50 tarikan berbeza EverlandOleh Mohamad Niza Abd Ghanirencana@hmetro.com.my JIKA Disneyland dianggap taman tema terunggul di dunia yang menjadi kegilaan ramai, Everland di Seoul, Korea tidak kurang hebatnya.
Ia menampilkan 50 tarikan berbeza di bawah lima tema utama iaitu Global Fair, American Adventure, Magic Land, European Adventure dan Zoo-Topia. Jauh lebih besar daripada taman tema seperti di Sunway Lagoon dan Genting Highlands, Everland mempunyai tarikan tersendiri dan memiliki tema yang lebih spesifik mengikut imaginasi penciptanya. Bukan sekadar menyediakan permainan untuk kanak-kanak, Everland mencipta rekod tersendiri apabila tiang ‘roller coaster’ yang diperbuat daripada kayu diiktiraf sebagai paling curam di dunia pada sudut 77 darjah dengan kelajuan 104 km/j. Di sini juga disediakan beberapa taman tema atau arca unik persis luar negara seperti binaan zaman kolonial, taman bunga, muzium pelik hinggalah kepada zoo yang mempamerkan haiwan pelik. Sempena kunjungan penulis bersama Muslim Fam Trip yang ditaja Korean Air dan Korean Tourism Organization baru-baru ini, penulis kagum dengan komitmen kerajaan Korea mempromosikan negara berkenaan sebagai destinasi tumpuan umat Islam. Menghormati rutin Muslim untuk beribadah, Everland menyediakan bilik khusus solat selain makanan halal yang diiktiraf oleh Persatuan Muslim Korea (KMF). Makanan halal mudah diperoleh terutama sekitar Itaewon, tempat terletaknya Seoul Central Masjid. Anda boleh memilih makanan tempatan atau masakan luar negara dari Timur Tengah, Pakistan, India dan Asia. Bagi peminat drama bersiri Korea, Winter Sonata, anda boleh mengunjungi lokasi khusus mengabadikan sejarah drama itu di Nami Island yang terletak di tengah Sungai Han, 63 kilometer dari Seoul. Dengan keluasan 460,000 meter persegi atau lima kilometer, pulau ini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Apa yang menarik di pulau ini ialah pengunjung berpeluang menikmati 'nasi goncang' yang disediakan di satu-satunya restoran halal di sini. Kami juga sempat melawat ke beberapa lokasi menarik seperti taman tema Tiger World, Changdeokgung Palace, U-Dream Hall, National Ginseng Outlet dan menyarung kostum tradisional Korea serta membuat kimci, makanan tradisi negara berkenaan. Di Korea, jika mahu membeli belah, anda boleh ke pasar lambak dan pusat perniagaan eksklusif untuk dijadikan kenangan dan diberikan kepada keluarga serta rakan. Hati-hati jika membeli kerana ada yang meletakkan harga sesuka hati apabila berdepan pelancong, justeru anda perlu bijak tawar menawar. Ketika membeli-belah di Itaewon, Dongdaemon dan Changno Ku, saya mengakui kesukaran untuk berkomunikasi kerana kebanyakan rakyat Korea tidak fasih berbahasa Inggeris. Tetapi, jangan terkejut, ada peniaga tempatan yang mampu berbahasa Melayu di Itaewon. Bagi yang berminat membeli barangan berjenama, anda boleh berkunjung ke pinggir bandar Seoul seperti di Central City, Coex Mall, I'Park Mall dan World Cup Mall. Korea juga menyediakan rangkaian butik mewah di Mok-Dong Rodeo Street, Myenang-Dong Fashion Street dan Guro Fashion Valley. Dikenali antara bandar raya yang mempunyai kos sara hidup tinggi di dunia, prasarana yang disediakan diakui bermutu tinggi dan rakyat juga mementingkan kebersihan. Malah rakyatnya memiliki jati diri kukuh dengan menggunakan kereta jenama tempatan seperti Hyundai dan berbangga dengan bahasa ibunda dalam urusan harian dan papan tanda. Korea turut mempunyai jaringan pengangkutan bersistematik seperti bas yang selesa, teksi bermeter dan Subway (LRT). Cuma bezanya Subway di sini berlingkar arus dan sukar untuk mereka yang pertama kali tiba menggunakannya sendirian tanpa bantuan orang tempatan. Penginapan, anda boleh memilih hotel bertaraf lima bintang atau asrama secara berkumpulan. Bagi Muslim, dicadangkan penginapan di sekitar Itaewon kerana mempunyai banyak pilihan kedai makanan halal selain jaringan pengangkutan yang mudah dan terletak di tengah bandar. |