Beri manfaat dua negaraSusunan Syah Rul Aswari Abdullahsrul@hmetro.com.my SETIAP minit, lebih enam juta kubik padu air mengalir laju dari Air Terjun Niagara, yang menjadi garis sempadan pemisah Amerika Syarikat dan negara jirannya di utara, Kanada.
Dari udara, bentuk air terjun ini seperti ladam kuda, dan kini menjadi komponen utama Taman Negeri Air Terjun Niagara, Amerika Syarikat. Ia mempunyai dua bahagian utama, Air Terjun Horseshoe di sebelah Kanada dan Air Terjun American di sebelah Amerika Syarikat. Kedua-duanya dipisahkan oleh daratan kecil dikenali sebagai Pulau Goat. Satu lagi bahagian yang lebih kecil, Air Terjun Bridal Veil pula dipisahkan dengan air terjun utama oleh Pulau Luna. Akhir zaman ais menyaksikan glasier mencair sehingga membentuk Great Lake sebelum bongkah ini mengalir laju menuju ke Lautan Atlantik, lalu membentuk Air Terjun Niagara. Walaupun bukan paling tinggi, air terjun ini mempunyai kelebaran luar biasa, memberi manfaat untuk penjanaan tenaga, sumber air dan pelancongan kepada dua negara ini. Perkembangan taman negeri ini berkait rapat dengan sejarah kedua bandar berkembar - Ontario, Kanada dan New York, Amerika Syarikat. Malah, bencana alam sekitar terburuk dalam sejarah Amerika iaitu di Love Canal juga berlaku di satu penempatan berdekatan dengan kawasan air terjun ini. Tiga air terjun yang membentuk Niagara adalah tarikan utama taman negeri ini di atas tapak seluas 400 ekar ini. Reka bentuk taman ini dipertanggungjawabkan Frederick Law Olmsted, arkitek landskap terkenal yang membangunkan Central Park, di tengah kota New York. Pengunjung yang mahu merasai deruan air terjun dari jarak dekat boleh berjalan kaki ke kawasan bawah Air Terjun Bridal Veil. Dari sini, mereka boleh meneroka keunikan Cave of the Wind, atau menaiki kapal jelajah 'Maid of the Mist', untuk merasai titisan air terjun ini. Golongan pelajar dan anak kecil boleh mengunjungi Visitor's Center dan Niagara Gorge Discovery Center, gedung pembelajaran menghimpunkan sejarah perkembangan taman negeri ini. Lebih menarik, mereka yang datang bersama keluarga boleh meluangkan masa untuk melawat Aquarium of Niagara. Pencinta alam pula boleh mengikuti pelbagai aktiviti termasuk merentas denai untuk menyaksikan sendiri khazanah alam semula jadi. Dek pemandangan turut disediakan bagi memberi peluang kepada pelancong menyaksikan deruan air terjun. Berada di taman ini umpama mengunjungi kompleks beli-belah. Apa tidaknya, pengunjung mempunyai peluang untuk berbelanja sakan selepas menghabiskan masa menjelajah kawasan sekitar taman negeri ini. Satu lagi pengalaman yang tidak boleh dilepaskan adalah menjamu selera di restoran Tops of the Falls yang menjadi antara tarikan terkini pengunjung ke taman negeri ini. Mulai lewat petang, air terjun ini berubah warna mengikut pancaran lampu sorot berkuasa tinggi. >Info |