Ihya Ramadan di KelantanOleh Mohd Azam Shah Yaacobmohdazam@hmetro.com.my SEMPENA Ramadan bulan lalu, Kelantan yang mendapat jolokan ‘Serambi Makkah’ memberi peluang kepada pelancong menikmati suasana berpuasa.
Bagi mempromosikan pakej pelancongan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membawa pemberita ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu untuk merasai suasana Ramadan. Program ‘Ihya Ramadan’ itu antara yang dimasukkan dalam kalendar negeri sempena Tahun Melawat Kelantan 2008. Diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mahmud, Kota Bharu, pengunjung dijamu berbuka puasa secara terbuka serta solat berjemaah bersama imam yang didatangkan khas dari Mesir. Sepanjang Ramadan itu, kira-kira 2,000 jemaah hadir memenuhi ruangan khemah yang disediakan termasuk lima khemah tambahan yang disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pengarah Pembangunan Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Ropein Hasan, berkata program ‘Ihya Ramadan’ itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menawarkan konsep melancong sambil beribadat. Beliau berkata, bermula dengan berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak serta Tarawih, program berlanjutan sehingga solat Subuh dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti solat sunat, bacaan al-Quran dan qiamullail. “Kelantan memang terkenal dengan aktiviti membeli-belah, justeru ia menjadi tumpuan pelancong. “Justeru, konsep pelancongan ibadat selain memberi peluang orang ramai menghayati Ramadan, mereka juga dapat membeli-belah,” katanya. Menurutnya, program itu mendapat sambutan baik dan ia menjadi medan umat Islam mengeratkan hubungan tanpa mengira kaum. Kewujudan pasar seperti Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Siti Khadijah serta kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai Rantau Panjang yang sudah sekian lama bertapak di negeri itu membolehkan pengunjung membeli-belah dengan harga yang murah. Mereka yang ingin menikmati pelbagai makanan tradisional Kelantan, bazar Ramadan menyediakan cita rasa berbeza malah ada makanan yang hanya boleh diperoleh ketika Ramadan. Penulis sendiri dapat menikmati keseronokan program itu sambil membeli juadah pelbagai makanan tradisional Kelantan seperti roti jala mas, neknab dan buah tanjung. Peluang menikmati nasi kerabu ketika berbuka puasa memang menyelerakan, memang berbeza dengan apa yang dijual di ibu kota. Kesimpulannya, ‘Uniknya Ramadan Di Kelantan’ ini memang satu pengalaman berbeza kerana selain beribadat, pelancong boleh melakukan pelbagai aktiviti lain termasuk membeli-belah. |