myMetro

Digamit kebun strawberi

Teks dan gambar Yooga Rani Murugiah
yooga@hmetro.com.my

STRAWBERI cukup sinonim dengan kawasan pelancongan tanah tinggi, Cameron Highlands dan menjadi kemestian bagi pengunjung membawanya pulang sebagai buah tangan.

Selepas teh, perkara yang akan terlintas di minda apabila mengunjungi Cameron Highlands ialah strawberi.

Melihat timbunan buah ini yang kemerah-merahan dan segar, pasti seronok jika berpeluang menikmatinya di tempat yang indah, dingin dan nyaman.

Strawberi dengan nama saintifik, Fragaria X Ananassa mempunyai biji di luar bukan saja kaya dengan vitamin C malah digemari ramai kerana kecantikan serta keenakan nya.

Di Cameron Highlands, tanaman itu boleh dilihat di kiri kanan kawasan tanah tinggi itu.

Strawberi adalah hasil tani kedua terbesar diusahakan secara besar-besaran penduduk setempat.

Kebanyakan kebun strawberi ini amat luas dan terletak berhampiran lokasi ladang teh sekitar Ringlet dan Brin chang.

Suhu sejuk antara 14 hingga 22 darjah selsius amat sesuai untuk penanaman strawberi.

Ada pelancong berminat melihat dari dekat proses me nanam pokok strawberi dan tidak kurang gemar mengutip sendiri buah yang masak di kebun.

Bagi pengeluar strawberi, Raaju’s Hill Strawberi Farm di Kea Farm, V Raaju, dia bersedia membawa mereka melawat seluruh kebunnya yang seluas satu hektar.

Raaju yang mengusahakan ladang itu sejak 15 tahun lalu memilih sendiri buah strawberi segar untuk pengunjung. Ketika ini terdapat hampir 80,000 pokok strawberi yang buahnya sedia untuk masak.

Menurut Raaju, strawberi buah unik yang cukup sensitif dengan cuaca dan suhu, oleh itu kualiti dan rasa buah yang dihasilkan banyak dipengaruhi faktor sekeliling.

Katanya, dalam setahun terdapat empat musim untuk mengutip strawberi iaitu pada Mac, Mei, Ogos dan November dan setiap musim boleh berlanjutan selama sebulan.

"Kawasan altitud tinggi, iklim sejuk, berembun dan hujan yang tidak banyak sesuai untuk strawberi. Buah yang baru keluar akan memakan masa hampir sebulan untuk masak sepenuhnya.

“Dalam sehari, kira-kira 100 kilogram strawberi dapat dihasilkan," katanya.

Selain berpeluang menikmati buah segar yang baru dipetik dari kebun, pengunjung mempunyai pilihan membawa pu lang pelbagai jenis produk makanan seperti jam, kek, jeruk, marmalade dan ais krim yang dibuat berasaskan strawberi.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad