myMetro

Khazanah Jonker Walk

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SETIAP rumah kedai sepanjang Jonker Walk di tengah Melaka mempunyai kisah unik dan sejarah tersendiri. Per hatikan saja hiasan luar bangunan – dari bingkai, ukiran dan bentuk jendela, jarak dan saiz pintu – semuanya menceritakan zaman penjajahan Barat di Tanah Melayu.

Pengaruh dan gaya seni bina ini mencerminkan interaksi budaya ketika era itu sehingga mewujudkan sub budaya ‘Peranakan’ atau ‘Baba Nyonya’ dan Serani.

Mengunjungi Jonker Walk hari ini bukan sekadar me nyelongkar perabot antik, sebaliknya menyusuri sejarah lampau kota yang pernah menjadi pelabuhan antarabangsa dan rebutan kuasa Eropah.

Sauh besar yang melekat di bahagian luar deretan rumah kedai ini menjadi bukti kuasa Belanda di negeri ini. Manakala, jarak dan saiz tingkap yang berbeza menunjukkan pengaruh Portugis dan Inggeris.

Jonker Walk adalah laluan pejalan kaki kira-kira 400 meter (m) meliputi Jalan Hang Jebat (dulu dikenali Jonker Street) dan Jalan Tun Tan Cheng Lock (nama asalnya Heeren Street).

Deretan rumah kedai ini menempatkan restoran, pub, rumah tumpangan, galeri lukisan, kedai perabot antik, gerai kraftangan dengan mengekal keaslian reka bentuk.

Jika rajin menjelajah, pengunjung bakal bertemu kedai menjual terompah buatan tangan, seni yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain.

Ia antara cenderamata utama yang dicari pelancong di Jonker Walk.

Puas menyusuri kedai cenderamata, pengunjung boleh menghilangkan dahaga dengan menikmati cendol Melaka. Gerai cendol dan laksa nyonya terletak berhampiran Hereen Guest House atau Jonker Dessert.

Kebanyakan restoran di sini mengekalkan nostalgia zaman kegemilangan Melaka menerusi dekorasi kayu gelap, jubin kusam, pintu gelongsor ala Kopitiam dan seterika arang. Suasana ini menjadi tarikan utama Jonker Walk.

Jika anda pertama kali berkunjung ke Melaka, jangan lupa singgah ke kedai menjual kuih dan rempah ratus milik pengusaha berketurunan Baba Nyonya. Namakan apa saja – dari dodol sehingga gula Melaka – semuanya ada dijual.

Untuk penggemar koleksi antik atau barangan lama, anda boleh mendapatkan perabot lama, pemain piring hitam dan kipas meja yang lazimnya hanya disaksikan dalam filem Melayu hitam putih.

Pendek kata, pengunjung tidak akan pulang dengan tangan kosong apabila berkunjung ke Jonker Walk.



>INFO

  • Mengikut fakta, kedai barangan antik dan seni yang terdapat di Jonker Walk sudah wujud di bandar itu sejak awal 50-an. Dua peniaga barang antik terawal, termasuk TK Kutty dan Hj Abu Bakar.

  • Bermula jam 6 petang setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, pasar malam menambah kemeriahan Jonker Walk.

  • Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
    © Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad