Detik cemas kayak bocorOleh Syah Rul Aswari Abdullahsrul@hmetro.com BERKAYAK sepanjang 118 kilometer (km) dalam tempoh dua hari memang menuntut stamina dan keazaman tinggi. Lebih mencabar apabila ekspedisi ini bakal merentasi dua tasik air tawar semula jadi negara - Tasik Bera dan Tasik Cini dan sungai terpanjang di Semenanjung, Sungai Pahang.
Bagaimanapun, semua faktor itu tidak dijadikan batu penghalang kepada penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pengantara program Galeri Perdana, Bani Manjaya, 35, untuk sama-sama menyertai acara anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Pahang itu. Ekspedisi Tasik Bera dan Tasik Cini tahun ini menarik penyertaan lebih 100 orang meliputi wakil media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam, bulan lalu. Di tasik, peserta berkayak, manakala peserta 4 x 4 pula menjelajah denai sepanjang ekspedisi tiga hari dua malam itu. “Walaupun kali pertama menyertainya, rata-rata peserta tidak menghadapi masalah untuk menamatkan ekspedisi walaupun adakala rasa macam nak tercabut tangan berkayak. “Antara kenangan tak dapat dilupakan apabila terpaksa makan nasi dalam kayak kerana terpaksa mengejar masa untuk berkayak ke garis penamat. “Walaupun lauk tidak semewah mana, semuanya habis kerana terlampau kepenatan,” katanya. Ekspedisi ini merangkumi Kuala Bera, Kuala Bor, Sungai Cini sebelum memasuki Tasik Cini. Hari pertama menyaksikan peserta terpaksa berkayuh dari Tasik Bera ke Kuala Bor merangkumi jarak 60 km. Hari berikutnya menyaksikan peserta berhempas-pulas dari Kuala Bor ke Tasik Cini, sepanjang perjalanan sejauh 58 km. Peserta perlu mengayuh tanpa henti berikutan perlu tiba di garisan penamat untuk majlis penutup sebelum jam 4.30 petang. Bani berkata, arus sungai dan tasik yang deras akibat hujan malam sebelum memulakan ekspedisi memudahkan peserta berkayak walaupun ramai di kalangan mereka yang pertama kali menyertai acara lasak seumpama itu. “Bagaimanapun, peserta terpaksa mengerah tenaga lebih pada hujung ekspedisi berikutan keadaan Tasik Cini yang begitu luas. Pernah sekali, kami berdepan situasi genting apabila ada kayak bocor, tetapi semuanya dapat menamatkan ekspedisi ini,” katanya. >Info >TASIK BERA >TASIK CINI |