myMetro

Syurga pencinta alam

Oleh Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my

TERDAPATNYA kawasan tumbuhan Rafflesia atau Bunga Pakma selain air terjun menjadikan Lata Jarum, Ulu Dong, Raub, Pahang sebagai lokasi pakej pelancongan yang unik dan mengagumkan.

Lokasi tumbuhnya rafflesia yang hanya beberapa meter dari jalan utama menjadi kelebihan kepada pelancong untuk sampai dengan selesa tanpa bersusah payah mendaki bukit dan meredah hutan.

Lata Jarum seluas 20 hektar, terletak dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Benum dan memang terkenal sejak dahulu lagi terutama kepada pencinta alam yang gemar kedamaian, deruan air terjun selain flora dan fauna.

Pengunjung ke Lata Jarum bukan saja berpeluang menghirup udara segar dan nyaman, malah berpeluang mandi air terjun yang sejuk dan jernih sambil melihat ikan.

Bagi yang suka bersantai sambil menikmati bekalan, mereka boleh berbuat demikian di beberapa kawasan yang disediakan Pejabat Hutan Daerah Raub.

Untuk pasangan yang sedang dilamun cinta, kawasan berbatu di bawah pokok di epi air terjun boleh dijadikan lokasi berehat sambil melayan luahan hati masing-masing.

Namun, awas jangan melakukan sebarang perlakuan yang kurang sopan kerana kawasan ini untuk orang ramai termasuk ahli keluarga bersantai, bukan bercengkerama.

Pengunjung yang datang di Lata Jarum pasti tidak lengkap jika tidak menjengah kawasan tumbuhan rafflesia yang terletak hanya beberapa meter di lereng bukit dalam Hutan Simpan Gunung Benum.

Terdapat beberapa lokasi tumbuhnya rafflesia dan setiap kawasan terdapat antara 10 hingga 20 rafflesia, hampir setiap minggu bunga pakma berwarna merah akan kembang.

Anda perlu berhati-hati ketika berada dalam kawasan tumbuhan refflesia bagi memastikan tidak terpijak refflesia yang belum kembang dengan pelbagai saiz.

Pengunjung boleh merakamkan gambar keunikan dua spesies refflesia dicatat sebagai spesies bunga terbesar di dunia dengan hanya menumpang pada sejenis akar pepanjat.

Bagaimanapun, untuk menjejaki kawasan rafflesia, anda perlu mendapat bantuan daripada pemandu pelancong selain kakitangan Pejabat Hutan Daerah Raub yang mengawasi pusat perkelahan Lata Jarum.

Bagi mereka yang bercadang untuk bermalam di kawasan berkenaan, mereka boleh berkhemah selain menginap di chalet yang diusahakan penduduk kampung Ulu Dong.

Sekiranya berkunjung pada musim buah-buahan, pelancong berpeluang menikmati keenakan buah seperti durian kampung, rambutan, manggis, duku, langsat dan mempelam.

Untuk sampai ke Lata Jarum, anda boleh melalui Jalan Ulu Dong-Raub sejauh 35 kilometer. Bagi mendapatkan keterangan, anda boleh menghubungi Pejabat Hutan Daerah Raub.



>INFO

- Terletak 30 kilometer di timur laut Raub.

- Kedudukan Lata Jarum hanya beberapa kilometer dari Kampung Ulu Dong.

- Kawasan ini pernah popular pada 1990-an kerana peristiwa pembunuhan seorang ahli politik oleh kumpulan yang bergelar bomoh.

- Untuk sampai ke sini, anda boleh mengambil jalan dari Raub ke Kuala Lipis. Kira-kira 10 kilometer di Dong, belok ke kanan ke Ulu Dong.

- Sepanjang perjalanan ke Lata Jarum, anda boleh menikmati pemandangan menarik kampung tradisional.

- Dari Ulu Dong, anda akan menjumpai papan tanda menunjukkan arah Lata Jarum.

- Ada kemudahan tempat meletak kereta dan gerai yang menyediakan makanan serta minuman.

- Di Lata Jarum ada kolam besar untuk mandi-manda dan berkelah bersama keluarga.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad