviti meredah tasik menggunakan kayak, mendaki bukit atau meredah denai hutan secara berkumpulan. Bukit berbatu juga menyediakan satu lagi lokasi untuk aktiviti ‘rock clim bing’.
Petang hujung minggu tambah meriah apabila penduduk kampung berhampiran membanjiri pantai ini. Kanak-kanak menjadi golongan yang paling teruja apabila bertandang ke pantai ini.
Bukan saja menjadi tumpuan pasangan muda, malah me reka yang berkeluarga juga gemar bersantai di pesisiran Pantai Teluk Gadong.
Pelajar UiTM dari kampus berdekatan juga mengadakan latihan berkumpulan pada setiap minggu.
Pengunjung juga tidak perlu bimbang sekiranya tidak membawa makanan kerana banyak gerai penduduk tempatan dijual sepanjang jalan menghala ke pantai ini.
Mereka juga mempunyai pilihan sama ada untuk menikmati hidangan di bawah pokok atau di beberapa wakaf kecil di sepanjang pantai.
Bagaimanapun, pengunjung kurang digalakkan mandi laut berikutan arusnya yang agak deras terutama pada musim tengkujuh.
Namun, pelbagai aktiviti lain termasuk membina istana pasir atau mencuba nasib memancing boleh dilakukan.
Pengunjung, Farrah Abdullah, 23, berkata, dia sering ber kunjung ke pantai Teluk Gadong kerana ia memiliki paya bakau, tasik dan pesisiran pantainya yang panjang.
“Walaupun jarang dikunjungi pengunjung luar kerana kawasan pantai itu tidak terletak di jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan, ia amat popular di kalangan penduduk tempatan,” katanya.
|
|