» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Variasi » Santai

Santai Menghendap buaya

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


MELIHAT kepantasan buaya menangkap mangsa memang membuat dada berdebar-debar. Itu di kaca televisyen, bagaimana menyaksikan sendiri sang bedal itu dalam habitat semula jadi, tentu seram sejuk.

MELIHAT kepantasan buaya menangkap mangsa memang membuat dada berdebar-debar. Itu di kaca televisyen, bagaimana menyaksikan sendiri sang bedal itu dalam habitat semula jadi, tentu seram sejuk.

Inilah yang penulis alami ketika menyertai 'river cruise' Sungai Timun, dekat Port Dickson (PD), baru-baru ini.


Lawatan ini diatur Pengarah Jualan Avillion Admiral Cove (AAC), Fazrizah Noor dengan kerjasama Tourism Malaysia (Negeri Sembilan).

Perjalanan ke Sungai Timun dengan bot dari Admiral Marina & Leisure Club bersebelahan hotel penginapan, AAC, mengambil masa kurang sejam. Tempoh itu tidak terasa dengan pelbagai pengalaman baru yang ditempuh sepanjang perjalanan.

Tidak lama selepas meninggalkan pantai Teluk Kemang yang sesak dengan pelancong, kami sampai ke Tanjung Tuan atau Blue Lagoon, destinasi popular untuk aktiviti snorkling di Port Dickson.

"Ramai tak percaya apabila diberitahu PD memiliki tempat snorkling. Tidak perlu berhabis ke pulau peranginan, terumbu karang di sini sesuai untuk peminat snorkling atau menyelam," kata Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia (Negeri Sembilan), Ahmad Fairul Ibrahim.

Menurutnya, Tanjung Tuan memiliki terumbu karang paling besar dan cantik dengan ukuran 232 meter persegi, setanding terumbu di Langkawi, Tioman dan perairan Sabah.

Satu lagi tarikan pelancongan di sini adalah Rumah Api Tanjung Tuan, rumah api tertua di negara ini di puncak bukit di tanjung yang mengunjur keluar ke Selat Melaka.

Dibina pada kurun ke-16 oleh Portugis dengan nama Cape Rachado Lighthouse.

Ia kemudian bertukar tangan kepada Belanda pada 1641 dan British pada 1824, tetapi memainkan fungsi sama sejak 1819, memberi panduan kepada kapal dagang dan bot nelayan yang melintasi Selat Melaka.

Menurut pemandu bot, Lim Hai Meng, jika cuaca baik, pengunjung dapat melihat pemandangan Sumatera, Indonesia dari atas rumah api ini.

"Antara Februari dan April, pencinta alam berkampung di sini bagi melihat lebih 30,000 burung pemangsa yang singgah sebelum meneruskan perjalanan ke China dan Russia," katanya.

Ketika melintasi perairan di sekitar rumah api ini, Lim tiba-tiba mematikan enjin bot dan mengarahkan semua penumpang diam.

"Ini adalah kawasan air pusar," katanya membuatkan penulis mahu melompat kerana terkejut.

Sukar dipercayai tetapi hakikatnya air pusar di Tanjung Tuan memang benar-benar wujud. Meskipun ia tidaklah seperti yang digambarkan dalam filem Hollywood, ia berbahaya untuk kapal kecil terutama apabila air pasang.

"Ada juga bot nelayan kecil terutama dari negara jiran yang sudah kena makan dengan air pusar ini," katanya.

Apa yang kelihatan adalah beberapa permukaan air dalam bentuk bulatan. Lingkungan dalamnya tenang, manakala sekelilingnya kelihatan bergelora. Pusaran ini dikatakan terbentuk kerana batuan dasar laut berhampiran pantai.

Leka memerhatikan pemandangan air pusar disimbah sinaran matahari terbenam, kami memasuki kuala Sungai Linggi. Sampai di Jeti Tanjung Agas, kami dibawa dengan bot lebih kecil menyusuri Sungai Timun.

Dengan kelajuan sederhana, kami dibawa menyusuri arus Sungai Linggi yang menjadi garis pemisah Negeri Sembilan dan Melaka. Senja itu, perjalanan ditemani pemandu pelancong, Kamarulzaman Abd Rahman.

Bot kecil dinaiki membelah kegelapan malam bertemankan cahaya dua lampu picit. Sesekali, bekas askar itu menyuluh bahagian tertentu sungai untuk mengesan kehadiran reptilia ganas itu.

"Buaya lazimnya akan menyelam ke dasar apabila terdengar bunyi bot yang bising. Jadi, amat penting untuk menggunakan bot kecil dengan enjin yang tidak bising," kata Kamarulzaman.

Menurutnya, Sungai Timun yang mendapat nama timun tikus kini menjadi semakin popular di kalangan pelancong asing untuk aktiviti memancing, melihat buaya dan menyaksikan kelip-kelip.

Malah, kawasan tebing sungai ini turut disinggahi burung penghijrah antara Jun dan Julai setiap tahun. Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti mengutip siput dan menangkap udang galah.

"Seperti diceritakan orang lama, jika banyak udang galah, pasti ada buaya," katanya.

Menurutnya, rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 2003 menyatakan ada 3,000 buaya di sungai itu tetapi tiada kes serangan terhadap manusia.

Kira-kira setengah jam kemudian, kami melihat reptilia ini tidak jauh dari Sungai Derhaka, salah satu cabang Sungai Linggi.

Bagaimanapun, sepantas kilat ia menyelam ke dasar sungai.

Selang beberapa minit kemudian, dua buaya hampir saiz sama kelihatan di permukaan air. Kedua-duanya juga menyelam apabila terdengar bunyi bot.

Menggerunkan apabila melihat saiz salah satunya saja sudah melebihi lima meter. Terasa begitu kerdil jika dibandingkan dengan saiz bot kami.

"Buaya senang dilihat bersidai di tebing sungai pada waktu petang. Kamu semua dikira beruntung dapat melihat hidupan ini pada waktu malam. Ada juga pelancong yang hampa apabila pulang tanpa berpeluang melihat reptilia ini," katanya.

Selepas puas menyusuri sungai tanpa mengesan aktiviti reptilia menggerunkan ini, kami dibawa melihat kelip-kelip di sepanjang sungai ini.

Menurut Kamarulzaman, kelip-kelip ini mempunyai pertalian istimewa dengan siput dan pohon berembang yang banyak terdapat di hutan paya bakau.

"Kelip-kelip bertelur atas daun berembang yang gugur di permukaan sungai. Anaknya akan memakan telur siput yang banyak terdapat di akar bakau.

"Siput sedut ini naik ke pokok bakau apabila air pasang," katanya sambil menambah pemandangan kelip-kelip di kawasan ini lebih indah daripada di Kampung Kuantan.

Seketika kami terpegun melihat keindahan kelip-kelip yang tak ubah seperti dekorasi pokok Krismas. Bot dikemudi menghampiri pokok bakau bagi melihat pemandangan indah kelip-kelip dari jarak dekat.

Dek terlalu teruja, ada yang cuba menangkap kelip-kelip untuk diletakkan dalam botol, sebelum dilepaskan kembali dalam perjalanan pulang ke Jeti Tanjung Agas.

Sebelum kembali ke AAC, kami dijamu gulai lemak udang galah oleh penduduk Kampung Timun, menyebabkan semua terlantar kekenyangan dalam perjalanan pulang ke AAC.

Semuanya - dari penginapan di hotel marina, Blue Lagoon, rumah api, buaya, udang galah dan kelip-kelip menjadi pengalaman mesti cuba terutama untuk mereka yang sudah muak dengan aktiviti bot pisang dan jeti ski di pantai peranginan.



>Info

>Pakej menyusuri persisiran pantai PD oleh Lloy Marine Sdn Bhd berharga RM55 seorang (tempahan minimum 12 orang untuk satu bot). Hubungi, 06-661 0628.

>Manakala, pakej kelip-kelip Sungai Linggi dikelolakan Persatuan Nelayan Kampung Sungai Timun ditawarkan pada harga RM20 (minimum 4 orang satu bot). Hubungi, 019-635 5561, 017-397 9447 atau 019-672 7192.

>Pakej lain ditawarkan termasuk memancing, menangkap udang galah atau siput. AAC boleh mengaturkan pakej ini dengan ketika tetamu membuat tempahan bilik.



PENGINAPAN

Avillion Admiral Cove

Batu 51/2, Jalan Pantai, 71050 SiRusa

Port Dickson, Negeri Sembilan

Tel: 06-647 0888/ 03-2161 3006

Faks: 06-647 3682.

E-mel: reservation@admiralcove.com.my

www.avillion.com

Carian Artikel
Lain-lain artikel :





VARIASI

Santai

lagi
lagi
lagi
it@Metro
lagi
Dekotaman
lagi
it@Metro
lagi


 
MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker