Kombinasi menarik Tasik Kenyir
Oleh Alias Mohamed
rencana@hmetro.com.my
LANDSKAP semula jadi Tasik Kenyir yang menjadi tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, menyediakan lokasi terbaik untuk eko pelancongan.
Selain menjelajah 340 pulau dan 14 air terjun, pengunjung boleh meneroka keunikan gua, merentas denai atau menyewa bot untuk memancing.
Faktor ini antara sebab ia menyebabkan pelbagai acara sukan antarabangsa diadakan sepanjang tahun ini, termasuk Kejohanan Motocross Kenyir, Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir dan Cabaran 4WD Hutan Hujan Terengganu Antarabangsa 2008.
Kebelakangan ini, ia menjadi perhatian pencinta burung apabila kawasan sekitar tasik ini merekodkan kehadiran sembilan dari 10 enggang yang ada di negara ini. Kombinasi ini menyebabkan ia menarik kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Kenyir Lake Resort & Spa, di pinggir tasik ini, umpamanya menjadi penginapan pilihan utama mereka yang berkunjung ke destinasi pelancongan di pantai timur ini. Ia terletak kurang lima minit perjalanan dari Pengkalan Gawi yang menjadi pintu masuk utama ke Tasik Kenyir.
Pembinaan bangunan penginapan ini menggunakan kayu bagi mewujudkan suasana perkampungan Melayu atas tapak seluas 60 ekar. Pengunjung pasti terpukau apabila melihat keindahan tasik setiap kali membuka jendela dari bilik mereka.
TEMPAT MAKAN
Restoran Tembat umpamanya menyediakan suasana santai dengan balkoni menghadap pemandangan tasik. Sesuai dijadikan tempat lepak, menikmati hidangan minum petang sambil menghirup udara nyaman tasik, ia sering menarik kunjungan tetamu yang merakamkan keindahan Tasik Kenyir.
Tingkat bawahnya pula menempatkan kolam mandi bertingkat untuk kegunaan dewasa dan kanak-kanak. Tetamu yang mahu meluangkan masa bersantai di tepi kolam, boleh meluangkan masa untuk berenang atau hanya bersantai sambil menikmati minuman.
Jenagor Bar dan Lounge terletak di bahagian atas pula menyediakan ruang rehat sambil dihiburkan dengan rangkaian lagu popular oleh band. Pengunjung juga boleh memilih untuk menikmati pelbagai hidangan enak termasuk makanan laut di restoran tepi kolam.
Seperti kata Pengurus Besarnya, pihaknya menyediakan pelbagai pilihan aktiviti dan kemudahan supaya tetamu dapat menikmati percutian mereka, bertemankan keindahan alam dan jauh dari kesibukan kehidupan kota.
TARIKAN DAN KEMUDAHAN
Pengurusan menyediakan lawatan dengan jurupandu ke destinasi menarik di sekitar tasik seperti Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, lawatan ke Gua Tembat dan Gua Niah, Sungai Bueh dan ke Pulau Herba.
Spa Ulek Mayang, terletak di pinggir tasik menyediakan pelbagai pilihan terapi untuk disesuaikan dengan keperluan dan kehendak pengunjung. Antaranya, terapi urutan aromaterapi, Bali, Thai, Sweden dan Melayu.
Gelanggang tenis disediakan untuk tetamu yang ingin beriadah pada waktu petang. Bagi yang gemarkan cabaran dan mahu lebih dekat dengan alam, boleh menyertai aktiviti lasak berbasikal meredah denai dan abseiling.
>INFO
Lake Kenyir Resort & Spa
Peti berkunci 32
21700 Kuala Berang
Tel: 09-6668888
Faks: 09-6668343
resort@lakekenyir.com.
http://www.lakekenyir.com/main.htm
RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Terengganu
Tel: 09-6231957
Emel: ppp@terengganu.gov.my
www.tourism.terengganu.gov.my
Pusat Maklumat Pelancong
Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir
Tel: 09-626 7788 / 666 8498
Faks: 09-666 7657 / 666 8979
Tourism Malaysia
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
|
|