Debaran dikejar puak pribumi
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
JIKA Hong Kong berbangga dengan pembukaan Disneyland, tanah besar China juga memiliki tarikan taman tema, Guilin Merryland World.
Ia dibina atas tapak seluas kira-kira 90 hektar pada 1997 yang meliputi taman tema berteknologi tinggi, hotel lima bintang dan kompleks padang golf.
Memanfaatkan keindahan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang, taman tema ini tarikan mesti dikunjungi jika pertama kali ke Guilin.
Taman tema ini merangkumi lima seksyen utama - Merry town, American Western, Dream World, Pirate Village, South Pacific and Forest - setiap satunya menawarkan pengalaman dan tema berbeza.
Seksyen utama ini dibahagikan Tasik Ling, tasik semula jadi yang menjadi legenda di kalangan penduduk tempatan. Beberapa jambatan dibina merentasi tasik dengan gaya tradisional.
‘American Western’ menawarkan ‘rushing float’, pengembaraan mengharungi Lembah Colorado sambil dikejar puak pribumi dikawal oleh mesin berteknologi tinggi. Selain itu, pengunjung pasti tertarik dengan pertunjukan koboi yang turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa hero kungfu tempatan.
Seksyen South Pacific pula menjanjikan pengalaman menyaksikan keunikan cara hidup masyarakat Polinesia termasuk Maori, Hawaii, Fiji dan Samoa. Pada musim panas, pengunjung dapat melihat dan menyertai aksi luncur air dan letupan kapal layar di selatan pantai buatan manusia.
Anda juga boleh memilih pengembaraan kereta api melewati pemandangan indah tasik atau mencuba ‘surfing airship’, kapal penuh cabaran yang membawa anda ke puncak gunung berapi Hawaii sebelum tiba-tiba menjunam pada kecuraman 55 darjah.
Pirate Village pula menawarkan pengembaraan lanun ke Laut Caribbean dalam bot yang berhayun sehingga kedudukan 140 darjah dan pada ketinggian 17 meter.
Atau anda boleh mencuba gelas berputar, Drunk Barrel atau permainan video di Pirate Amusement Center dan membeli- belah di Bay Fair dan Caribbean Store.
Happy China Town pula menawarkan tarikan seperti Rotational Movie untuk sembilan orang berhayun dalam satu bilik tayangan yang dikawal mesin berteknologi tinggi. Pengunjung bakal rasai pengalaman unik seperti dalam babak filem.
Sebelum pulang, boleh cuba Music Carriage, Flying Dragon yang berputar sehingga 360 darjah, merakamkan kenangan di Nostalgia Photo Studio, kedai kaligrafi dan lukisan dan membuat kerja kraftangan di Funny Select.
PENGINAPAN
Taman tema ini memiliki hotel lima bintang yang bersambung dengan satu pintu masuk utamanya. Hiasan dalaman hotel dengan 368 bilik ini direka bentuk bagi menampilkan puisi lama China dan romantis Barat.
Mereka yang gemarkan percutian tanpa gangguan dalam alam semula jadi boleh mencuba 30 kabin kayu di kawasan pergunungan menerusi Forest Resort Village. Kabin dengan reka bentuk Eropah dan Jepun oleh pereka Eropah ini menawarkan kemudahan seperti di hotel bertaraf lima bintang.
Merryland juga menawarkan pengalaman perkhemahan dengan lima tapak utama dilengkapi tempat barbeku, beg selimut dan sewa khemah. Ia sekali gus menawarkan penginapan berkonsepkan terbuka dalam suasana pusat peranginan.
>Info
> AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan pertama dari Malaysia menawarkan empat penerbangan seminggu antara Terminal LCCT Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Liangjiang di Guilin, mulai September lalu.
Keterangan lanjut, layari www.airasia.com.
RUJUKAN PERCUTIAN
Guilin Merryland World
Emel: netsales@merry-land.com.cn
http://www.merry-land.com.cn
|
|