Pukauan pelangi lautOleh Ainal Marhaton Abd Ghanirencana@hmetro.com.my KEISTIMEWAAN resort ini tidak terletak hanya pada pesisir pantainya yang landai dengan pasir yang memutih tetapi kedudukannya antara anak sungai dan lautan membiru membawa seribu rahmat kepada pengunjung.
Casuarina Beach Resort (CBR) mengamalkan konsep santai, damai dan tenang bagi pengunjung yang mahu menikmati keindahan hutan paya bakau yang masih dara. “Memang seronok bercuti di sini dengan hembusan dingin bayu laut di waktu malam dan panorama indah matahari terbenam. “Malah, ketenangan air laut yang membiru diselang-seli dengan kemasukan air sungai hutan paya bakau menambat hati pengunjung yang pertama kali datang ke sini,” kata Pengurus CBR, Abd Jamil Mohamed. Menurutnya, ada sebahagian pengunjung dari kota terpukau dengan ‘pelangi laut’ yang begitu menenangkan dan mengasyikkan. Persisiran pantainya dibarisi hutan paya bakau sering menjadi tumpuan kaki joran kerana mempunyai pelbagai spesies ikan termasuk kerapu, tenggiri dan jemuduk. Pantai yang landai menjadikannya sesuai untuk mandi-manda sambil mencari karangan laut. Beliau berkata, pihak pengurusan akan menyewa bot nelayan berhampiran untuk kemudahan kaki pancing. Anda boleh merentas Sungai Miang sepanjang tiga kilometer untuk menikmati keunikan hutan paya bakau, melihat kunang-kunang, kelip-kelip selain suara unggas dan burung. Jika datang dengan kereta, pastikan anda meletak kenderaan di luar kawasan resort kerana CBR dipisahkan Sungai Miang dan hanya jambatan kecil sebagai laluan pejalan kaki selebar tiga kaki dan 100 meter panjang. “Apabila air pasang, jambatan ini akan ditenggelami air dan pengunjung boleh bermain air di atas jambatan. “Keadaan ini tidak berlaku di pantai peranginan lain dan inilah keunikan yang kami hadiahkan kepada tetamu,” katanya. CBR merupakan destinasi percutian dan pelancongan yang menarik di negeri ini dan terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Diraja Pekan di laluan Pekan-Nenasi. CBR berkeluasan 3.6 hektar, asalnya Casuarina Cottage yang didirikan sejak lebih 15 tahun lalu. Ia adalah bekas rumah rehat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. CBR menyediakan bilik penginapan berhawa dingin yang menghadap ke arah laut. Ada empat khemah disediakan selain dewan terbuka untuk sesi ceramah dan seminar yang boleh menampung 150 hingga 200 peserta. “Pelancong terutama dari Australia, Kanada, Arab Saudi dan Amerika Syarikat gemar kedudukan CBR antara laut dan sungai selain pemandangan semula jadi,” katanya. CBR menyediakan kantin dengan masakan kampung seperti masak lemak ikan patin, kerapu bakar dan ikan kukus. “Kami juga membina ‘ran’ di atas pokok bagi memberi peluang pelancong menikmati pemandangan laut dari tempat tinggi,” katanya. |