Zoo Negara tersendiriTeks dan gambar Yooga Rani Murugiahyooga@hmetro.com.my JANGAN ingat datang ke Zoo Negara untuk melihat haiwan semata-mata sebaliknya inilah peluang anda meneroka alam semula jadi terutama habitat haiwan yang jarang dilihat dari seluruh dunia
Tempat ini yang ditubuhkan sejak 1963 di kawasan hutan seluas 52 hektar di Hulu Klang, menjadi destinasi perkelahan popular bagi mereka yang bercuti bersama keluarga selain tempat lawatan pelajar ketika musim cuti sekolah. Ia banyak melakar perubahan, baik daripada segi struktur pembinaan mahupun pertambahan spesies dan jumlah binatang yang dipamerkan. Bagi pencinta Zoo Negara yang kembali mengulang kunjungan ke sini, sekalipun banyak taman rekreasi dan pusat riadah dibuka, Zoo Negara tetap menjadi pilihan untuk membawa keluarga beriadah kerana nilainya yang tersendiri dan cukup istimewa. Tidak dinafikan tempat ini meninggalkan pelbagai kenangan manis kepada mereka. Malah boleh dikatakan tidak lengkap lawatan ke Kuala Lumpur jika tidak ke Zoo Negara. Sebaik menghampiri kawasan zoo, anda dapat mendengar ngauman harimau spesis Malaya, harimau kumbang dan singa Afrika, pekikan sang monyet dan kicauan pelbagai spesies burung. Selain kelahiran anak gajah dan badak sumbu air tahun lalu, daya tarikan ke Zoo Negara turut terletak pada binatang ganjil seperti Capybara iaitu spesis tikus terbesar di dunia, menyerupai pelanduk dan penyu gergasi yang dibawa dari kepulauan Galapous. Keunikan tikus dan penyu gergasi ini yang dibawa untuk mempromosikan Zoo Negara dan menarik perhatian orang ramai, hanya boleh dilihat di zoo ini saja. Bagi melihat dengan lebih dekat pelbagai spesies katak yang aneh rupanya, bertandanglah ke pusat amfibia yang menempatkan lebih 20 spesies katak dari seluruh Malaysia yang dikenal pasti mengalami kepupusan. Sebagai pusat santuari haiwan tertua di Malaysia dan tempat rekreasi yang mendapat tumpuan ramai, ekologi dan suasana keaslian Zoo Negara masih bening dan terpelihara. Sekalipun dikelilingi pembangunan pesat di Hulu Klang, persekitaran nyaman Zoo Negara dapat dirasai kerana terdapat banyak pokok untuk mengekalkan kehijauannya. Sejajar dengan itu, Zoo Negara juga baru-baru ini mengadakan aktiviti menanam lebih banyak pokok dan tumbuhan yang kaya dengan dedaun sekitar premis zoo, sempena Hari Bumi 2008. Ternyata, Zoo Negara bukan saja menjadi tempat pameran pelbagai jenis haiwan, tetapi lanskap dan persekitaran nyaman yang tercipta di situ akan terus kekal bertakhta di hati mereka yang berkunjung. >INFO Tarikan : Haiwan mamalia, reptilia, akuarium ikan, pusat amfibia, pertunjukan haiwan. Waktu lawatan : Setiap hari (jam 9pagi - 5petang), Sabtu, Ahad dan Cuti Am (9pg - 11mlm) Waktu pertunjukan haiwan : Setiap hari (11pagi dan 3 petang), Malam (Sabtu, Ahad dan cuti am), 8.30 malam. Kemudahan : Menaiki keretapi secara percuma, kedai cenderamata, surau dan restoran Harga tiket : Dewasa (RM15), Kanak-kanak (3-12 tahun) dan warga emas (RM6). |