40 kapal cuba nasib
Oleh Syah Rul Aswari Ab
srul@hmetro.com.my
MEMASUKI tahun kelima, penganjurannya menempa sejarah apabila menjadi acara sukan kapal layar bertaraf antarabangsa pertama di perairan Borneo.
Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo 2008 kini menjadi antara acara paling ditunggu peminat sukan kapal layar antarabangsa.
Tahun ini, cabaran ini disertai 40 kapal layar meliputi 134 kru dari 14 negara, sekali gus mencatat rekod penyertaan terbanyak dalam sejarah penganjurannya.
Cabaran ini bermula 22 Ogos di Labuan dan berakhir di bandar Miri pada 28 Ogos lalu. Ia terbahagi kepada tiga perlumbaan utama, Labuan Harbour Regatta (24 Ogos), diikuti dengan Labuan-Miri Passage Race, sehari selepas itu dan Miri Bay Regatta (27 Ogos).
Penyertaan terbahagi kepada tiga acara utama - Racing, Cruising, Sports, Classic dan Ocean Multi-hull.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Talib, berkata perkembangan sukan kapal layar di negara ini memberangsangkan.
“Saya berharap pasukan luar negara kembali semula ke negara ini tahun depan bukan hanya dengan kapal layar tetapi rakan dan ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, penganjuran perlumbaan kapal layar itu akan lebih meriah apabila marina yang dibina dengan kos RM25 juta siap sepenuhnya menjelang tahun depan.
Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo 2008 dianjurkan dengan kerjasama Tourism Malaysia, Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Perbadanan Labuan.
|
|