Kenangan indah di ladang teh bohTeks dan Gambar Yooga Rani Murugiahyooga@hmetro.com.my BAYANGKAN anda menghabiskan sedikit masa berkualiti bersantai bersama ahli keluarga dan sahabat-handai di Cameron Highlands, Pahang.
Sambil duduk selesa menghirup udara petang yang nyaman dan mendamaikan dari puncak bukit tanaman teh, anda menikmati secawan teh Boh bersama mufin atau pai. Menjamu keharuman teh klasik menghadap bukit menghijau dalam cuaca dingin dengan panorama indah pinggir bukit, membuatkan sesiapa saja tertawan untuk kembali ke Ladang Teh Boh Sungai Palas yang terletak di Brinchang, Cameron Highlands. Tidak ada tempat sebegitu menarik seperti ladang teh ini yang menyediakan pengalaman tidak ternilai. Sekalipun terdapat beberapa pengeluar teh bermutu lain, Ladang Teh Sungai Palas popular kerana kedudukan kafeterianya setinggi 1,524 meter dari paras laut. Bagaimanapun ketika memasuki ladang ini, pengunjung perlu berhati-hati kerana jalan berliku dibina mengikut kontur bukit dan licin pada musim hujan. Selain itu, pengunjung mudah terlepas simpang ke ladang ini di kiri dan kanan jalan. Pelancong yang datang disediakan penginapan di Hotel Equatorial yang amat strategik kerana terletak berhampiran ladang teh dan kebun tanaman lain. Apa yang menariknya bagi pengunjung hotel ini, sebelum dapat merasai pengalaman di ladang teh yang sebenar, mereka dapat merasai keseronokan melihat tanaman teh ini dengan berjalan menyusuri sekitar hotel yang terletak di atas bukit. Berhampiran dengan ladang ini, pengunjung boleh saksikan rumah pekerja ladang dan kedai runcit yang menandakan warisan sejarah latar belakang dan kedatangan pekerja ladang dari India suatu ketika dulu. Selain kafeteria di puncak bukit, tumpuan utama pada ladang teh Boh ini adalah kilang pemprosesan tehnya dan pelancong boleh melihat proses menghasilkan teh. Di sepanjang celah kilang ini disediakan anjung di mana pengunjung dapat melalui laluan khas ini untuk melihat secara dekat bagaimana aroma teh asal dikekalkan sambil mendapatkan maklumat tambahan menerusi papan tanda yang disediakan Cuma berbeza dengan teknik petikan daun teh yang dilakukan secara manual, keseluruhan peringkat memproses hingga pembungkusan menggunakan teknologi terkini. Pengunjung boleh mencuba minuman teh Boh selain membeli teh pelbagai perisa buah di situ. Ladang Teh Boh dibuka untuk kunjungan orang ramai secara percuma. Pengunjung yang memerlukan jurupandu untuk melawat sekitar kilang ini boleh berdaftar di kaunter kemasukan. |