myMetro

Lukisan merdeka di Galeri Petronas

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SEMPENA sambutan bulan kemerdekaan negara, Galeri Petronas mempersembahkan pameran ‘Wallscapes: The Merdeka Painting by Wang Lan, Wang Xu and Shen Jiawei’, sehingga 12 Oktober depan.

Pameran meliputi Catan Merdeka oleh Wang Lan dan Wang Xu dan Shen Jiawei serta Dunia Ketiga oleh Shen Jiawei ini dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim.

Mural Merdeka dan Dunia Ketiga, dua karya mural ditempah secara berasingan membentuk pameran kali ini adalah karya agung konsepsi mural dan rekaan memaparkan protagonis sejarah dan kontemporari.

Zaid berkata, pameran ini mengetengahkan jalan alternatif bagi warga Malaysia dalam meneroka dan menghayati erti kemerdekaan, peranan yang dimainkan oleh kumpulan atau individu tertentu dan menyemai perpaduan antara komuniti negara ini.

Menurutnya, tajuk lukisan juga membuktikan pembangunan yang dicapai selepas era penjajahan kuasa asing dan dianjurkan dua minggu selepas sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

“Ia menunjukkan betapa banyak usaha yang dicurahkan bagi menjadikan apa yang kita lihat pada hari ini,” katanya.

Antara lain, pameran yang diselia kurator tamu, Eddin Khoo itu memaparkan lautan warga Malaysia dengan pelbagai mimik muka tetapi berkongsi satu semangat dalam meraikan keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk.

Mural itu menjelaskan perhubungan yang kental antara seni dan sejarah. Pada masa sama, paparan penceritaan berbeza, mungkin memberikan idea atau perspektif baru dalam peristiwa yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sejarah Malaysia.

Zaid berkata, seni melangkaui sempadan bangsa dan fahaman politik dan pameran lukisan ini menampilkan Bangsa Malaysia dalam pelbagai warna kulit, bentuk dan saiz. Ini meliputi atlit, penari, tokoh negara, aktiviti dan penerbit filem.



>Info

>Pameran ini mengetengahkan hasil kerja Shen Jiawei, seorang pelukis catan sejarah terkenal di China (kini menetap di Australia). Bersama Wang Lan dan Wang Xu, hasil karya mereka memaparkan interaksi seni dan perkembangan sejarah.

>Sempena pameran ini, galeri Petronas turut menganjurkan bicara seni dengan pembentangan oleh ahli sejarah terkemuka negara, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. Sesi ini turut dimeriahkan dengan paparan dokumentari ‘Goodbye Revolution’, hasil karya Esben Storm.



Galeri Petronas

Aras 3, Suria KLCC.

Tel: 03 2051 7770

Faks: 03 2051 2895

http://www.galeripetronas.com.my

Dibuka Selasa - Ahad (jam 10 pagi hingga 8 malam)

Masuk adalah percuma.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad