Nostalgia istana primadonaOleh Ainal Marhaton Abd Ghanirencana@hmetro.com.my SEKITAR 1960-an, ia adalah kawasan larangan dan hanya mereka yang mempunyai urusan rasmi dibenarkan masuk. Malah, untuk melangkah kaki melepasi pintu utamanya bukanlah sesuatu yang mudah.
Tetapi, itu kisah lama ketika ia menjadi istana primadona filem Melayu, Datuk Maria Menado yang bersuamikan Sultan Pahang ketika itu, Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadam Shah. Keadaan berubah selepas Maria keluar meninggalkan istananya di Kampung Mengkasar pada 1974, empat tahun selepas kemangkatan suaminya. Istana mula terbiar sepi tanpa majlis keraian sepertimana ketika pasangan Diraja itu bersemayam di situ. Hari ini, istana yang dahulunya hanya boleh dikunjungi kerabat diraja kini bebas menerima tetamu tanpa mengira darjat keturunan. Ini berikutan fungsinya bertukar menjadi hotel penginapan, Melati Inn. Anak Maria Menado, Sultan Abd Razak atau dikenali sebagai Johny, berkata impian Maria untuk melihat istananya menjadi rumah rehat kini tercapai dengan pembukaan Melati Inn. “Seronok mengenangkan saat bersama bonda dan Almarhum tuanku di istana ini. Istana asal terdiri daripada tiga bilik di bahagian atas dan sebuah bilik tetamu di bahagian bawah,” katanya. Menurut Sultan, persekitaran Istana Melati amat mendamaikan kerana bebas daripada pencemaran udara atau kebisingan enjin kenderaan kerana kedudukannya di kawasan perkampungan. Pelbagai pokok buah-buahan yang ditanam dan masih kekal sehingga hari ini termasuk pokok pala, mempelam, durian dan rambutan dan bunga kertas yang menghiasi pintu masuk ke Melati Inn hasil tanaman Maria. “Mereka yang memasuki ruang tamu istana yang kini dijadikan lobi hotel akan melihat keistimewaan hiasan dinding di situ yang diperbuat daripada batu bata dikekalkan dengan warna asal, yang popular sekitar 1950-an hingga 1960-an,” katanya. Tangga utama ke tingkat atas yang reka bentuknya seakan-akan berputar menggambarkan kediaman mewah golongan kenamaan seperti dalam filem Melayu era Tan Sri P Ramlee. Satu galeri seni yang menempatkan beberapa lukisan hasil pelukis tempatan terletak di antara lobi dan dewan besar bagi memudahkan pengunjung melihat hasil seni berkenaan. Menurutnya, Almarhum Sultan Abu Bakar juga memiliki sebuah pejabat untuk melaksanakan urusan negeri manakala bilik tamunya pernah dihuni Tengku Mahkota Johor (sekarang Sultan Johor), Sultan Kedah dan Almarhum Sultan Perlis. “Istana Melati sangat popular di kalangan penduduk kampung pada masa dulu kerana Maria sering membuat tayangan percuma filem popular Melayu dan Inggeris menerusi wayang pacak,” katanya. >Info >Terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari Kuantan, ia menyediakan 12 penginapan dengan kadar sewa RM110 untuk bilik deluxe dan RM165 (suite). Kemudahan termasuk WiFi. |